Pesawat Pejuang KF-21 “Boramae” Bakal Diletakkan di Pangkalan Udara 100km dari Korea Utara
Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) berkemungkinan akan meletakkan pesawat pejuang yang sedang dibangunkannya itu, KF-21 di sebuah pangkalan tentera di Gangneung yang terletak di Wilayah Gangwon, hanya kira-kira 100km daripada sempadan negara itu dengan Korea Utara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang generasi 4.5 Korea Selatan, KF-21 “Boramae” bakal diletakkan berhampiran dengan sempadan Korea Utara bagi membolehkan ia menangani ancaman udara daripada rejim Pyongyang dengan pantas.
Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) berkemungkinan akan meletakkan pesawat pejuang yang sedang dibangunkannya itu, KF-21 di sebuah pangkalan tentera di Gangneung yang terletak di Wilayah Gangwon, hanya kira-kira 100km daripada sempadan negara itu dengan Korea Utara.
Buat masa ini, Gangneung merupakan calon utama untuk menjadi “rumah” kepada peswat pejuang kebanggaan industri pertahanan Korea Selatan itu.
“Gangneung adalah amat penting daripada segi strategik kerana ia terletak berhampiran dengan Korea Utara dan usaha dalam memberikan respons paling cepat terhadap ancaman yang diberikan oleh Pyongyang,” kata seorang pegawai kanan Korea Selatan sebagaimana dipetik oleh medianegara itu baru-baru ini.
Buat masa ini, pangkalan udara di Gangneung itu menempatkan pesawat-pesawat pejuang F-5.
Walaupun pesawat pejuang F-5 telah berkhidmat dengan ROKAF selama lebih 40 tahun tetapi khidmatnya masih lagi diperlukan kerana beberapa faktor termasuk, tempoh persiapan untuk berlepas yang cepat, perlepasan yang cepat dan lain-lain.
Walaupun masih menjalani pelbagai ujian,, namun pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” akan mula dibina secara besar-besaran (mass production) pada tahun ini.
Syarikat yang membangunkan pesawat itu, Korea Aerospace Industries (KAI) dilaporkan akan berbelanja sebanyak US$178 juta (RM800 juta) untuk mula membina 20 buah pesawat KF-21 “Boramae” pada tahun ini dan 20 unit lagi pada tahun depan untuk ROKAF.
KAI sekurang-kurangnya akan mengambil masa selama tiga tahun sebelum pesawat pejuang KF-21 “Boramae” pertama dibinanya dapat diserahkan kepada pelanggan pertamanya iaitu Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) pada 2026.
“Pembinaan secara besar-besaran (mass production) pertama pesawat KF-21 Boramae itu dijangkakan akan mengisi vakuum kekuasaan yang ditinggalkan apabila Tentera Udara Korea Selatan menamatkan pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia,” menurut menteri pertahanan negara itu dalam satu kenyataan Disember lalu.
“Pembinaan secara besar-besaran (mass production) pertama pesawat KF-21 Boramae itu dijangkakan akan mengisi vakuum kekuasaan yang ditinggalkan apabila Tentera Udara Korea Selatan menamatkan pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia,” menurut menteri pertahanan negara itu dalam satu kenyataan Disember lalu.
ROKAF bercadang mengoperasikan sehingga 120 buah pesawat pejuang KF-21 “Boramae” menjelang tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang berusianya, F-4 “Phantom” dan F-5 yang masih digunakan oleh tentera udara negara itu.
Tentera udara negara itu bercadang menjadikan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu sebagai “tulang belakang” ROKAF, yang akan memainkan peranan penting sekiranya berlaku peperangan di Semenananjung Korea.
Selain itu, Korea Selatan juga merancang membangunkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat untuk digunakan oleh pesawat pejuang generasi 4.5, KF-21 “Boramae”.
Menurut agensi pertahanan negara itu, Defense Acquisition Program Administration (DAPA), program pembangunan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat menggunakan teknologi tempatan itu dianggarkan menelan belanja sebanyak US$460 juta (RM2 billion).
“Program pembangunan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat itu mensasarkan tahun 2035 untuk menghasilkan peluru berpandu itu.”
Program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu telah bermula pada 2015 tetapi ia hanya benar-benar bermula beberapa tahun lalu apabila KAI dan rakan-rakan teknologinya mula membina beberapa buah pesawat prototaipnya.
KAI mendapat bantuan daripada syarikat Lockheed Martin dalam program pembangunan KF-21, mengulangi kerjasama di antara dua syarikat ketika mereka sama-sama membangunkan pesawt pejuang ringan FA-50.
Pesawat prototaip KF-21 itu berjaya melakukan penerbangan sulungnya pada 2022 dan selepas itu ia telah memulakan kira-kira 2,000 penerbangan ujian yang perlu dilakukannya untuk menguji pelbagai sistem dan komponen.
Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.59 bilion (RM26.36 bilion).
KAI merancang untuk membekalkan 40 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada fasa seterusnya.
Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada pelanggan-pelanggan yang berminat.
KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina, Iraq dan Poland serta Malaysia.
Dengan anggaran harga per-unit pada US$65 juta (RM260 juta) sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media pertahanan antarabangsa, harga KF-21 (mungkin Block 1) adalah lebih rendah berbanding pesawat-pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon. — DSA