Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang Gen-5 Russia, Su-57 Kini Dilengkapi Enjin Tahap Kedua AL-51F1 (Izdeliye 30)

Filem itu menarik perhatian kerana buat pertama kali ia memaparkan pesawat pejuang generasi kelima Su-57 (NATO Designation Su-57 Felon) milik Russia itu dilengkapi dengan enjin peringkat kedua, iaitu Product 30 (Izdeliye) atau AL-51F1, dengan muncung (nozzle) rata dan vektor tujahan (thrust vectoring) boleh ubah (deflectable).

0 382
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Salah sebuah stesen televisyen Russia telah menayangkan treler filem Masters of the Sky, yang didedikasikan sempena ulang tahun ke-85 Biro Reka Bentuk Eksperimen Pavel Sukhoi (Pavel Sukhoi Experimental Design Bureau).
Filem itu menarik perhatian kerana buat pertama kali ia memaparkan pesawat pejuang generasi kelima Su-57 (NATO Designation Su-57 Felon) milik Russia itu dilengkapi dengan enjin peringkat kedua, iaitu Product 30  (Izdeliye 30)atau AL-51F1, dengan muncung (nozzle) rata dan vektor tujahan (thrust vectoring) boleh ubah (deflectable).
Sebagaimana dinyatakan dalam artikel disiarkan oleh portal berita aeroangkasa Russia, “RuAviation”, treler filem tersebut memperlihatkan beberapa rakaman pesawat prototaip T-50-2 yang dilengkapi sistem pendorongan (propulsion) yang dinanti-nantikan, serta pesawat Su-57M dengan dua enjin tahap kedua AL-51F1.
Enjin tahap kedua AL-51F1 adalah komponen terakhir yang menjadikan pesawat pejuang Su-57 buatan Russia itu mematuhi sepenuhnya keperluan yang ditetapkan oleh negara itu bagi pesawat pejuang generasi kelima.
Keperluan tersebut merangkumi kebolehan pelbagai fungsi, teknologi halimunan, kelincahan ultra, kebijaksanaan serta kesedaran menyeluruh juruterbang terhadap persekitaran luaran, muatan kombat yang besar dengan peluru berpandu jarak jauh berketepatan tinggi, serta penerbangan supersonik dalam mod tanpa afterburner.
Pematuhan kriteria terakhir berkenaan penerbangan supersonik dalam mod ini dicapai melalui enjin peringkat kedua.
Pesawat pejuang Su-57 adalah pencapaian kejuruteraan yang mengagumkan.
Keupayaannya untuk mencapai kelajuan Mach 2 tanpa menggunakan afterburner membuktikan reka bentuk dan teknologinya yang canggih.
Keupayaan ini yang dikenali sebagai “supercruise,” membolehkan pesawat pejuang Su-57 itu mengekalkan kelajuan supersonik tanpa memerlukan afterburner, yang biasanya digunakan untuk mencapai kelajuan tersebut tetapi mengakibatkan penggunaan bahan api yang tinggi serta menghasilkan tanda haba yang besar.
Oleh itu, maklumat terkandung di dalam filem mengenai Su-57 dengan enjin tahap kedua AL-51F1 menunjukkan bahawa sistem pendorongan (propulsion) bagi pesawat itu ini sudah siap, telah diuji, dan boleh dipasang sebagai standard.

Su-57

Pada Disember 2023, sumber Tentera Udara Rusia memberitahu TASS tentang rancangan untuk melengkapkan semua pesawat Su-57 yang dihasilkan di kemudahan pembuatan pesawat Komsomolsk-on-Amur dengan enjin AL-51F1 bermula 2024.
Namun, pesawat pejuang yang telah dihantar oleh United Aircraft Corporation (UAC) kepada Tentera Udara Russia pada tahun lepas masih menggunakan enjin peringkat pertama – AL-41F1 (Product 117).
Pembangunan enjin peringkat kedua AL-51F1 untuk pesawat Su-57 sedang dilaksanakan oleh Biro Reka Bentuk Arkhip Lyulka.
Pelancaran pertama prototaip enjin tahap kedua ini telah dilakukan pada bangku pada 11 November 2016, manakala ujian penerbangan bermula pada Disember 2017 menggunakan pesawat prototaip dengan tailsign ‘052’ (T-50-2).
Enjin tahap kedua itu pertama kalinya diperkenalkan dengan nama AL-51F1 pada Julai 2023 dalam satu persidangan saintifik dan teknikal mengenai prospek pembangunan teknologi enjin di Universiti Teknikal Samara.
Dalam pembentangan oleh ODK-Kuznetsov, enjin peringkat kedua untuk Su-57 telah dilabelkan sebagai AL-51F1 pada salah satu slaid.
Izdeliye 30
Izdeliye 30
Enjin peringkat pertama AL-41F1 mempunyai tujahan nominal (nominal thrust) sebanyak 8,800 kgf, 14,500 kgf dengan afterburner, dan 15,000 kgf dalam mod kecemasan.
Menurut pakar dan penganalisis industri penerbangan, enjin AL-51F1 dijangka mampu menghasilkan tujahan nominal (nominal thrust) sekurang-kurangnya 11,000 kgf dan 17,000 kgf dengan afterburner.
Dengan berat berlepas (Maximum Take-Off Weight) pesawat pejuang Su-57 melebihi 35 tan, nisbah tujahan-ke-berat pesawat itu dijangka melebihi satu, iaitu sekitar 1.15 hingga 1.2 pada berat berlepas normal.
Ketika ini, parameter tersebut berada pada tahap 1.09 untuk berat berlepas normal dan 0.97 pada berat berlepas penuh. — DSA
Leave A Reply

Your email address will not be published.