Pentagon Dedah Dron Kamikaze LUCAS, Diinspirasi Daripada Kejayaan Shahed-136 Buatan Iran
Dron LUCAS didedahkan kepada umum pada 16 Julai lalu dalam satu pameran sistem autonomi pelbagai domain yang berlangsung di halaman ibu pejabat Pentagon, Washington D.C dengan Setiausaha Pertahanan Amerika, Pete Hegseth turut meninjaunya.
Amerika Syarikat secara rasmi memperkenalkan sistem dron kamikaze (berani mati) kos rendah terbaharunya dikenali sebagai LUCAS (Low-Cost Uncrewed Combat Attack System), sebagai tindak balas langsung terhadap kejayaan taktikal dron Shahed-136 buatan Iran yang digunakan secara meluas dalam konflik Rusia-Ukraine.
Dron LUCAS didedahkan kepada umum pada 16 Julai lalu dalam satu pameran sistem autonomi pelbagai domain yang berlangsung di halaman ibu pejabat Pentagon, Washington D.C dengan Setiausaha Pertahanan Amerika, Pete Hegseth turut meninjaunya.
Pembangunan LUCAS merupakan sebahagian daripada strategi Pentagon untuk memperluaskan keupayaan dron kamikaze mampu milik, fleksibel dan boleh diatur gerak dengan pantas bagi menghadapi corak peperangan moden yang semakin kompleks, khususnya di rantau Indo-Pasifik.
Sistem ini dibangunkan oleh syarikat teknologi pertahanan yang berpangkalan di Arizona, SpektreWorks, yang mensasarkan untuk menghasilkan platform dron kamikaze modular dan mudah diguna semula bagi menyokong operasi ketenteraan yang memerlukan penyebaran cepat dan operasi dalam keadaan logistik terhad.
Menurut SpektreWorks, “LUCAS merupakan sistem tanpa pemandu Kumpulan 3 yang boleh dipercayai dan kos efektif, direka bentuk untuk beroperasi dalam persekitaran lasak dengan keperluan logistik minimum.”
Dengan menggunakan senibina terbuka (open-architecture), LUCAS membolehkan integrasi pelbagai jenis muatan termasuk sistem peninjauan (ISR), serangan tepat, dan sokongan komunikasi taktikal, menjadikan ia platform pelbagai misi yang amat bernilai.
Dalam konfigurasinya sebagai dron kamikaze, LUCAS membolehkan melaksanakan misi menyerang sasaran dengan kecekapan tinggi, mengguna pendekatan yang sama seperti digunakan oleh Iran menerusi Shahed-136, namun dengan kelebihan modular, fleksibiliti dan kemampuan integrasi dalam jaringan sistem tempur Amerika dan sekutu.

Keunikan LUCAS turut terletak pada keupayaannya untuk bertindak sebagai communcation relay node dalam rangkaian Multi-domain Unmanned Systems Communications (MUSyC) milik Pentagon – satu ciri yang amat kritikal dalam medan tempur di mana infrastruktur komunikasi tradisional terdedah kepada serangan dan gangguan.
Keupayaan LUCAS untuk mengekalkan komunikasi medan perang yang selamat, teragih dan berdaya tahan menjadikannya sebagai pemangkin kekuatan untuk operasi bersama antara pasukan tentera Amerika Syarikat dan sekutu, terutamanya di kawasan berisiko tinggi seperti Laut China Selatan, Selat Taiwan, dan Asia Tenggara.
LUCAS juga menyokong pelbagai konfigurasi pelancaran, termasuk Rocket-Assisted Take-Off (RATO) dan pengoperasian secara mudah alih dari trak pelancar khas, menjadikannya sesuai untuk digunakan dalam persekitaran tanpa landasan atau kemudahan operasi tetap.
Keupayaan ini selari dengan doktrin peperangan moden Amerika yang kini memberi penekanan kepada “autonomi ekspedisi”, iaitu keupayaan menyerang secara pantas dari lokasi terpencil tanpa kebergantungan kepada pangkalan kekal.
Pihak SpektreWorks mengesahkan bahawa sistem LUCAS telah pun berjaya melalui ujian lapangan dan kini bersedia untuk pengeluaran besar-besaran, dengan penyepaduan ke dalam inventori tentera Amerika Syarikat dan sekutunya dijangka bermula dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
Dengan peningkatan penggunaan dron loitering dalam konflik global—dari Ukraine hingga Timur Tengah—pengenalan LUCAS menunjukkan tekad Amerika Syarikat untuk mengimbangi dominasi dron oleh Iran, Rusia dan China, serta memastikan kekal relevan dalam perlumbaan senjata udara tanpa pemandu.
Sistem LUCAS turut menyokong penggunaan AI (kecerdasan buatan) untuk operasi masa depan, membolehkan misi autonomi dilaksanakan dengan pengesanan, pengesahan dan serangan ke atas sasaran dilakukan tanpa campur tangan langsung pengendali manusia.

Dalam konteks harga, walaupun jumlah rasmi tidak didedahkan, penganalisis menjangkakan kos seunit LUCAS berada dalam lingkungan di bawah USD 100,000 (RM 465,000) – menjadikannya platform yang sangat mampu dimiliki dan sesuai digunakan secara besar-besaran.
Sebagai perbandingan, dron Shahed-136 buatan Iran dikatakan hanya menelan belanja sekitar USD 20,000 – 40,000 (RM 93,000 – 186,000) seunit, tetapi telah menunjukkan keberkesanan tinggi dalam menyasarkan infrastruktur ketenteraan dan awam di Ukraine melalui penggunaan taktik gerombolan (swarm).
Namun begitu, LUCAS menawarkan kelebihan dari sudut ketahanan sistem, kebolehgunaan semula, dan integrasi dalam ekosistem pertempuran Amerika yang lebih sofistikated dan saling berhubung.
Selain itu, LUCAS juga dilihat sebagai penyumbang utama dalam inisiatif “Replicator” oleh Pentagon, yang menyasarkan untuk memperkenalkan ribuan dron murah dan pintar dalam tempoh dua tahun bagi menyaingi kekuatan ketenteraan China yang semakin berkembang.
Bagi negara-negara sekutu Amerika di rantau Asia-Pasifik, LUCAS berpotensi untuk menjadi penambahan strategik kepada sistem pertahanan mereka, sama ada untuk tujuan serangan taktikal, misi ISR, atau jaringan komunikasi medan perang, khususnya dalam menghadapi ancaman dron berskala besar.
Dalam era di mana bilangan, kos dan keupayaan autonomi bakal memainkan peranan lebih besar berbanding keanggunan teknologi semata-mata, LUCAS mewakili generasi baharu sistem serangan udara yang boleh diandalkan untuk konflik masa depan.
Selain itu, LUCAS juga berpotensi menjadi batu loncatan kepada pelaksanaan sistem pengeboman pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang membolehkan pelancar senjata tanpa pemandu berlegar di udara untuk tempoh yang lama, mengenal pasti sasaran secara autonomi, dan melaksanakan serangan tanpa perlu input masa nyata daripada pengendali manusia.
