Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia Kena Saman Kerana Isu Batu Puteh

Menurut laporan portal Malaysiakini hari ini, warganegara Malaysia Mohd Hatta Sanuri memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Mei itu dan menyenaraikan perdana menteri (yang tidak bernama) dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

7,730

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia dicabar di mahkamah kerana menarik balik permohonan negara pada tahun 2018 untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menyatakan bahawa kedaulatan Batu Puteh adalah milik Singapura.

Menurut laporan portal Malaysiakini hari ini, warganegara Malaysia Mohd Hatta Sanuri memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Mei itu.

Beliau menyenaraikan perdana menteri (yang tidak bernama) dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Pada saat pemfailan saman pada bulan Mei, jawatan perdana menteri masih agi disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun pada bulan lepas beliau mengundurkan diri dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri ke-sembilan Malaysia.

Pada akhir Mei 2018, selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ, yang merupakan mahkamah tertinggi PBB.

Mahathir
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Kerajaan Singapura dilaporkan “gembira” apabila Malaysia telah memberitahu ICJ pada 28 Mei tahun itu pihaknya akan menarik balik permohonan semakan itu.

Batuan Maritim  itu dengan ukuran tidak lebih dari separuh padang bola – dikenali sebagai Batu Puteh di Malaysia dan Pedra Branca di Singapura dan terletak kira-kira 15km dari pantai selatan Semenanjung Malaysia.

Menurut salinan writ saman yang dilihat oleh Malaysiakini, plaintif Hatta, 45, berkata tuntutan yang difailkan di mahkamah itu adalah untuk dirinya sendiri serta 32 juta warganegara Malaysia yang lain.

Menurutnya, semua rakyat Malaysia menerima akibat tindakan secara sepihak daripada defendan menarik balik permohonan semakan ICJ tanpa terlebih dahulu membentangkan dan membincangkannya di parlimen.

Hatta mendakwa kerajaan sehingga kini belum memberikan penjelasan kerana menarik balik permohonan semakan ICJ berdasarkan bukti-bukti baru yang menyokong pihak Malaysia dalam usaha menuntut kedaulatan negara ke atas Batu Puteh.

“Ia adalah sangat tidak adil bagi plaintif apabila semakan semula itu ditarik balik begitu sahaja tanpa sebab atau penjelasan, seolah-olah isu tuntutan Pulau Batu Puteh ini merupakan sesuatu perkara yang remeh dan boleh dilepaskan atau dilupakan begitu sahaja sedangkan ia melibatkan kedaulatan negara Malaysia ini.

ICJ
International Court of Justice (ICJ) ,The Hague yang terletak di Belanda.

 

“Plaintif selaku rakyat serta semua 32 juta lebih rakyat Malaysia lainnya berhak mendapatkan penjelasan mengapa keputusan menarik diri daripada semakan keputusan dan tidak meneruskan prosiding yang dimulakan sebelum ini yang dibuat secara unilateral dan senya-senyap tanpa sebarang perbahasan atau perbincangan umum dengan semua rakyat Malaysia sebelum keputusan (tarik balik kes) dibuat,” kata Hatta dalam tuntutan samannya.

Plaintif antaranya memohon mahkamah memerintahkan kedua-dua defendan memberikan penjelasan bertulis mengenai alasan penarikan permohonan semakan ICJ dan untuk pengisytiharan bahawa mereka telah cuai dan melanggar kepercayaan semua warganegara Malaysia.

Pampasan RM10 juta

Hatta meminta pengisytiharan agar defendan membayar sekitar RM10 juta ganti rugi (atau berdasarkan pertimbangan mahkamah selanjutnya) kepada warganegara Malaysia, yang dihitung berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan kerugian ekonomi yang ditanggung oleh semua rakyat Malaysia, termasuk kepada dirinya.

Dia juga meminta perintah mahkamah, antara lain, supaya defendan mendedahkan secara terperinci jumlah kos yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk menyiapkan permohonan semakan ICJ pada 3 Februari 2017 sehinggalah ke saat para defendan tiba-tiba menarik balik permohonan tersebut seperti yang disahkan oleh ICJ pada 1 Jun 2018 .

Melalui Memorandum Kehadiran yang diajukan pada 26 Ogos dan dilihat oleh Malaysiakini, Jabatan Peguam Negara (AGC) mewakili pihak defendan dalam kes tuntutan saman ini.

Menurut senarai kertas kausa dalam talian di ecourtservices.kehakiman.gov.my, perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes dalam talian di hadapan pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Isnin minggu depan.

Hatta diwakili oleh firma guaman Tetuan Mohaji, Hazury & Ismail.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments are closed.