Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Pesawat Peronda Maritim Russia IL-38N Dipintas F-35C, Super Hornet Berhampiran USS Carl Vinson

(VIDEO) Insiden tersebut dilaporkan berlaku ketika kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat itu sedang beroperasi di kawasan perairan Pasifik, namun tarikh sebenar kejadian tidak dinyatakan.

0 1,192
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lalu, satu rakaman video yang dikongsi di platform media sosial telah menarik perhatian pemerhati pertahanan yang memaparkan detik-detik sebuah pesawat peronda maritim Ilyushin Il-38N milik Tentera Laut Russia sedang “diiringi” oleh pesawat-pesawat pejuang F-35C dan F/A-18 Super Hornet milik Tentera Laut Amerika Syarikat ketika ia melintasi begitu hampir kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear USS Carl Vinson (CVN 70).
Insiden tersebut dilaporkan berlaku ketika kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat itu sedang beroperasi di kawasan perairan Pasifik, namun tarikh sebenar kejadian tidak dinyatakan.
Ia turut berlaku ketika terdapatnya peningkatan aktiviti rondaan dan pemantauan oleh aset-aset Armada Pasifik Tentera Laut Russia.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson bersama kapal-kapal pengiringnya telah melaksanakan pelbagai aktiviti bersama kapal-kapal perang milik tentera laut negara-negara sekutu dan rakan serantau.
Kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson dan kapal-kapal pengiringnya dilaporkan telah mengadakan latihan bersama dengan kapal-kapal perang milik Tentera Laut Korea Selatan dan Jepun di Laut China Timur di antara 17-20 Mac lalu.
Selepas selesai mengadakan latihan itu, kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat dilaporkan telah belayar ke pangkalannya di Guam untuk tujuan lojistik dan dilaporkan ketika pelayaran ke Guam itulah ia telah “didatangi” oleh kapal peronda maritim milik Armada Pasifik Tentera Laut Russia.
Media-media Russia melaporkan bahawa pesawat peronda maritim milik negara itu sedang melakukan rondaan dan pengawasan di perairan tersebut.
Dalam situasi tersebut, sebuah pesawat Il-38N — varian rondaan maritim kepada pesawat Ilyushin Il-38 — telah melaksanakan penerbangan rondaan jarak jauh dengan tujuan memantau pergerakan kapal induk Amerika Syarikat, sambil kekal beroperasi sepenuhnya di ruang udara antarabangsa.
Apa yang menjadikan “pertembungan” ini menjadi lebih menarik adalah pendekatan yang dilakukan oleh pesawat peronda maritim Russia berkenaan, sebelum ia dipintas oleh pesawat pejuang yang beroperasi daripada kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson.
Seperti yang dapat dilihat dalam rakaman video yang tular itu di media sosial itu, pesawat peronda maritim Russia tersebut telah menghampiri kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat itu sambil diiringi oleh pesawat pejuang F-35C dan pesawat pejuang F/A-18 Super Hornet.
Ketiga-tiga pesawat itu telah melakukan penerbangan lintas di hadapan USS Carl Vinson, sebuah kapal pengangkut pesawat kelas-Nimitz milik Tentera Laut Amerika Syarikat.
“Penerbangan lintas” itu disifatkan oleh pemerhati pertahanan sebagai sesuatu yang jarang-jarang berlaku, terutamanya membabitkan pesawat peronda maritim Tentera Laut Russia dihadapan sebuah kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear milik Amerika Syarikat.
Maklumat susulan turut mendedahkan bahawa pesawat peronda maritime Il-38N yang terlibat dalam “penerbangan lintas” di hadapan USS Carl Vinson itu telah dikenal pasti sebagai pesawat yang memiliki nombor “27” (RF-75320).
Turut disahkan pesawat peronda maritim terbabityang dioperasikan oleh unit penerbangan Tentera Laut Rusia — telah dipintas oleh sebuah pesawat pejuang F-15J milik Pasukan Pertahanan Diri Udara Jepun semasa latihan ketenteraan sebelum ini.
Ditanya mengenai insiden yang berlaku itu, jurucakap Armada Pasifik Rusia berkata bahawa insiden tersebut berlaku semasa penugasan terkini kapal pengangkut pesawat berkenaan, dan interaksi antara pesawat kedua-dua pihak telah dijalankan secara “selamat dan profesional”.
Pesawat peronda maritim Ilyushin Il-38N merupakan versi naik taraf kepada pesawat rondaan maritim Il-38 buatan era Soviet, yang digunakan oleh Penerbangan Tentera Laut Rusia.
Pesawat Il-38N mengekalkan struktur asas Il-38, tetapi dilengkapi dengan sistem avionik dan sensor moden — khususnya sistem “Novella-P-38” — bagi meningkatkan keupayaan dalam operasi pengawasan maritim, pengesanan kapal selam, dan rondaan jarak jauh.
Berikut adalah spesifikasi teknikal utama Il-38N:

✈️ Umum
  • Jenis: Pesawat rondaan maritim anti-kapal selam
  • Pengilang: Ilyushin Aviation Complex
  • Didasarkan pada: Ilyushin Il-18 (pesawat penumpang)

⚙️ Prestasi dan Dimensi
  • Panjang: 39.6 meter
  • Lebar Sayap: 37.4 meter
  • Tinggi: 10.2 meter
  • Berat maksimum berlepas: ± 68,000 kg
  • Kelajuan maksimum: ± 650 km/j
  • Julat operasi: ± 9,500 km (bergantung kepada muatan dan profil misi)
  • Ketinggian maksimum operasi: ± 10,000 meter
  • Endurance (masa terbang maksimum): Sehingga 12 jam

 


🔧 Enjin
  • Jenis enjin: 4 × Ivchenko AI-20M turboprop
  • Kuasa setiap enjin: ± 4,250 hp

Ilyushin


🛰️ Sensor & Sistem Misi
  • Sistem utama Il-38N: Novella-P-38
    • Radar pencari permukaan dan udara
    • Sensor elektro-optik (FLIR/TV)
    • Sistem pengesanan sonar dan pelampung akustik (sonobuoys)
    • Pengesan medan magnet (MAD – Magnetic Anomaly Detector)
    • Data link untuk pemindahan maklumat masa nyata

🧨 Persenjataan
  • Kapasiti dalaman untuk membawa:
    • Torpedo anti-kapal selam (contoh: APR-3)
    • Bom laut dan periuk api
    • Pelampung sonar (sonobuoy)
    • Peluru berpandu anti-kapal (kemungkinan integrasi dalam varian tertentu)
Russian
Ilyushin IL-38

🧭 Peranan Utama
  • Pengawasan maritim dan rondaan kawasan ekonomi eksklusif (ZEE)
  • Pengesanan dan pengesanan kapal selam musuh
  • Pengiring konvoi atau kapal perang
  • Sokongan dalam misi pencarian dan menyelamat (SAR)

Il-38N direka untuk beroperasi dalam misi jarak jauh, dan walaupun ia berpangkalan pada reka bentuk era Soviet, varian “N” ini kekal relevan hasil integrasi sistem misi moden, menjadikannya ancaman yang masih berupaya untuk operasi maritim di rantau Pasifik dan Artik.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.