Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perjanjian Benar Qatar Tempatkan Pesawat, Tentera Di Turki Bermula

Penempatan pesawat-pesawat Tentera Udara Qatar di Turki terutamanya membabitkan pesawat pejuang Rafale tidak disenangi oleh Greek yang bimbang Tentera Udara Turki akan menggunakan penempatan pesawat pejuang buatan syarikat Dassault Aviation di Turki itu untuk mengetahui tentang “titik kelemahan dan kekuatan” pesawat itu dan mengeksploitasinya.

0 5,394

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Pada Mac tahun lepas, Turki dan Qatar telah menandatangani perjanjian yang membenarkan penempatan sejumlah pesawat dan anggota tentera Tentera Udara Qatar di negara Mediterranean terbabit.

Perjanjian ketenteraan antara kedua-dua negara itu telah ditandatangani antara Ketua Staf Angkatan Tentera Turki Jeneral  Yasar Guler dan Ketua Staf Angkatan Tentera Qatar Al-Ghanim.

Selepas lebih daripada setahun, perjanjian ketenteraan yang akan menyaksikan penempatan pesawat dan tentera udara Qatar di Turki mulai dikuatkuasakan, selepas ia dimaklumkan dalam gazet kerajaan Turki baru-baru ini.

Qatar
Pesawat Mirage 2000 Qatar

 

Matlamat utama perjanjian di antara Turki dan Qatar itu adalah untuk menyumbang kepada latihan dan pengalaman juruterbang Qatar.

Menerusi perjanjian di antara dua negara sahabat itu, Qatar boleh menghantar sehingga 250 orang anggota Tentera Udara Qatar dan 36 buah pesawat pelbagai jenis ke lokasi yang akan ditentukan oleh Angkatan Tentera Turki.

Pesawat-pesawat tentera Qatar itu akan dibenarkan terbang di ruang udara Turki dan dibenarkan mendapat akses kepada lapangan-lapangan terbang di negara Mediterranean itu, selain mendapat nombor identifikasi penerbangan yang berlainan bagi membezakan ia dengan pesawat-pesawat tempatan.

Bagaimanapun menurut perjanjian itu, pihak Turki akan menentukan bilangan anggota dan pesawat tentera Qatar.

Walaupun tiada kata putus mengenai jenis pesawat tentera udara Qatar yang akan ditempatkan di Turki, media tempatan menyatakan bahawa negara Teluk itu akan menempatkan pesawat pengangkut C-130J dan C-17 selain 12 buah pesawat pejuang Rafale dan 10 buah pesawat Mirage 2000.

Rafale
Pesawat pejuang Rafale Tentera Udara Qatar.

 

Segala operasi pesawat-pesawat tentera Qatar itu perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Turki terlebih dahulu.

Bagi memastikan operasi pesawat pengangkut Qatar itu sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan, seorang juruterbang Tentera Udara Turki perlu sentiasa berada di dalam pesawat itu sebagai pemantau di dalam kokpit.

Juruterbang pemantau Turki itu diberikan kelulusan untuk mengubah laluan penerbangan pesawat tentera Qatar itu sekiranya dirasakan perlu.

Bagi operasi-operasi latihan pesawat Qatar pula, mereka akan diiringi oleh pesawat Turki.

Kecuali dibenarkan oleh Turki, segala peralatan elektronik dan sensor untuk fotografi, peninjauan dan pengumpulan maklumat perisikan di pesawat-pesawat Qatar itu perlu dipadamkan.

Qatar
Tentera Turki di Qatar

 

Perjanjian di antara Turki dan Qatar berkenaan penempatan anggota tentera dan pesawat negara Arab itu effektif untuk lima tahun.

Selain melibatkan penempatan pesawat dan anggota tentera Qatar di Turki, perjanjian lima tahun itu juga akan menyaksikan penempatan satu unit tentera elit Turki dipanggil “Agile Force Team” di Qatar bagi membantu keselamatan negara Teluk kaya-raya itu semasa ia menganjurkan kejohanan bolasepak Piala Dunia. 

Penempatan pesawat-pesawat Tentera Udara Qatar di Turki terutamanya membabitkan pesawat pejuang Rafale tidak disenangi oleh Greek yang bimbang Tentera Udara Turki akan menggunakan penempatan pesawat pejuang buatan syarikat Dassault Aviation di Turki itu untuk mengetahui tentang “titik kelemahan dan kekuatan” pesawat itu dan mengeksploitasinya.

Ia akan membolehkan pesawat-pesawat F-16 Turki lebih bersedia untuk berhadapan dengan pesawat-pesawat Rafale yang baru sahaja diperolehi oleh Tentera udara Greek terutamanya apabila pesawat kedua-dua negara itu “bertembung” di Laut Mediterranean dan Laut Aegean.

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Turki dan Greek sememanynya adalah musuh lama dengan kedua-duanya mempunyai pertikaian yang mendalam tentang sempadan di perairan timur Laut Mediterranean.

Greek membeli 24 buah pesawat pejuang Rafale selepas menandatangani kontrak bernilai US$3.4 bilion dengan Paris,  dengan 12 daripada pesawat itu adalah pesawat  terpakai Tentera Udara Perancis manakala selebihnya pesawat-pesawat baru.  

Pesawat-pesawat Rafale Greek dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor BVRAAM” (Beyond Visual Range Air-to-Air Missile) buatan syarikat MBDA Systems yang mempunyai kemampuan menangani ancaman udara daripada jarak sejauh 120km-150km. 

Selain pesawat pejuang Rafale, Greek turut menandatangani perjanjian dengan Perancis untuk memperolehi tiga buah kapal friget kelas-Belharra bernilai lebih US$3 bilion yang dibangunkan oleh syarikat Naval Group. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

Comments
Loading...