Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang Generasi Ke-Enam China Shenyang J-50 Lakukan Ujian Penerbangan

Platform-platform media sosial China hari ini telah menyiarkan beberapa keping gambar menunjukkan sebuah pesawat pejuang generasi ke-enam J-50 sedang melakukan ujian penerbangan di ruang udara tidak dapat dipastikan di negara itu.

0 3,769
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah lagi pesawat pejuang generasi ke-enam China, J-50 yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation (SAC) dilihat melakukan penerbangan ujiannya yang terkini di ruang udara China hari ini.
Platform-platform media sosial China hari ini telah menyiarkan beberapa keping gambar menunjukkan sebuah pesawat pejuang generasi ke-enam J-50 sedang melakukan ujian penerbangan di ruang udara tidak dapat dipastikan di negara itu.
Ia adalah gambar yang paling jelas memaparkan rekabentuk pesawat pejuang generasi keenam China itu, yang memiliki dua enjin dan berkemungkinan direkabentuk untuk menjadi pesawat pejuang Air Dominance, sama seperti pesawat pejuang generasi ke-enam Amerika Syarikat iaitu F-47.
Menurut pemerhati, analisis terhadap reka bentuk pesawat pejuang J-50 ini menunjukkan gabungan teknologi yang bertujuan mencapai keunggulan dalam pertempuran udara, operasi berasaskan rangkaian, serta kemampuan bertahan di ruang udara yang dikawal ketat oleh pertahanan musuh.
Pesawat J-50 juga dipercayai dilengkapi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan penerbangan, membolehkannya membuat analisis sendiri dalam situasi pertempuran, mengenal pasti sasaran, serta membuat keputusan taktikal secara autonomi.
Teknologi ini dapat mengurangkan beban tugas rutin juruterbang, sekali gus membolehkan mereka lebih menumpukan perhatian kepada kawalan strategik misi.
Pesawat pejuang J-50 pertama kali dilihat menjalani ujian penerbangan di Shenyang, Wilayah Liaoning, pada 26 Disember 2024.
Shenyang J-50
Shenyang J-50
J-50
J-50
Menurut pemerhati juga, pesawat pejuang J-50 dilihat dilengkapi dengan Electro-Optical Targeting System (EOTS) dan juga Thrust Vector Control (TVC).
Electro Optical Targeting System (EOTS) atau Sistem Penyasaran Elektro-Optik ialah sebuah sistem penderia canggih pada pesawat pejuang yang menggunakan teknologi elektro-optik dan inframerah untuk mengesan, menjejak, mengenal pasti, serta menyasarkan objek atau sasaran di udara dan permukaan secara tepat, pada jarak jauh, dalam pelbagai keadaan cuaca serta waktu siang dan malam.
EOTS biasanya merangkumi kamera resolusi tinggi, penderia inframerah (FLIR – Forward-Looking Infrared), serta penanda sasaran laser untuk panduan senjata berpandu tepat seperti peluru berpandu udara ke darat atau bom pintar.
Thrust Vector Control (TVC), atau Kawalan Vektor Tujahan, ialah teknologi canggih pada pesawat pejuang yang membolehkan muncung enjin pesawat dikawal atau digerakkan bagi mengubah arah tujahan enjin secara dinamik ketika penerbangan.
Melalui kaedah ini, daya tujahan jet dapat diarahkan ke pelbagai sudut bagi meningkatkan kemampuan manuver pesawat secara drastik, terutamanya dalam situasi pertempuran jarak dekat (dogfight).
Pada ketika ini, China sedang melakukan ujian penerbangan terhadap dua pesawat pejuang generasi ke-enam iaitu J-36 yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation (CAC) dan J-50 yang dibangunkan oleh SAC.
Shenyang J-50
Shenyang J-50
Pemerhati ketenteraan China meramalkan kedua-dua pesawat pejuang generasi ke-enam China itu, J-36 dan J-50 akan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Angkatan Tentera China pada tahun-tahun 2030-an.
Selain melakukan ujian penerbangan terhadap dua pesawat pejuang generasi ke-enam, industri aeroangkasa China juga sedang melakukan ujian terhadap pesawat pejuang generasi kelimanya yang kedua iaitu, J-35 yang juga dibangunkan oleh SAC.
J-35 merupakan pesawat pejuang generasi kelima kedua China, selepas J-20 Mighty Dragon yang dibangunkan oleh CAC.
Pesawat pejuang generasi kelima J-35 itu sedang dibangunkan untuk beroperasi daripada atas dek penerbangan kapal pengangkut China, namun Beijing juga sedang membangunkan varian J-35 yang akan beroperasi daripada landasan konvensional.
Pakistan telah mengumumkan secara terbuka bahawa ia akan memperolehi 40 buah pesawat pejuang generasi kelima J-35A sebagai usaha untuk meningkatkan lagi kemampuan tentera udaranya dalam menangani ketidaktentuan geo-politik di rantau itu.
Shenyang J-50
Shenyang J-50

Reka Bentuk dan Ciri-Ciri Utama J-50:

  • Konfigurasi Sayap: J-50 menampilkan reka bentuk sayap lambda tanpa ekor dengan sudut sapuan tajam dan hujung sayap yang condong ke bawah. ​
  • Sistem Kawalan: Pesawat ini dilengkapi dengan hujung sayap yang boleh berputar, berfungsi sebagai permukaan kawalan tambahan untuk meningkatkan keupayaan manuver, menggantikan keperluan untuk sirip menegak tradisional. ​
  • Enjin Berkembar: J-50 dikuasakan oleh dua enjin yang ditempatkan dalam nacelle berkembar, dengan pengambilan udara ventral yang direka tanpa pemisah (diverterless supersonic intake, DSI) untuk mengurangkan jejak radar dan meningkatkan prestasi aerodinamik. ​

Peranan dan Keupayaan:

Analisis awal menunjukkan bahawa J-50 direka untuk peranan penguasaan udara, dengan penekanan pada ciri-ciri halimunan dan keupayaan operasi dalam ruang udara yang dipertikaikan.
Reka bentuk tanpa ekor (tailess) dan penggunaan bahan penyerap radar (radar absorbing material) bertujuan untuk mengurangkan jejak radar, manakala integrasi sensor canggih dijangka membolehkan operasi bersama dengan pesawat tanpa pemandu (UCAV). ​
J-36
J-36

Status Pembangunan:

Setakat April 2025, J-50 masih dalam fasa ujian penerbangan awal, dengan satu prototaip yang disahkan telah dibina.
Maklumat terperinci mengenai spesifikasi lanjut, sistem avionik, dan persenjataan masih terhad dan tertakluk kepada perubahan berdasarkan perkembangan lanjut dalam program ini. ​

Nota Tambahan:

Perlu diingat bahawa maklumat mengenai J-50 adalah berdasarkan pemerhatian dan analisis awal, dan butiran lanjut mungkin akan didedahkan oleh pihak berkuasa China apabila program ini mencapai tahap pembangunan yang lebih matang.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.