Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pengebom H-6K China Bawa KD-21 ALBM, Ancam Kapal dan Pangkalan Tentera Amerika, Sekutu

Gambar terkini menunjukkan sebuah pesawat pengebom H-6K PLAAF yang bertugas dengan Divisyen Pengebom ke-10 Rejimen Udara dilihat membawa dua butir peluru berpandu ballistik lancaran udara KD-21 di bawah sayapnya, walaupun sebuah pesawat pengebom itu mempunyai kemampuan membawa empat butir peluru berpandu KD-21 ALBM.

0 18,426
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali, pesawat pengebom jarak jauh H-6K milik Tentera Udara China (PLAAF) telah dilihat membawa peluru berpandu ballistik lancaran udara (Air-Launched Ballistic Missile – ALBM) KD-21 dalam satu latihan tentera baru-baru ini, sekaligus memberikan ancaman berganda kepada kapal-kapal perang dan pangkalan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya di Indo-Pasifik.
Gambar terkini menunjukkan sebuah pesawat pengebom H-6K PLAAF yang bertugas dengan Divisyen Pengebom ke-10 Rejimen Udara dilihat membawa dua butir peluru berpandu ballistik lancaran udara KD-21 di bawah sayapnya, walaupun sebuah pesawat pengebom itu mempunyai kemampuan membawa empat butir peluru berpandu KD-21 ALBM.
Ia menandakan China telah mula mengoperasikan peluru berpandu ballistik lancaran udara KD-21 di lapangan hadapan, sejak peluru berpandu itu mula dipertontonkan kepada umum pada Pameran Udara Zhuhai pada 2022.
Perkembangan ini turut menyerlahkan kemajuan ketara dalam keupayaan serangan udara China.
Peluru berpandu KD-21 ALBM tersebut dianggarkan memiliki panjang sekitar 7 meter, diameter kira-kira 0.76 meter dan seberat lebih kurang 2 tan.
Kepala peledak peluru berpandu KD-21 ini berkemungkinan direka khas untuk menembusi sasaran kubu bawah tanah yang diperkuat.
Peluru berpandu ini dilengkapi dengan enjin roket bahan api pepejal dan mampu mencapai jarak melebihi 1,000 kilometer.
KD-21
Pesawat pengebom H-6K PLAAF dilihat membawa peluru berpandu ballistik lancaran udara KD-21 ALBM. (via internet)
Sistem pemanduannya pula dipercayai menggunakan pencari radar aktif yang dilengkapi keupayaan imej bukaan sintetik (synthetic aperture).
Sejak pengenalannya pada Pameran Udara Zhuhai 2022, tidak pernah dilaporkan pesawat pengebom H-6K dilengkapi peluru berpandu KD-21 dikerah ke mana-mana lapangan hadapan sama ada untuk tugasan aktif atau latihan tentera.
Pesawat pengebom H-6K, yang kini disahkan sebagai platform pelancar peluru berpandu KD-21, merupakan versi moden kepada pesawat pengebom H-6 asal yang dibangunkan berdasarkan rekabentuk pesawat Soviet Tupolev Tu-16.
Bagi pemerhati ketenteraan serantau, pengoperasian peluru berpandu ballistik lancaran udara KD-21 yang juga digelar “Carrier Killer” pada pesawat pengebom H-6K itu memberi dimensi ancaman terbaru kepada kapal-kapal perang Amerika Syarikat, Jepun dan sekutu mereka yang beroperasi di Indo-Pasifik terutamanya di Laut China Selatan dan perairan sekitarnya.
Dengan tagnya sebagai “carrier killer”, mana-mana kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, Jepun dan mana-mana kapal perang milik sekutu-sekutu perlu berjaga-jaga ketika belayar di perairan Laut China Selatan, Laut China Timur atau mana-mana perairan di Indo-Pasifik.
Peluru berpandu ballistik anti-kapal KD-21 itu bukan sahaja berkemampuan membedil sasaran di lautan, tetapi ia juga mempunyai keupayaan yang sama untuk memusnahkan sasaran-sasaran di daratan dengan berkesan, yang bakal menggerunkan pangkalan-pangkalan tentera yang beroperasi di Indo-Pasifik termasuk Guam dan lain-lain.
Carl Vinson
USS Carl Vinson. (via internet)
Andersen
Pangkalan Udara Andersen milik Amerika Syarikat di Guam. (via internet)
KD-21 juga adalah satu daripada beberapa jenis peluru berpandu ballistik anti-kapal (ALBM) yang dimiliki oleh Angkatan Tentera China, sebagaimana diperkatakan oleh pemerhati serantau yang mendakwa Beijing memiliki pelbagai jenis peluru berpandu ballistik lancaran udara yang lain.
China dilaporkan membangunkan pelbagai peluru berpandu ballistik lancaran udara ALBM  dioptimumkan bagi peranan anti-kapal turut, sejajar dengan strategi anti-capaian dan penafian kawasan (A2/AD) China yang sedang berkembang pesat.
Sama ada peluru berpandu ballistik lancaran udara KD-21 itu direka khas untuk menyerang sasaran di darat, di laut, atau kedua-duanya sekali, hakikat bahawa ia kini dilaporkan telah mula digunakan dalam operasi sama ada secara aktif di lapangan atau latihan adalah sesuatu yang amat signifikan.
Apa jua jenis sasaran yang ditujunya, peluru berpandu ballistik dilancarkan dari udara (ALBM) sememangnya sukar untuk dipintas atau dipertahankan.
Seperti kebanyakan peluru berpandu ballistik, peluru berpandu ballistik dilancarkan dari udara  menghentam sasaran dengan kelajuan terminal hypersonik atau hampir hypersonik serta sudut serangan yang curam.
Keadaan ini sudah cukup menyukarkan untuk dipintas, namun cabaran bertambah apabila peluru berpandu itu turut melakukan manuver secara dinamik semasa fasa serangan terakhir.
KD-21
Pesawat pengebom H-6K PLAAF dilihat membawa peluru berpandu ballistik lancaran udara KD-21 ALBM. (via internet)
H-6K
Pesawat pengebom H-6K
Bagi China, bukan sahaja peluru berpandu ballistik dilancarkan dari udara boleh dilancarkan dalam jumlah yang besar, malah ia juga berkemungkinan digabungkan dengan serangan peluru berpandu lain — sama ada ballistik atau kruis — serta serangan dron berani mati secara serentak.
China sudah pun memiliki sejumlah besar peluru berpandu ballistik yang dilancarkan dari darat, namun keupayaan untuk melancarkan ALBM menerusi pesawat pengebom H-6 memberikan kelebihan dari segi jangkauan yang lebih jauh serta kebolehan untuk melancarkan serangan yang lebih dinamik dan sukar dijangka.
Divisyen Pengebom Ke-10 merupakan salah satu unit tertua dan paling berprestij dalam Tentera Udara China (PLAAF), yang ditubuhkan pada 17 Januari 1951.
Pada awalnya, ia dibentuk dengan menggabungkan Rejimen Pengebom Ke-28, Ke-29 dan Ke-30, dan sejak itu telah menerima beberapa gelaran kehormat seperti “Kumpulan Pengebom Contoh” dan “Divisyen Panji Merah” atas khidmat cemerlangnya.
Kini, divisyen ini beroperasi di bawah Eastern Theatre Command, dengan tumpuan kepada misi di sekitar Laut China Timur dan kawasan berhampiran Taiwan.
 Ibu pejabat utamanya terletak di Pangkalan Udara Anqing di Wilayah Anhui, manakala operasi tambahan turut dijalankan dari Pangkalan Udara Luhe di Wilayah Jiangsu.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.