Perancis Dakwa China Lancar Kempen Disinformasi Global Untuk Cemarkan Reputasi Pesawat Pejuang Rafale

Pihak perisikan Perancis mendakwa Beijing menggunakan rangkaian kedutaan dan pegawai pertahanan untuk menggugat pasaran Rafale di Asia Tenggara, sambil mempromosi jet pejuang buatan China.

Pihak tentera dan perisikan Perancis telah mengemukakan dakwaan yang mengejutkan bahawa China kini didakwa menggunakan rangkaian diplomatik globalnya bagi merosakkan reputasi pesawat pejuang multirole utama Perancis, Rafale.
Menurut laporan Associated Press (AP) yang memetik pegawai kanan Perancis secara eksklusif dengan syarat identiti mereka dirahsiakan, kedutaan-kedutaan China dilaporkan aktif menyebarkan keraguan mengenai prestasi Rafale selepas insiden pertempuran udara antara India dan Pakistan pada Mei lalu.
Tuduhan itu mendakwa bahawa atase pertahanan China di kedutaan-kedutaan utama seluruh dunia telah bertindak secara senyap meyakinkan beberapa negara pembeli Rafale, termasuk Indonesia, supaya mempertimbangkan semula perolehan pesawat tersebut dan sebaliknya beralih kepada pesawat pejuang buatan China.
Penganalisis pertahanan Perancis percaya usaha merosakkan reputasi ini berkait rapat dengan insiden konfrontasi udara empat hari antara India dan Pakistan, salah satu ketegangan paling serius antara kedua-dua negara bersenjata nuklear itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Konflik tersebut menyaksikan India mengerahkan Rafale untuk misi serangan terhadap sasaran di Pakistan, sekali gus mempertembungkan teknologi aeroangkasa Perancis dengan pesawat pejuang buatan China digunakan Tentera Udara Pakistan, lengkap dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh.
Pakistan mendakwa bahawa pesawat pejuangnya telah menembak jatuh lima pesawat India termasuk tiga buah Rafale — satu dakwaan yang jika disahkan bakal menjadi kehilangan tempur terbesar buat pesawat buatan Dassault Aviation sejak beroperasi.
Bagaimanapun, pegawai Perancis bertindak pantas menafikan dakwaan itu sambil menuduh Pakistan dan sekutunya, China, melaksanakan apa yang digambarkan sebagai “kempen Rafale-bashing secara industri” untuk meruntuhkan keyakinan negara pembeli sedia ada dan bakal pelanggan, terutama di Asia Tenggara yang kini menjadi pasaran pesawat pejuang bernilai berbilion dolar.
India Rafale
Pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India
Di sebalik dakwaan reputasi yang tercemar, kepentingan ekonomi dan geo-strategik Perancis adalah sangat besar.
Rafale bukan sekadar aset tempur pelbagai peranan yang terbukti di medan, tetapi juga jambatan diplomatik yang mengukuhkan hubungan Paris dengan rakan-rakan strategik di Asia dan Timur Tengah pada saat pengaruh pertahanan China semakin melebar di seluruh Global South.
Rekod jualan Dassault Aviation menunjukkan sebanyak 533 unit Rafale telah ditempah setakat ini, dengan 323 daripadanya dieksport ke Mesir, Qatar, Greece, Croatia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Serbia, India dan Indonesia.
Indonesia sahaja telah menandatangani kontrak bernilai kira-kira USD8.1 bilion (anggaran RM38 bilion) untuk perolehan 42 pesawat Rafale dan dilaporkan sedang mempertimbangkan perolehan tambahan — menjadikan Jakarta sasaran utama Beijing dalam usaha memasarkan pesawat Chengdu J-10C dan JF-17 Block III ke rantau Asia Tenggara.
Penyelidik digital di Perancis yang memantau naratif disinformasi mendapati kempen penafian reputasi pesawat pejuang Rafale itu meledak sebaik sahaja konflik udara India-Pakistan tercetus.
Lebih 1,000 akaun media sosial baharu dikatakan muncul, berkongsi video, imej manipulasi bangkai Rafale yang kononnya jatuh, kandungan AI, malah rakaman permainan video yang diolah seolah-olah rakaman tempur sebenar bagi memburukkan imej pesawat Rafale.
Walaupun pihak perisikan Perancis mengakui mereka belum dapat mengaitkan semua serangan siber itu secara terus kepada kerajaan China, mereka mendakwa terdapat pola yang jelas di mana serangan dalam talian disokong dengan usaha diplomatik di lapangan oleh atase pertahanan China di beberapa ibu negara serantau.
