Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pengebom B-2 Amerika Serang Loji Nuklear Iran di Fordow, Maklumat Awal Tidak Berkesan

Sumber-sumber yang dipetik oleh saluran Telegram yang mempunyai hubungan di kalangan pegawai kanan kerajaan Iran menyatakan bahawa serangan udara oleh pesawat-pesawat pengebom Amerika Syarikat itu hanya mensasarkan terowong-terowong keluar dan masuk ke kemudahan di Fordow itu serta tidak menyebabkan kerosakan besar terutama di loji bawah tanahnya.

0 20,440
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada awal pagi tadi (waktu tempatan), enam buah pesawat pengebom strategik B-2 Amerika Syarikat telah menguggurkan 12 butir bom GBU-57A/B Massive Ordnance Penetrator (MOP) seberat 13,600 kilogram (30,000 paun) terhadap loji nuklear Iran di Fordow yang terletak kira-kira 90 meter di bawah kawasan pergunungan negara itu.
Kapal-kapal perang Amerika Syarikat yang berada di perairan di Timur Tengah turut melancarkan kira-kira 30 butir peluru berpandu kruis Tomahawk terhadap loji nuklear Iran di Natanz dan juga Isfahan, yang sebelum ini telah diserang oleh Israel.
Dalam pengumumannya kepada seluruh negara, Presiden Amerika Syarikat mengesahkan pembabitan pertama kali negara itu dalam konflik di antara Israel dan Iran.
Hanya beberapa jam selepas serangan terhadap kemudahan-kemudahan nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Esfahan itu oleh Amerika Sysrikat, Iran telah melancarkan serangan kira-kira 30 butir peluru berpandu ballistik terhadap Haifa dan Tel Aviv.
Media Israel melaporkan bedilan-bedilan akibat peluru berpandu ballistik Iran itu dikesan di beberapa lokasi di kedua-dua bandar itu.
“Beberapa ketika yang lalu, angkatan tentera Amerika Syarikat telah melancarkan serangan besar-besaran secara tepat ke atas tiga kemudahan nuklear utama rejim Iran, iaitu Fordow, Natanz dan Isfahan.”
“Nama-nama lokasi ini telah sering disebut selama bertahun-tahun kerana menjadi nadi kepada pembinaan program pemusnah yang amat berbahaya ini.”
MOP
Bom GBU-57A/B Massive Ordnance Penetrator (MOP)
“Matlamat utama serangan ini adalah untuk memusnahkan sepenuhnya keupayaan pengayaan nuklear Iran serta menghentikan ancaman nuklear yang dibawa oleh negara yang dianggap sebagai penaja keganasan nombor satu dunia.”
“Pada malam ini, saya boleh melaporkan kepada seluruh dunia bahawa serangan tersebut merupakan kejayaan ketenteraan yang luar biasa. Fasiliti utama pengayaan nuklear Iran telah dimusnahkan secara total dan menyeluruh,” kata Presiden Amerika Syarikat itu.
Bom pertama GBU-57A/B Massive Ordnance Penetrator (MOP) itu digugurkan terhadap kemudahan loji nuklear di Fordow itu pada 2.09 pagi (waktu tempatan), menurut media tempatan Iran.
MOP yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat telah diuji berulang kali di kem latihan rahsia seperti White Sands dan Tonopah, termasuk simulasi terhadap sasaran seperti Fordow, Punggye-ri di Korea Utara dan lokasi strategik China.
MOP mampu menembusi sehingga 18 meter konkrit atau 61 meter tanah sebelum meletup, namun hanya boleh dilancarkan menggunakan pesawat pengebom strategik halimunan B-2A Spirit, yang tidak dimiliki oleh Israel dan tidak pernah ditawarkan untuk jualan.
Kemudahan nuklear Iran di Fordow ini dianggarkan lebih dalam daripada Terowong Channel yang menghubungkan Britain dan Perancis, menjadikannya hampir mustahil untuk dimusnahkan walaupun dengan senjata penembus kubu bawah tanah paling canggih milik Israel.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pula berkata bahawa serangan Amerika Syarikat terhadap Iran secara tidak langsung telah menunaikan “janji” yang dibuatnya untuk memusnahkan kemudahan nuklear Iran ketika Israel melancarkan serangan secara tiba-tiba ke atas negara itu lebih seminggu lalu.
Fordow
Loji nuklear bawah tanah Iran di Fordow
“Beberapa ketika yang lalu, dengan penyelarasan penuh antara saya dan Presiden Trump, serta koordinasi operasi sepenuhnya antara Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dan angkatan tentera Amerika Syarikat, Amerika Syarikat telah menyerang tiga fasiliti nuklear Iran: Fordow, Natanz dan Isfahan,” kata Netanyahu dalam satu hantaran media sosial.
Netanyahu kini sedang diburu oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan melakukan jenayah perang di Gaza.
Pihak berkuasa Iran mengesahkan bahawa kemudahan nuklear di Fordow telah diserang, sambil menyatakan “beberapa bahagian” daripada kemudahan itu telah diserang oleh musuh.
Pertubuhan Tenaga Atom Iran memaklumkan bahawa data daripada sistem pemantauan radiasi serta tinjauan di lapangan tidak menunjukkan sebarang tanda pencemaran atau bahaya kepada penduduk yang tinggal berhampiran lokasi Fordow, Isfahan dan Natanz.
