Pesawat Pejuang Su-57 Russia “Diejek”, “Dikritik” Pengguna Media Sosial China
Gambar-gambar pesawat pejuang kebanggaan China di Pameran Udara Zhuhai itu banyak dikongsi di TikTok— dan pengguna media sosial di negara itu telah dengan cepat membuat perbandingan yang “tidak membanggakan” antara Su-57 keluaran Russia itu dan pesawat pejuang Chengdu J-20 “Mighty Dragon”, pesawat pejuang generasi kelima buatan China sendiri.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pesawat pejuang paling moden generasi kelima Russia, Su-57 “Felon” telah tiba di China buat pertama kalinya pada Isnin untuk menyertai Pameran Udara Zhuhai di wilayah Guangdong, China.
Ini merupakan kali pertama Sukhoi Su-57 menyertai pameran udara terbesar di China, yang sejak beberapa tahun lalu telah dijadikan oleh Beijing untuk mempamerkan kemajuan yang dicapainya dalam bidang ketenteraan dan aeroangkasa.
Su-57, yang dianggap Kremlin sebagai “jet pejuang halimunan generasi kelima paling canggih”, dijadual melakukan demonstrasi penerbangan, sementara sebuah lagi pesawat pejuang akan dipamerkan sebagai paparan statik.
Moscow sedang berusaha mencari pembeli asing untuk pesawat pejuang generasi kelima keluarannya itu, memandangkan sekatan Barat telah menghadkan keupayaannya untuk menghasilkan pesawat pejuang Su-57 dalam jumlah yang besar.
Sebaliknya daripada menjadi bintang pada pameran udara terbesar China itu, pesawat pejuang generasi kelima Rusia itu telah menerima kritikan dan ejekan yang ketara di platform media sosial China.
Gambar-gambar pesawat pejuang kebanggaan China di Pameran Udara Zhuhai itu banyak dikongsi di TikTok— dan pengguna media sosial di negara itu telah dengan cepat membuat perbandingan yang “tidak membanggakan” antara Su-57 keluaran Russia itu dan pesawat pejuang Chengdu J-20 “Mighty Dragon”, pesawat pejuang generasi kelima buatan China sendiri.
Sebahagian daripada isu ini mungkin berpunca daripada keputusan Kremlin untuk menghantar pesawat prototaip Su-57 dan bukannya model pengeluaran, tetapi peminat penerbangan dengan cepat menunjukkan beberapa isu reka bentuk dan kelemahan pada pesawat pejuang Su-57 yang dilihat.
Ini termasuklah banyaknya bolt serta skrew pada fuselaj dan bahagian-bahagian pesawat pejuang Su-57 Russia itu yang tidak sejajar.
“Banyak skru: Lihat lebih dekat pada pesawat pejuang generasi kelima Su-57 Rusia di Pameran Udara Zhuhai China,” tulis laman berita ketenteraan sumber terbuka Clash Report di platform media sosial X, yang berkongsi banyak aduan yang sama dengan yang di TikTok.
“Media sosial China sangat patriotik,” jelas penganalisis industri teknologi dan media sosial, Roger Entner dari Recon Analytics.
“China kini telah membangunkan jet pejuang dalam negara yang dipercayai lebih baik daripada Rusia.”
Fakta ini mungkin telah menyukarkan Rusia untuk memenangi hati China atau malah mencari pembeli asing, yang merupakan tujuan utama menghantar pesawat pejuang Su-57 ini ke pameran udara di Zhuhai.
Ia juga mungkin memberi dunia gambaran mengenai kekurangan pesawat pejuang Su-57 tersebut.
“Pesawat Rusia mungkin direka dengan baik dari sudut aeronautikal asas, tetapi teknologi pembuatan dan teknologi bahan adalah di bawah piawaian,” jelas Dr. Matthew Schmidt, profesor madya keselamatan negara di Universiti New Haven.
Buat pertama kali, pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57 berada di bumi China bagi menyertai pameran udara “Airshow China 2024” yang diadakan di Zhuhai, wilayah Guandong.
Dibangunkan oleh Sukhoi, Su-57 adalah pesawat pejuang paling moden Russia tetapi produksinya dilaporkan berhadapan dengan masalah akibat sekatan ekonomi yang ketat oleh negara-negara Barat.
Pesawat pejuang Su-57 direkabentuk dan dibangunkan untuk menyaingi pesawat-pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat iaitu F-35 dan F-22 “Raptor.”
Kehadiran pesawat pejuang kebanggaan Russia itu telah menarik perhatian media-media China, terutamanya kerana ia akan turut mempertemukan Su-57 dengan pesawat-pesawat pejuang negara itu yang lain seperti J-15 dan FC-31 (J-35).
FC-31 adalah pesawat pejuang generasi kelima kedua China selepas J-20 “Might Dragon” dan dijangka akan beroperasi di atas dek penerbangan kapal-kapal pengangkut pesawat China di dalam beberapa tahun mendatang ini.
Kehadiran pesawat pejuang Su-57 Russia pada pameran udara di Zhuhai itu juga menunjukkan hubungan ketenteraan yang semakin rapat di antara kedua-dua negara, terutamanya ketika Moscow ditekan hebat oleh Amerika Syarikat dan sekutunya akibat pencerobohannya ke atas Ukraine.
Kehadirannya di China itu juga bertujuan menunjukkan kepada dunia dan bakal-bakal pelanggannya tentang kemampuan teknologi pesawat pejuang buatan Russias itu terutamanya daripada segi teknologi halimunan, kemodenan sistem avionik dan kelincahannya ketika berada di udara.
Russia sedang cuba memasarkan pesawat pejuang Su-57 kepada pelanggan luarnya yang sudah pun mengoperasikan pesawat pejuang buatan Russia untuk memilih Su-57 sebagai pesawat pejuang generasi kelima pilihan mereka.
Setakat ini pasaran pesawat pejuang generasi kelima dunia dikuasai oleh Amerika Syarikat dengan ratusan buah pesawat pejuang F-35 dieksport oleh syarikat pembuatnya, Lockheed Martin kepada pembeli di Asia dan Eropah.
Pesawat pejuang F-22 “Raptor” yang turut dibangunkan oleh Amerika Syarikat tidak dieksport.
Pada ketika ini, pihak Sukhoi Design Bureau masih meneruskan kerja-kerja untuk meningkatkan lagi dan meluaskan keupayaan misi pesawat pejuang Su-57 itu. — DSA
Comments are closed.