Indian Rafale
Pesawat pejuang Rafale India
Atase-atase pertahanan itu dilaporkan menyampaikan naratif sama dalam mesyuarat tertutup bersama pegawai keselamatan dan perolehan negara-negara di Asia — dengan hujah bahawa pesawat Rafale India gagal dalam pertempuran, sambil mempromosikan pesawat buatan China yang didakwa lebih murah, lebih berkesan dan setanding teknologi Barat.
Seorang pegawai kanan Perancis yang terlibat secara langsung memberitahu AP bahawa beberapa kerajaan Asia telah memaklumkan kepada Paris bahawa pegawai kedutaan China membawa dakwaan prestasi tempur Rafale yang kononnya gagal semasa insiden di sempadan Kashmir itu.
Bagi Perancis, isu ini bukan sekadar soal kehilangan reputasi tetapi juga soal ekonomi yang melibatkan pendapatan pertahanan berbilion dolar.
Setiap pesawat Rafale dijual pada harga sekitar USD115 juta (anggaran RM540 juta) bergantung pada konfigurasi dan pakej sokongan, sekali gus menjadi tonggak eksport industri pertahanan Perancis yang mahu terus dilihat sebagai pembekal pertahanan yang boleh dipercayai bagi negara membangun yang ingin mengimbangi pengaruh ketenteraan China.
Dalam satu kenyataan rasmi di laman webnya, Kementerian Angkatan Tentera Perancis menegaskan bahawa pesawat Rafale menjadi sasaran “kempen disinformasi besar-besaran” yang bertujuan “mempromosi kelebihan peralatan alternatif, khususnya rekaan China.”
“Rafale bukan dipilih secara rawak,” kata Kementerian tersebut.
“Ia adalah pesawat pejuang berkeupayaan tinggi, dieksport ke luar negara dan digerakkan di medan berprofil tinggi.”
Di pihak Beijing, Kementerian Pertahanan Negara China dengan tegas menolak dakwaan ini, menyifatkannya sebagai “khabar angin tidak berasas dan fitnah,” sambil menegaskan bahawa China “sentiasa mengekalkan pendekatan berhati-hati dan bertanggungjawab dalam eksport ketenteraan, memainkan peranan konstruktif dalam keamanan dan kestabilan serantau serta global.”
Rafale
Mengangkat serpihan pesawat pejuang Rafale India yang ditembak jatuh Pakistan ?
Di sebalik penafian diplomatik itu, penganalisis ketenteraan melihat isu ini sebagai perebutan pengaruh yang semakin sengit di pentas pasaran pesawat pejuang Asia Tenggara yang bernilai puluhan bilion dolar sepanjang dekad mendatang.
India masih enggan mendedahkan jumlah sebenar pesawat yang hilang ketika insiden udara tersebut, memburukkan lagi ruang untuk naratif palsu menular di media sosial.
Dalam masa yang sama, pasukan pemasaran Dassault Aviation bersama diplomat-diplomat Paris bertungkus-lumus meyakinkan pelanggan seperti Jakarta bahawa Rafale kekal antara pesawat tempur paling canggih dan terbukti di medan — dengan rekod operasi dalam misi NATO di Syria, Libya dan kawasan Sahel.
Dengan China terus memasarkan J-10CE dan J-35A ke rantau ini, Asia Tenggara akan kekal menjadi medan persaingan strategik bagi kontrak pesawat tempur generasi baharu yang bakal menentukan keseimbangan kuasa udara rantau ini apabila pengaruh Amerika Syarikat semakin surut dan pengaruh ketenteraan China terus meningkat.
India yang bersenjata nuklear pula dilihat tidak berganjak dalam rancangan menambah bilangan Rafale untuk mengimbangi kemajuan pesawat tempur jarak jauh China dan Pakistan, manakala Indonesia pula masih meneruskan rancangan perolehannya walaupun dihujani propaganda maya.
Soalnya kini, mampukah Rafale mengekalkan dominasi di pasaran yang semakin dikuasai taktik hibrid Beijing — gabungan diplomasi pertahanan, operasi kelabu dan serangan psikologi digital — yang semakin sukar ditangkis dengan hanya keupayaan teknologi semata-mata.

SNIPPET

Pihak ketenteraan dan perisikan Perancis mendakwa China mengatur kempen diplomatik dan siber untuk melemahkan jualan pesawat pejuang Rafale di Asia Tenggara selepas “kekalahan” India dalam konflik udara dengan Pakistan Mei lalu.

Leave a Reply