“Pengumuman daripada Pusat Sistem Keselamatan Nuklear: Susulan serangan haram oleh Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Fordow, Natanz dan Isfahan, hasil tinjauan lapangan serta data sistem radiasi menunjukkan tiada pencemaran direkodkan,” kata pertubuhan itu menerusi satu hantaran di media sosial.
“Tiada sebarang ancaman terhadap penduduk di sekitar kawasan tersebut. Tahap keselamatan adalah stabil.”
Sumber-sumber yang dipetik oleh saluran Telegram yang mempunyai hubungan di kalangan pegawai kanan kerajaan Iran menyatakan bahawa serangan udara oleh pesawat-pesawat pengebom Amerika Syarikat itu hanya mensasarkan terowong-terowong keluar dan masuk ke kemudahan di Fordow itu serta tidak menyebabkan kerosakan besar terutama di loji bawah tanahnya.
Fordow
Fordow
“Setakat ini, disahkan hanya terowong-terowong menjadi sasaran serangan udara Amerika Syarikat itu. Tiada maklumat tentang kerosakan di kemudahan bawah tanah di Fordow setakat ini,” menurut laporan daripada Iran.
Sementara itu stesen televsiyen milik negara Iran menyatakan bahawa pihak berkuasa negara itu telah memindahkan kelengkapan di ketiga-tiga loji nuklear yang diserang itu beberapa ketika dahulu dan stop bahan uranium yang telah diperkayakan (enriched uranium) telah dipindahkan ke suatu lokasi lain bagi mengelak sebarang pencemaran radiasi (daripada serangan Amerika Syarikat itu).
“Tiada kerosakan yang besar di Fordow,” menurut stesen televisyen milik Iran itu yang berhubung rapat dengan kerajaan negara itu.
Penduduk tempatan yang tinggal berhampiran dengan kemudahan nuklear di Fordow pula menyatakan bahawa mereka tidak melihat kepulan asap yang besar sejurus selepas serangan udara pesawat pengebom Amerika Syarikat itu.
Wakil Rakyat Iran yang mewakili wilayah Qom, Manan Raisi pula berkata di mana kemudahan nuklear Fordow terletak pula berkata bahawa pemeriksaan pertama terhadap kemudahan nuklear itu telah pun selesai dilakukan dan tiada kebocoran radiasi dikesan.
“Kemudahan nuklear di Fordow tidak mengalami sebarang kerosakan besar. Sebahagian besar daripada kerosakan itu berlaku di atas permukaan (above ground) dan di bahagian terowong-terowong,” kata wakil rakyat Qom itu.
“Berdasarkan maklumat yang tepat, saya menyatakan bahawa bertentangan dengan dakwaan Presiden Amerika Syarikat yang berbohong itu, fasiliti nuklear Fordow tidak mengalami kerosakan serius, dan kebanyakan kerosakan hanya berlaku di permukaan tanah yang boleh dipulihkan.”
Uranium
Uranium-235
Beliau turut mengulangi penilaian awal bahawa tiada kebocoran bahan radioaktif dikesan selepas serangan udara Amerika Syarikat.
Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear dan Radiologi Arab Saudi memaklumkan bahawa “tiada kesan radioaktif dikesan terhadap alam sekitar” di Arab Saudi dan negara-negara jiran Teluk selepas serangan Amerika Syarikat terhadap fasiliti nuklear Iran.
 Sementara itu sumber-sumber tentera Amerika Syarikat pula memberitahu stesen televisyen negara itu, Fox bahawa kompleks bawah tanah milik loji nuklear di Esfahan yang turut menjadi sasaran serangan peluru berpandu Tomahawk adalah lebih dalam dan lebih kuat daripada sangkaan mereka sebelum mereka.
“Pihak tentera Amerika Syarikat mendedahkan bahawa kompleks bawah tanah milik loji nuklear di Esfahan adalah lebih dalam dan lebih kuat dalam jangkaan sebelum ini dan kemungkinan tidak dimusnahkan sepenuhnya oleh peluru-peluru berpandu kruis Tomahawk,” menurut stesen televisyen Fox.
Media alternatif Israel pula memetik memetik laporan oleh radio tentera darat Israel menyatakan bahawa terdapat kemungkinan yang kecil bahawa kemudahan nuklear Iran di Fordow gagal dimusnahkan dalam serangan udara oleh enam buah pesawat pengebom strategik Amerika Syarikat itu.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA, melaporkan bahawa penduduk tempatan “tidak merasai sebarang tanda letupan besar” susulan serangan Amerika Syarikat ke atas fasiliti Fordow.
“Keadaan di kawasan tersebut adalah sepenuhnya normal. Butiran lanjut mengenai insiden ini akan diumumkan oleh pakar rasmi,” menurut agensi berita itu.
Iran
Kompleks permukaan Loji nuklear Natanz.
Walaupun bekas Presiden Donald Trump menyifatkan serangan tersebut sebagai satu “kejayaan luar biasa”, tiada pengesahan bebas diterima setakat ini mengenai kesannya.
Pegawai-pegawai Iran juga memberi bayangan bahawa uranium yang telah diperkaya di fasiliti bawah tanah itu telah pun dipindahkan dari lokasi berkenaan.
Masih belum jelas bagaimana serangan ini akan menjejaskan program nuklear Iran secara keseluruhan.
Ibu Pejabat Pengurusan Krisis di wilayah Qom, lokasi terletaknya fasiliti Fordow, telah mengeluarkan kenyataan bahawa “tiada sebarang ancaman terhadap penduduk Qom dan kawasan sekitarnya.”
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave a Reply