Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

500,000 Korban Dan 6.5 Juta Menjadi Pelarian Sepanjang 10 Tahun Konflik Di Syria

Dalam tempoh 10 tahun konflik bersenjata di Syria, 500,000 rakyatnya atau setengah juta telah terkorban.

0 830

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada hari ini 10 tahun yang lepas, protes pertama menentang pemerintahan Presiden Syria Bashar al-Assad bermula, menandakan permulaan kebangkitan rakyat negara terbabit sebelum merebak menjadi konflik bersenjata yang sehingga kini tiada penghujungnya.

10 tahun selepas protes pertama, pemerintahan Syria masih lagi dipegang oleh Bashar al-Assad hasil bantuan dan sokongan daripada Russia serta Iran.

Apa yang pasti, peperangan selama sedekad di Syria telah mendatangkan kemusnahan besar-besaran  terhadap infrastruktur Syria, selain menyebabkan ratusan ribunya rakyatnya terkorban selain jutaan yang menjadi pelarian di negara asing.

Syria

Menurut statistik oleh badan-badan bukan kerajaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konflik bersenjata selama 10 tahun di Syria telah mengakibatkan 500,000 atau setengah juta rakyat Syria maut.

Penduduk Syria yang maut pula merangkumi segenap lapisan masyarakat negara itu daripada bayi sehinggalah warga emas, konflik di negara Timur Tengah itu tidak memilih mangsanya.

Secara purata,  seorang kanak-kanak Syria akan tercedera atau terbunuh dalam tempoh lapan jam selama 10 tahun.

Konflik selama 10 tahun di Syria telah menyebabkan 6.5 juta penduduknya melarikan diri daripada negara kelahiran mereka dan mencari perlindungan di seluruh dunia, seperti kem-kem pelarian di Turki, Lubnan dan Jordan.

 

Syria

Warga-warga Syria juga merempat di beberapa negara Eropah seperti Jerman, Perancis dan lain. Malah warga-warga negara Arab itu juga menjadikan Malaysia sebagai tempat perlindungan sementara mereka.

Selain itu, kira-kira 5 juta rakyat Syria merempat di negara sendiri apabila kediaman mereka atau kawasan diduduki mereka menjadi medan peperangan.

Apa yang pasti, bagi warga negara Timur Tengah yang terselamat daripada menjadi mangsa kepada peluru dan bom-bom yang berterbangan, gejala kemiskinan dan kebuluran pula menanti mereka.

Kini selepas 10 tahun berperang, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan lebih daripada 80 peratus rakyat Syria hidup di bawah garis kemiskinan dengan 60 peratus daripada mereka berada di ambang kebuluran.

Matawang Syria juga menjunam daripada segi nilainya, kini pada kadar 1 US$ bersamaa dengan 4,000 Pound Syria berbanding 1 US$ bersamaan 700 Pound Syria tahun lepas dan 1 US$ bersamaan 17 Pound Syria pada permulaan konflik 10 tahun yang lepas.

Sama-samalah kita berdoa supaya konflik di Syria segera tamat.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...