Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Tentera Amerika Lakukan 1,000 Penerbangan Intipan Di Laut China Selatan Tahun Lepas

Penerbangan tinjauan dan pengintipan itu meningkat apabila kapal perang China mengadakan latihan di Laut China Selatan.

2,619

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sepanjang tahun lepas (2020), tentera Amerika Syarikat dikesan melakukan kira-kira 1,000 penerbangan peninjauan dan pengintipan di Laut China Selatan, menurut laporan yang disediakan oleh badan bukan kerajaan China.

Dalam laporan bertajuk “An Incomplete Report on US Military Operations in the South China Sea in 2020,” badan bukan kerajaan itu “South China Sea Probing Initiative” berkata, penerbangan itu dilakukan daripada beberapa pangkalan udara.

USS Nimitz

Ia termasuk Pangkalan Udara Osan di Korea Selatan, Pangkalan Udara Kadena di Okinawa, Pangkalan Udara Andersen di Guam, Pangkalan Udara Clark di Filipina dan Brunei.

“Penerbangan-penerbangan tinjauan dan pengintipan ini dilakukan oleh 13 jenis pesawat termasuk   U2S, RC-135, pesawat airborne warning and control system (AWACS) E-3B, E-8C joint surveillance target attack radar system (JSTARS), P-8A dan P-3C anti-submarine aircraft, pesawat tinjauan EP-3E Aries II, pesawat tinjauan CL-650, pesawat tinjauan maritime CL-604, pesawat tanpa pemandu RQ-4B Global Hawk and MQ-4C Triton High-Altitude Unmanned Reconnaissance Aircraft,” menurut laporan itu.

Pesawat China

Laporan itu juga berkata,  penerbangan pesawat-pesawat pengintip dan peninjau ini meningkat dengan ketara apabila kapal-kapal pengangkut pesawat, kapal perang atau pesawat pengebom strategik menjalankan operasi sama ada di Spratly, Paracel atau Selat Taiwan.

Ia memberi contoh ketika kapal pemusnah (destroyer) USS Barry melaksanakan pelayaran FONOP di di Paracel pada 28 April tahun lepas, tentera Amerika Syarikat mengerahkan pesawat-pesawat pengintip P-8A, P-3C dan EP-3E daripada Pangkalan Udara Kadena untuk ke Laut China Selatan bagi melakukan misi tinjauan dan intipan.

Dan ketika Amerika Syarikat melakukan “Dual Carrier Operation” pada 3 hingga 7 Julai dengan kehadiran kapal pengangkut pesawat USS Nimitz dan USS Ronald Reagan, ia melakukan kira-kira 15 penerbangan pesawat pengintip dan peninjau.

Penerbangan-penerbangan itu dilakukan oleh pesawat-pesawat P-8A Poseidon, EP-3E, RC-135W, RC-135U dan P-3C.

Penerbangan-penerbangan tinjauan tentera Amerika Syarikat itu dilakukan bagi membolehkan ia mempunyai maklumat terkini tentang aktiviti dan pergerakan tentera China terutamanya di Laut China Selatan.

Laporan itu berkata setiap kali tentera China mengadakan latihan di Laut China Selatan, penerbangan-penerbangan pengintipan dan tinjauan pesawat tentera Amerika Syarikat akan mencatat peningkatan yang mendadak.

SCSPI
Trajektori pesawat pengintip Amerika Syarikat.

Ketika kapal pengangkut pesawat China, “Liaoning” melakukan latihan di Laut China Selatan pada 12 hingga 22 April, tentera Amerika Syarikat menghantar tiga penerbangan tinjauan dan intipan setiap hari untuk memantau pergerakan kapal perang China itu.

Laporan SCSPI itu juga berkata mereka dapat mengesan pesawat-pesawat pengintip tentera Amerika Syarikat itu beberapa kali menyamar sebagai pesawat awam negara tertentu termasuk Malaysia dan Filipina dengan menggunakan ICAO Hex-Codes milik pesawat lain.

Ia berkata pada 8 April, pesawat RC-135W milik Amerika Syarikat berlepas daripada Pangkalan Udara Kadena di Jepun untuk melakukan kerja-kerja tinjauan di Laut China Selatan.

Selepas memasuki Bashi Channel, pesawat pengintip itu menukar kod Mode-S kepada 750548 dan menyamar sebagai pesawat Penerbangan Malaysia.

Menurut jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin berkata sehingga September 2020 pesawat-pesawat pengintip Amerika Syarikat telah menyamar sebagai pesawat awam sebanyak kira-kira 100 kali.

Ia berkata tindakan pihak tentera Amerika Syarikat ini membahayakan pesawat-pesawat sebenar yang kod mereka dipalsukan oleh pesawat pengintip itu.

Sementara itu, laporan itu juga mengatakan ia melihat lebih banyak penerbangan pesawat-pesawat awam yang digunakan oleh kontraktor pertahanan dilantik oleh pihak Amerika Syarikat untuk tujuan mengintip aktiviti tentera China di Laut China Selatan.

Antara pesawat-pesawat itu adalah Bombardier CL-604 maritime surveillance aircraft (tail number: N9191), Bombardier CL-650 reconnaissance aircraft (tail number: N488CR) dan “King Air” Beechcraft 350 low-altitude reconnaissance aircraft (tail number: N334CA)

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments are closed.