Pesawat Eurofighter Typhoon Jerman Pintas, “Halau” Dua Buah Pesawat MiG-29K Russia
Menurut pegawai-pegawai Latvia, pesawat-pesawat pejuang MiG-29K Russia itu dipintas kerana ia tidak memaklumkan pelan penerbangannya (flight plan) kepada pihak berkuasa penerbangan negara Baltik itu serta “mendiamkan diri” daripada sebarang hubungan komunikasi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon milik Jerman yang berpangkalan di negara Baltic, Latvia telah dikerah untuk memintas dua buah pesawat pejuang MiG-29K di ruang udara Laut Baltic beberapa hari lalu.
Menurut pegawai-pegawai Latvia, pesawat-pesawat pejuang MiG-29K Russia itu dipintas kerana ia tidak memaklumkan pelan penerbangannya (flight plan) kepada pihak berkuasa penerbangan negara Baltik itu serta “mendiamkan diri” daripada sebarang hubungan komunikasi.
Pesawat pejuang MiG-29K adalah varian pesawat pejuang pelbagai guna dibangunkan pada tahun-tahun 1980-an yang beroperasi di atas kapal pengangkut pesawat Russia.
Dikenali sebagai pesawat pejuang pelbagai guna generasi ke-4 Russia, MiG-29K itu direkabentuk untuk beroperasi dalam keadaan semua cuaca dan berkemampuan melaksanakan misi-misi udara-ke-udara dan juga udara-ke-darat.
Pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang beroperasi di Latvia itu adalah sebahagian daripada misi penguatkuasa ruang udara oleh NATO (NATO Baltic Air Policing) di negara-negara Baltic daripada pencerobohan pesawat-pesawat kombat Russia.
Selain daripada pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, tentera Jerman juga menyumbang Control and Reporting Centre (CRC) di Ämari Air Base in Estonia.
Kemudahan CRC itu telah diintergrasikan ke dalam jaringan Kawalan dan Pengawasan Ruang Udara, sekaligus meningkatkan kemampuan pakatan ketenteraan itu untuk memantau dan bertindak-balas terhadap sebarang percubaan untuk menceroboh ruang udara.
Sejak negara-negara Baltic menyertai NATO, pakatan ketenteraan itu telah mengekalkan misi-misi penguatkuasaan ruang udara yang ketat kawasan terbabit terutamanya di ruang udara Laut Baltic yang bersempadan dengan Russia.
Misi penguatkuasaan ruang udara itu telah berlangsung selama dua dekad dan menunjukkan komitmen NATO terhadap kedaulatan wilayah dan keselamatan negara-negara anggota NATO di Baltic.
Insiden pemintasan pesawat-pesawat MiG-29K beberapa hari lalu itu adalah insiden terkini menggambarkan ketegangan di ruang udara Laut Baltic akibat daripada konflik yang sedang berlaku di wilayah Ukraine.
Pada akhir Jun lalu, Tentera Udara Norway telah mengerahkan dua buah pesawat pejuang generasi kelimanya, F-35 untuk memintas dan mengiringi dua buah pesawat peronda maritim dan anti-peperangan kapal selam (ASW) Tupolev Tu-142MK milik Russia yang melakukan penerbangan di Teluk Biscay, pantai barat Perancis.
Kedua-dua pesawat peronda maritim Russia itu sedang melaksanakan “misi khas.”
Menurut majalah Jerman “Flug Revue”, kedua-dua pesawat peronda maritim Russia itu telah melakukan penerbangan selama 15 jam sejauh 10,000km daripada Teluk Biscay ke kawasan di Atlantik Utara.
“Misi khas” kedua-dua pesawat Tu-142MK itu bermula daripada Kipelovo dan ia bermatlamat untuk menguji radar Over-The-Horizon (OTH) yang baru dipasang di Nizhny Novgorod, Russia.
Menurut portal pertahanan itu lagi, selain dua buah pesawat peronda maritim Tu-142MK , pesawat pengebom Tu-95 juga dikesan melakukan penerbangan di pesisiran pantai Alaska.
Menurut NORAD (North American Aerospace Defence Command), pesawat pengebom Tu-95 itu telah memasuki Air Defense Identification Zone (ADIZ) dan berada di dalam zon itu selama kira-kira empat jam.
Pada Jun juga, sebuah pesawat pejuang Su-24 milik Tentera Udara Russia telah menceroboh ruang udara Sweden di timur Gotland yang merupakan pulau terbesar negara Scandinavia itu dan terletak di Laut Baltik.
Pulau Gotland itu terletak hanya kira-kira 300km daripada wilayah exclave Russia, Kaliningrad dan 600km daripada tanah besar Russia.
Insiden pencerobohan pesawat pejuang Su-24 Russia terhadap ruang udara Sweden yang berlaku pada 14 Jun lalu, adalah kali pertama ianya berlaku sejak negara Scandinavia terbabit menjadi anggota NATO terbaru.
Menurut Angkatan Tentera Sweden, walaupun menerima amaran menerusi radio daripada pusat pemerintahan Angkatan Tentera Sweden, namun pesawat pejuang Russia itu tidak mengubah laluan mereka.
“Kedegilan” pesawat pejuang Su-24 Russia itu telah menyebabkan pihak tentera udara Sweden mengerahkan pesawat pejuang JAS-39 Gripen miliknya untuk memaksa pesawat pejuang Russia itu meninggalkan ruang udaranya.
“Tindakan oleh Russia itu tidak boleh diterima dan menunjukkan ia tidak menghormati kedaulatan wilayah negara lain. Kami mengikuti keseluruhan process itu dan berada di situ untuk campur tangan,” kata beliau.
Walaupun pencerobohan itu adalah singkat, tetapi implikasinya adalah besar, kata beliau. — DSA
Comments are closed.