Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Peronda Maritim Perancis Kena “Lock-On” Radar Pertahanan Udara Russia di Laut Baltik

Menurut kenyataan oleh Ketua Staff Angkatan Tentera Perancis, ketika insiden itu pesawat peronda maritim itu terlibat dalam Operation Baltic Sentry, satu operasi yang memfokuskan kepada pengawasan infrastruktur bawah laut yang kritikal di perairan itu.

0 1,143
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat peronda maritim milik Atlantique 2 milik Tentera Laut Perancis telah di “lock on” oleh radar sistem pertahanan udara unit Tentera Laut Russia ketika sedang beroperasi dalam misi pengawasan di perairan antarabangsa di Laut Baltik.
Menurut kenyataan oleh Ketua Staff Angkatan Tentera Perancis, ketika insiden itu pesawat peronda maritim itu terlibat dalam Operation Baltic Sentry, satu operasi yang memfokuskan kepada pengawasan infrastruktur bawah laut yang kritikal di perairan itu.
Pegawai-pegawai tentera Perancis dan NATO menyifatkan insiden dialami oleh pesawat peronda maritim Perancis itu sebagai suatu “manuver provokasi”, dengan aset-aset Russia yang terlibat tidak dapat dikenalpasti sehingga kini.
Mereka menyifatkan bahawa radar yang menyasarkan pesawat peronda maritim Perancis itu seolah-olah sedang dalam kedudukan untuk melancarkan peluru berpandu terhadap pesawat itu.
Kenyataan daripada Ketua Staff Angkatan Tentera Perancis: “Ketika menjalankan misi pemantauan ke atas infrastruktur bawah laut kritikal di perairan antarabangsa Laut Baltik, sebuah pesawat peronda maritim Perancis jenis ATL2 (Atlantique 2) telah menjadi sasaran tindakan provokasi oleh unit tentera laut Russia, yang menguncinya menggunakan radar kawalan tembakan.”
“Tindakan keterlaluan dan agresif tanpa keperluan ini jelas bertujuan mengganggu kebebasan pelayaran di kawasan perairan antarabangsa.”
“Namun begitu, krew kami berjaya meneruskan misi yang diamanahkan dengan penuh profesionalisme dan tanpa sebarang niat untuk mencetuskan ketegangan, meskipun berdepan insiden seperti ini secara berulang.”
Atlantique 2
Atlantique 2
Laut Baltik kini menjadi kawasan perairan yang “hot spot” dalam ketegangan yang lebih meluas antara Russia dan NATO.
Negara-negara sekutu Barat telah meningkatkan operasi pengawasan dan rondaan bagi melindungi infrastruktur bawah laut yang terdedah kepada ancaman, termasuk saluran paip dan kabel gentian optik, yang sebelum ini beberapa kali telah menjadi sasaran sabotaj oleh pihak-pihak tidak dikenali.
Ini merupakan insiden kedua dalam jangkamasa terdekat melibatkan pesawat peronda maritim Tentera Laut Perancis itu, selepas insiden pada Januari 15-16 baru-baru ini di mana sebuah lagi pesawat peronda maritim Atlantique 2 milik negara itu telah di “lock on” oleh radar sistem pertahanan udara S-400 Russia ketika ia sedang melaksanakan misi di Laut Baltik.
Radar sistem pertahanan udara S-400 milik Russia itu dipercayai ditempatkan di exclave Kaliningrad bagi mengawasi sebarang aset udara NATO berhampiran.
Kaliningrad adalah sebuah exclave, yang merupakan sebuah wilayah kecil milik Russia tetapi secara geografinya ia terpisah daripada tanah besar Russia dan bersempadan dengan negara-negara anggota NATO, Poland dan Lithuania.
Terdapat juga laporan menyatakan bahawa pesawat peronda maritim Perancis itu bukan sahaja di “lock on” oleh sistem pertahanan udara S-400 Russia tetapi turut berhadapan dengan serangan Peperangan Elektronik (EW) oleh unit tentera Russia.
atlantique
Krew pesawat peronda maritim Atlantique 2 Tentera Laut Perancis
Dalam satu insiden berasingan pada November 2024 di Laut Baltik, kapal friget Jerman Nordrhein-Westfalen telah mengiringi sebuah kapal korvet Tentera Laut Russia bersama sebuah kapal tangki awam ketika melalui perairan Laut Baltik.
Semasa helikopter NH90 Sea Lion milik Jerman menghampiri untuk tujuan pemeriksaan, krew Rusia bertindak melepaskan suar (flares) sebagai tindak balas — bukannya menggunakan komunikasi radio seperti yang lazim dilakukan.
Sebelum itu, pada Julai 2023, pesawat pejuang Su-35 milik Russia telah mengganggu operasi dua dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat di ruang udara Syria serta pesawat Rafale Perancis yang ketika itu sedang menjalankan misi anti-ISIS.
Spesifikasi Ringkas Pesawat Peronda Maritim Atlantique 2 (ATL2):
Atlantique 2 atau ATL2 merupakan pesawat rondaan maritim yang dibangunkan oleh Perancis untuk memenuhi keperluan operasi udara maritim, khususnya dalam bidang peperangan anti-kapal selam (ASW), pengintipan, dan misi pengawasan strategik.
Ia dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation dan digunakan secara aktif oleh Tentera Laut Perancis.
Pesawat ini mempunyai panjang 31.7 meter dengan bentangan sayap selebar 37.4 meter. Ia dikuasakan oleh dua enjin turboprop Rolls-Royce Tyne yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum melebihi 650 kilometer sejam.
Atlantique 2
Krew pesawat peronda maritim Atlantique 2 Tentera Laut Perancis
ATL2 memiliki jarak operasi sejauh 9,000 kilometer dan mampu melakukan rondaan udara sehingga 14 jam tanpa perlu mendarat semula, menjadikannya sesuai untuk misi jarak jauh di kawasan lautan terbuka.
ATL2 dikendalikan oleh kru seramai 12 orang dan dilengkapi dengan pelbagai sistem utama seperti radar maritim berkeupayaan tinggi, sonar boya untuk pengesanan kapal selam, pengesan infra merah, serta sistem peperangan elektronik moden.
Untuk keupayaan tempur, ia boleh membawa torpedo, peluru berpandu anti-kapal, bom laut, dan periuk api.
Secara keseluruhan, pesawat ini direka untuk memastikan kehadiran udara berterusan di kawasan maritim strategik serta membolehkan pengesanan awal dan tindak balas pantas terhadap ancaman bawah permukaan, permukaan atau udara.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.