Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thailand Rasmi Umum Pemilihan Pesawat Pejuang JAS39 Gripen E/F

Pemillihan pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F oleh RTAF itu telah diumum sendiri oleh panglimanya Air Chief Marshall Phanphakdee Phattanakul menerusi satu kenyataan.

0 4,283

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) mengumumkan secara rasmi pemilihan pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F buatan syarikat Sweden, Saab Group sebagai pesawat pejuang terbarunya, mengatasi F-16 Block 70/72 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat.

Pemillihan pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F oleh RTAF itu telah diumum sendiri oleh panglimanya Air Chief Marshall Phanphakdee Phattanakul menerusi satu kenyataan.

Jawatankuasa Pemilihan Tentera Udara Diraja Thailand membuat keputusan pemilihan pesawat JAS39 Gripen E/F selepas kedua-dua pihak, Sweden dan Amerika Syarikat mengemukakan maklumat tambahan berkenaan tawaran mereka pada 20 Ogos lalu.

Antara maklumat tambahan itu adalah berkenaan perkara-perkara seperti pemindahan teknologi dan latihan yang amat ditekankan oleh RTAF terutamanya membabitkan perolehan sistem pertahanan daripada negara luar.

“Selepas meneliti segala faktor, jawatankuasa telah memilih pesawat pejuang Gripen E/F berbanding F-16 Block 70/72,” menurut kenyataan oleh ACM Phanphakdee Pattanakul itu.

Saab Group
Thailand’s Gripen fighter jets.

 

Beliau juga berkata Tentera Udara akan menyiapkan dokumen untuk menerangkan yang diberikan kepadanya daripada Saab dan Lockheed Martin kepada masyarakat awam dan juga kerajaan Thailand.

Katanya lagi, buat permulaan RTAF akan memperolehi empat buah pesawat pejuang Gripen E/F untuk menggantikan kira-kira 12 buah pesawat pejuang F-16 telah berusia yang masih digunakan oleh tentera udara negara itu.

Menurut Panglima RTAF itu lagi, perolehan pesawat pejuang Gripen E/F itu sedang menunggu kelulusan akhir daripada Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri negara itu yang baru sahaja dipilih, Paetongtarn Shinawatra.

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa RTAF telah membuat keputusan yang tepat dalam memilih pesawat pesawat Gripen E/F berbanding F-16 Block 70/72.

Pada ketika ini, RTAF mengoperasikan kira-kira 50 buah pesawat pejuang F-16 dan 11 buah pesawat pejuang JAS39 Gripen C/D pada ketika ini.

Bulan lepas, syarikat SAAB telah membuka pintu kemudahannya di Sweden untuk para pengamal media Thailand bagi membolehkan mereka melihat dengan lebih dekat kemudahan canggih itu, sebagaimana dilaporkan oleh Bangkok Post.

Gripen

Lawatan media Thailand itu turut dibawa melawat kemudahan pembinaan pesawat pejuang Gripen E/F, varian terkini pesawat pejuang itu yang ditawarkan kepada RTAF.

Sebenarnya tanda-tanda bahawa Thailand akan memiih pesawat pejuang Gripen telah pun kelihatan jelas sejak beberapa bulan lalu, tetapi ia semakin kelihatan baru-baru ini dengan kunjungan Panglima RTAF ACM Phanpakdee Phattanakul dan pegawai-pegawai tinggi yang lain ke Sweden pada awal Mei untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pengurusan kanan SAAB.

Pada akhir Mei pula, Pengerusi Jawatankuasa Angkatan Tentera di Parlimen Thailand Wiroj Lakkhanadisorn juga mengadakan kunjungan ke negara Scandinavia itu untuk tujuan yang sama, iaitu mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pengurusan kanan syarikat SAAB.

Sementara itu Pengarah Kempen Gripen Thailand Robert Bjorklund sebagaimana dipetik oleh akhbar utama Thailand itu berkata syarikat SAAB menawarkan kepada Thailand jaringan sistem penderia fusion (networked sensor fusion) dan tiga jenis radar yang canggih.

Radar-radar canggih yang ditawarkan untuk melengkapi pesawat pejuang Gripen E/F Thailand itu adalah Raven ES-05-AESA, Skyward G-IRST and Mode 5-IFF.

Gripen
Pesawat pejuang Gripen C/D Thailand

 

Mengenai sistem data link pula, beliau berkata, pesawat pejuang Gripen E/F yang ditawarkan kepada Thailand itu adalah bersesuaian dengan sistem datalink Link-16 dan juga sistem datalink yang dibangunkan sendiri oleh RTAF iaitu Link-TH.

 Menurut Panglima RTAF itu sebelum ini,  daripada tujuh skuadron Tentera Udara Thailand pada ketika ini pesawat pejuang tiga buah skuadron miliknya akan ditamatkan perkhidmatannya kerana pesawat telah berusia dan usang.

Setiap skuadron memiliki 12 buah pesawat pejuang dan pesawat-pesawat pejuang barunya itu akan menggantikan pesawat yang ditamatkan khidmat.

Pembelian pesawat pejuang baru Thailand itu akan bermula pada Oktober tahun depan dengan perolehan empat buah pesawat pejuang awal diikuti dengan pesawat yang lain. — DSA

 

Comments
Loading...