Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pengeluaran Peluru Berpandu Kruis “Taurus” Dihentikan Selepas Tiada Pesanan Baru Dari Jerman

Syarikat pertahanan MBDA mengambil keputusan untuk menghentikan pengeluaran peluru berpandu kruis “Taurus” selepas ia tidak lagi menerima pesanan baru bagi peluru berpandu kruis moden  itu daripada kerajaan Jerman.

0 5,049

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat pertahanan MBDA mengambil keputusan untuk menghentikan pengeluaran peluru berpandu kruis “Taurus” selepas ia tidak lagi menerima pesanan baru bagi peluru berpandu kruis moden  itu daripada kerajaan Jerman.

Ketua anak syarikat MBDA di Jerman yang menghasilkan peluru berpandu kruis itu, Thomas Gottschild sebagaimana dipetik oleh media negara itu “Spiegel” berkata, pihak tidak boleh menghasilkan peluru berpandu itu walaupun untuk tujuan sebagai stok.

Peluru berpandu kruis itu katanya, hanya boleh dihasilkan jika mendapat pesanan.

“Ia adalah satu cabaran untuk industri apabila produksi terganggu, sebagaimana yang berlaku terhadap peluru berpandu kruis Taurus. Di dalam kes kami, pembekal-pembekal kami yang merupakan syarikat-syarikat kecil dan sederhana terpaksa menghentikan produksi (akibat ketiadaan pesanan),” kata beliau.

Industri pertahanan katanya memerlukan produksi yang besar untuk mereka mengekalkan jaringan bekalan (supply chain), memastikan peralatan ujian sentiasa berada dalam keadan terbaik dan mengekalkan pengetahuan dan keberkesanan pekerja dalam keadaan tertinggi.

Bagaimanapun katanya, syarikat kini akan menumpukan kepada produksi kira-kira 1,000 peluru berpandu untuk sistem pertahanan udara “Patriot” berikutan pesanan yang diterimanya daripada beberapa negara Eropah.

Taurus

MBDA akan bekerjasama dengan syarikat Raytheon dalam penghasilan peluru berpandu itu menerusi kilang syarikat pertahanan Amerika Syarikat itu di Schrobenhausen, Jerman.

“Syarikat akan menghasilkan peluru berpandu Patriot yang pertama di dalam tempoh tiga tahun,” kata Gottschild.

Dalam keputusan yang membantutkan lagi pengeluaran peluru berpandu kruis Taurus oleh syarikat MBDA, kerajaan Jerman pada Februari lalu memutuskan untuk tidak membenarkan penghantaran peluru berpandu kruis itu kepada Ukraine, walaupun mendapat tekanan daripada Kiev dan negara-negara Eropah lain.

Tentera Ukraine mahukan peluru berpandu kruis “Taurus” dibuat oleh Jerman itu untuk mematahkan kemaraan tentera Russia serta “memutuskan” laluan bekalan (supply route) mereka.

Berlin bimbang sekiranya kebenaran penghantaran peluru berpandu Taurus ke Ukraine itu diberikan, ia  akan mengheret Jerman dalam peperangan secara terbuka dengan Russia.

“Ia adalah senjata yang memberi kesan mendalam, sebagaiman yang dilakukan oleh Britain dan Perancis (menerusi penghantaran peluru berpandu kruis Storm Shadow dan SCALP kepada Ukraine). Ia tidak boleh dilakukan oleh Jerman.Taurus

“Jerman tidak boleh dikaitkan dengan apa yang senjata ini (Taurus) boleh lakukan. Oleh itu penghantaran senjata itu (kepada Ukraine) tidak berada di dalam agenda (kerajaan Jerman),” kata Canselor Jerman Olaf Scholz kepada pemberita di Berlin pada Februari lalu.

Scholz memutuskan untuk tidak tunduk kepada tekanan daripada pelbagai pihak yang mahu Jerman memberi lampu hijau terhadap penghantaran peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” kepada Ukraine.

Peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Jerman/Sweden itu mempunyai kemampuan untuk membedil sasaran sejauh 500km dengan tahap ketepatan yang amat tinggi.

Di antara ketiga-tiga peluru berpandu kruis jarak jauh – “Taurus”, “Storm Shadow” dan “SCALP” – tidak banyak yang membezakan di antara mereka.

Ketiga-tiga peluru berpandu kruis itu memiliki berat keseluruhan diantara 1,300kg hingga 1,400kg dan berkeupayaan membedil sasaran sejauh 500km.

Bagaimanapun peluru berpandu kruis “Taurus” menggunakan fius “Programable Intelligent Multi-Purpose Fuze atau (PIMPF)” manakala peluru berpandu kruis “Storm Shadow/SCALP” menggunakan fius dipanggil Multi-Application Fuze Initiation System (MAFIS).

Taurus
Canselor Jerman Olaf Scholz

 

Menurut penganalisis tentera, penggunaan fius PIMPF  oleh peluru berpandu “Taurus” buatan Jerman itu membolehkan peluru berpandu terbabit membedil sasaran-sasaran seperti jambatan lebih tepat dan lebih berkesan, berbanding fius MAFIS digunakan oleh peluru berpandu kruis “Storm Shadow/SCALP”.

Sekiranya Ukraine dibekalkan dengan peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” oleh Jerman, maka ia akan memberikan Kiev kemampuan untuk membedil Jambatan Kerch yang menghubungkan Russia dengan Crimea yang diduduki oleh tentera Russia.

Ukraine telah beberapa kali mensasarkan Jambatan Kerch itu yang menjadi nadi perhubungan lojistik tentera Russia di Crimea tetapi sehingga masih gagal untuk memusnahkan jambatan penting itu.

Oleh kerana itulah Jerman enggan membekalkan peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” kepada Ukraine.

Menurutnya, beliau bertanggungjawab sebagai Canselor untuk memastikan bahawa Jerman tidak menjadi sebahagian daripada peperangan di antara Russia dan Ukraine.

Taurus
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dengan dua butir peluru berpandu kruis “Taurus”.

 

Selain itu, ketiga-tiga peluru berpandu kruis jarak jauh itu juga menggunakan “Terrain Contour Mapping System” yang memerlukan Jerman untuk memasukkan sendiri data-data tersebut ke dalam sistem penjejak sasaran itu.

Jerman bimbang ia akan menyebabkan anggota-anggota tenteranya akan terlibat secara langsung membantu tentera Ukraine dan sekaligus menjerumuskan negara itu secara langsung dalam peperangan terbuka dengan Russia.

Selain itu, satu lagi faktor mengapa Jerman enggan membekalkan peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” kepada Ukraine adalah Berlin bimbang peluru berpandu kruis yang canggih itu jatuh ke tangan Russia, sekaligus mendedahkan teknologinya. — DSA

Iklan

Comments
Loading...