Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Keluar Video Aksi “Berbahaya” Su-35 Milik Russia Di Syria

Pertembungan "berbahaya" di antara pesawat pejuang Russia dan Amerika Syarikat di Syria itu berlaku kira-kira sebulan selepas seorang pegawai tinggi tentera Amerika Syarikat mendedahkan bahawa pesawat-pesawat pejuang Russia telah melakukan penerbangan provokatif di ruang udara atas pangkalan dan kemudahan tenteranya di Syria “hampir setiap hari” di dalam bulan lepas.

0 2,089

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pusat Pemerintahan Tentera Udara Amerika Syarikat di Timur Tengah (AFCENT) semalam telah mengeluarkan dua video yang menunjukkan insiden pertembungan udara “berbahaya” di antara pesawat pejuang Su-35 lengkap bersenjata Russia dengan pesawat-pesawat pejuang miliknya.

Kedua-dua video itu telah diambil menggunakan Targeting Pod dimiliki oleh pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat.

Insiden terbabit berlaku kira-kira sebulan selepas seorang pegawai tinggi tentera Amerika Syarikat mendedahkan bahawa pesawat-pesawat pejuang Russia melakukan penerbangan provokatif di ruang udara atas pangkalan dan kemudahan tenteranya di Syria “hampir setiap hari” di dalam bulan Mac.

Su-35 Russia
Pesawat Su-35 Russia di Syria

 

Pegawai tinggi Central Command (CENTCOM) itu, Lt Jen Alexus Grynkewich dilaporkan berkata bahawa, penerbangan-penerbangan seumpama oleh pesawat pejuang Russia itu merupakan “peningkatan mendadak” berbanding bulan-bulan sebelum ini.

“Tindakan Russia itu telah melanggar perjanjian pada 2019 di antara Moscow dan Washington berkenaan penggunaan ruang udara di kawasan di mana kedua-dua negara memiliki kemudahan tentera di Syria”

“Russia, nampaknya telah membatalkan (abandoned) perjanjian itu di dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” kata Grynkewich sambil menambah bahawa pelanggaran ruang udara oleh pesawat pejuang Russia pada bulan ini  merupakan peningkatan yang mendadak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh AFCENT (U.S Air Force Central)  menyatakan bahawa video resolusi tinggi itu diambil oleh pesawat pejuang Amerika Syarikat yang tidak didedahkan identitinya menggunakan Targeting Pod “Sniper.”

Pelbagai pesawat pejuang Amerika Syarikat dan negara sekutunya menggunakan Targeting Pod “Sniper” termasuk F-15 negara itu yang ditempatkan di Jordan untuk melaksanakan misi-misi di Syria.

“Pada 18 April 2023 yang lalu, pesawat pejuang Tentera Udara Amerika Syarikat berlepas daripada pangkalan udara di rantau itu untuk memintas pesawat pejuang Russia. Semasa pemintasan, pesawat pejuang Russia itu telah diterbangkan secara tidak professional pada jarak kira-kira 2,000 kaki daripada pesawat pejuang Amerika Syarikat, melanggar protocol sedia ada,” kata AFCENT.

AFCENT juga berkata dalam satu lagi video yang dikeluarkan tetapi dalam keadaan resolusi yang rendah telah diambil oleh pesawat pejuang F-16 pada 2 April 2023.

“Pada 2 April 2023, sebuah pesawat pejuang Su-35 telah melakukan pemintasan tidak selamat dan tidak professional. Pesawat pejuang berkenaan beroperasi di ruang udara di mana protokol kedua-dua negara mengiktirafnya sebagai ruang udara yang dikawal oleh pihak bersekutu di Syria.”

Ia berkata insiden terbabit menyamai corak tindakan berbahaya oleh juruterbang Russia semasa berinteraksi dengan pesawat-pesawat Amerika Syarikat dan Bersekutu.

Aksi-aksi agresif oleh juruterbang dan krew Russia menurut AFCENT boleh menyebabkan berlakunya insiden-insiden yang tidak diingini. 

Amerika Syarikat dan Russia masing-masing memilliki kemudahan tentera di Syria.

Kedua-dua negara itu telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) menggariskan protokol keselamatan penggunaan ruang udara di Syria untuk mengelak sebarang insiden pertembungan membabitkan pesawat tentera kedua-dua negara.

Penganalis mendakwa peningkatan penerbangan pesawat-pesawat tentera Russia di ruang udara pangkalan tentera Amerika di Syria itu berkait-rapat dengan peningkatan ketegangan di antara kedua-dua negara akibat daripada konflik di Ukraine.

Amerika Syarikat merupakan pendokong kuat kepada kerajaan Ukraine dalam usahanya menentang pencerobohan Russia dan telah menyumbang pelbagai jenis senjata bernilai puluhan billion dollar Amerika.

Sniper
Targeting Pod “Sniper”

 

Ketegangan di antara kedua-dua negara kuasa nuklear semakin meningkat sehingga ke tahap ramai penganalisis mengatakan bahawa Moscow dan Washington semakin hari semakin hampir ke konflik nuklear, terutamanya selepas insiden membabitkan dron MQ-9 Reaper Amerika di Laut Hitam baru-baru ini.

Amerika menuduh pesawat pejuang Su-27 Russia telah dengan sengaja melanggar kipas dron itu yang sedang melakukan misi ISR (Intelligence,Surveillance and Reconnaisance) di Laut Hitam, sehingga menyebabkan ia terhempas di laut itu.

Pihak Russia dikatakan sedang berusaha untuk mencari dan menaikkan dron MQ-9 Reaper yang terhempas itu. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...