Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Penduduk Myanmar Bakar Kilang Milik Syarikat China, Tentera Tembak Mati 63 Orang

Penduduk Myanmar marah kerana kerajaan China mengambil pendekatan menyokong pihak tentera negara itu yang merampas kuasa.

0 3,889

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak tentera Myanmar menembak mati 51 peserta perhimpunan selepas mereka membakar beberapa buah kilang milik syarikat-syarikat China di kawasan perindustrian di Hlaingthaya, di luar Yangon pada Ahad (semalam).

Kira-kira 2,000 rakyat Myanmar mengadakan perhimpunan di kawasan perindustrian itu bagi membantah sokongan kerajaan China terhadap rampasan kuasa oleh pihak tentera Myanmar daripada pemimpin pro-demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lepas.

Dikawasan-kawasan lain, pihak tentera Myanmar didakwa membunuh 12 penduduk negara itu, sekaligus membawa bilangan keseluruhan kematian semalam kepada 63 orang, jumlah teramai sejak rampasan kuasa oleh tentera itu.

Bakar Kilang
Seorang peserta perhimpunan mengangkat mayat rakannya yang ditembak oleh anggota tentera Myanmar.

Sehingga kini, seramai 126 penduduk Myanmar maut akibat tindakan ganas pihak tentera negara itu.

Pihak tentera Myanmar turut mengisytiharkan undang-undang darurat di Hlaingthaya dan Shwepyitha di Yangon berikutan kejadian semalam itu.

Sementara itu, menurut kenyataan oleh pihak kedutaan China di Myanmar, ramai dikalangan pekerja-pekerja kilang milik syarikat China itu telah tercedera dan terperangkap dalam kejadian serangan oleh individu tidak dikenali di kawasan perindustrian terbabit.

Ia meminta kerajaan Myanmar supaya melindungi harta benda milik rakyat dan syarikat-syarikat China.

Bakar Kilang
Peserta perhimpunan mengusung rakannya mereka yang cedera ditembak oleh anggota tentera Myanmar.

Pihak kedutaan China di Myanmar menyifatkan keadaan di negara itu pada ketika ini sebagai “amat teruk” dan turut memberi amaran kepada rakyat China di negara itu supaya sentiasa berjaga-jaga terhadap segala kemungkinan.

Laporan daripada media yang dimiliki oleh pihak tentera mengatakan  empat kilang pakaian miliki syarikat China dan sebuah kilang baja telah dibakar oleh pihak-pihak tidak dikenali, manakala kira-kira 2,000 menghalang jentera bomba daripada membantu memadamkan kebakaran.

Sebenarnya sentimen anti-China sedang meningkat di Myanmar akibat tindakan negara itu menyokong tentera Myanmar dan peningkatan pengaruh Beijing terhadap hal ehwal dalaman negara Asia Tenggara itu.

Pihak tentera Myanmar pimpinan Jeneral Min Aung Hlaing memiliki hubungan yang rapat dengan kerajaan Beijing, malah pihak tentera mendapatkan sumber bekalan senjata mereka daripada China.

Bakar kilang
Pemilik kilang warga China (berbaju putih) cedera selepas dipukul oleh individu tidak dikenali.

 

 

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...