Penyelam Ranjau TLDM Maut Dalam Operasi Salvaj KD Pendekar
Penyelam ranjau TLDM yang maut itu dikenali sebagai Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San bin Hermansa dan jenazah akan dibawa ke Lahad Datu, Sabah untuk pengebumian.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan bahawa seorang penyelam ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) telah meninggal dunia ketika membuat selaman dalam operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Pengelih, hari ini.
Penyelam ranjau TLDM yang maut itu dikenali sebagai Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San bin Hermansa.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut, Lembaga Siasatan Khas telah ditubuhkan bagi mengenalpasti punca kejadian.
“Jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Sultan Ismail, Johor untuk bedah siasat dan akan dibawa ke Lahad Datu, Sabah untuk pengebumian,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TLDM malam ini.
TLDM akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan disalurkan kepada keluarga Allahyarham dalam menghadapi dugaan ini.
Ia juga menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan berharap semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan golongan yang beriman.
Dua hari lalu, kapal serang laju milik TLDM berusia 45 tahun, KD Pendekar telah tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3.54 petang.
Usaha pantas komuniti maritim telah berjaya menyelamatkan kesemua kru KD Pendekar seramai 39 orang sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya dan tiada kecederaan dilaporkan.
Menurut TLDM, KD Pendekar telah mengalami kebocoran dan kebanjiran besar pada jam 12.00 tengah hari ini di posisi dua Batu Nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor ketika sedang bertugas.
Kebocoran tersebut menurut TLDM, dipercayai berpunca apabila kapal perang berusia 45 tahun itu terlanggar objek bawah air.
“Kebocoran yang mula dikesan di Bilik Jentera kapal telah merebak dengan cepat dan tidak terkawal.
“Kesemua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya,” menurut kenyataan TLDM.
TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenalpasti punca kejadian dan pada masa yang sama merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan terhadap insiden.
Antara agensi yang bertindak pantas memberikan bantuan adalah Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti maritim yang berada di persekitaran. Turut dilihat berada di lokasi insiden sebuah bot pihak berkuasa Singapura.
Kapal KD Pendekar dengan nombor penant-nya 3513 telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 21 Ogos 1979, sekaligus menjadikan kapal serang laju itu berusia 45 tahun pada tahun ini. — DSA
Comments are closed.