Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Pemancing Malaysia “Bertembung” USS Theodore Roosevelt di Selat Melaka

(VIDEO) Dalam video yang kini viral di platform media-media sosial, sekumpulan pemancing Malaysia di Selat Melaka dilaporkan telah “bertembung” dengan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Theodore Roosevelt (CVN 71).

0 1,802

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam video yang kini viral di platform media-media sosial, sekumpulan pemancing Malaysia di Selat Melaka dilaporkan telah “bertembung” dengan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Theodore Roosevelt (CVN 71).

Menurut maklumat yang diperolehi dalam media-media sosial, video yang viral dikatakan telah diambil kira-kira dua minggu lepas oleh salah seorang pemancing yang berada di dalam bot kecil itu.

Sebelum itu, kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat itu baru sahaja menamatkan tugasannya di Laut China Selatan dan memasuki Selat Melaka untuk meneruskan pelayarannya ke destinasi yang baru.

Kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt dan kapal-kapal pengiringnya kapal destroyer USS Halsey (DDG-97) dan USS Daniel Inouye (DDG-118) berada di Laut China Selatan untuk terlibat dalam eksesais “Freedom Edge” bersama kapal-kapal perang Korea Selatan dan Jepun.

Pemerhati mendakwa bahawa USS Theodore Roosevelt dalam keadaan “terburu-buru” menuju ke destinasi barunya memandangkan ia tidak singgah di Singapura, sebagaimana kebiasaannya untuk “rest and relax” serta ulang bekal (replenishment).

Video diambil oleh pemancing Malaysia itu juga menunjukkan kapal perang Amerika Syarikat itu sedang “memecut laju” ketika berada di Selat Melaka menuju ke destinasi barunya itu.

Pemerhati mendakwa kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt itu dalam pelayaran menuju ke Laut Merah bagi menggantikan sebuah lagi kapal pengangkut pesawat negara itu, USS Dwight E. Eisenhower (CVN-69) yang baru sahaja menamatkan tugasannya di kawasan perairan itu.

Kapal pengangkut pesawat USS Dwight E. Eisenhower dipanggil balik ke pangkalannya selepas menghabiskan masa enam bulan di kawasan operasi 5th Fleet yang meliputi rantau Timur Tengah.

Kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosvelt yang menggantikan “Ike” (panggilan bagi USS Dwight E. Eisenhower) itu akan mengambil bahagian dalam operasi “Prosperity Guardian” di Laut Merah bagi memberikan kawalan keselamatan kepada kapal-kapal dagang dan komersial yang melalui perairan itu daripada diserang oleh kumpulan bersenjata Houthi.

USS Central Command (CENTCOM) dalam satu kenyataan baru-baru ini telah mengesahkan bahawa USS Theodore Roosevelt telah pun berada di kawasan operasi 5th Fleet.

Terdapat juga dakwaan menyatakan bahawa USS Theodore Roosevelt akan dikerah ke Laut Mediterranean berhampiran Israel, ketiga ketegangan di antara Israel dan Hezbollah semakin memuncak sehingga boleh menyebabkan peperangan terbuka antara kedua pihak pada bila-bila masa.

Kumpulan bersenjata Houthi telah pun mengeluarkan ancaman terhadap USS Theodore Roosevelt .

USS Theodore Roosevelt

Jurucakapnya Yahya Saree dilaporkan bahawa ia akan menjadikan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat itu sebagai sasarannya, sebagaimana dilakukannya terhadap kapal pengangkut pesawat yang bertugas di Laut Merah sebelum itu,USS Dwight E.Eisenhower.

“Kami akan mensasarkan kapal pengangkut pesawat itu apabila di memasuki jarak sasaran.”

Sebelum ini, kumpulan bersenjata Houthi mendakwa ia telah berjaya membedil USS Dwight E.Eisenhower, namun dakwaan itu telah dinafikan oleh pihak Amerika Syarikat tanpa sebarang bukti dikemukakan oleh kumpulan bersenjata Yemen itu.– DSA

Comments
Loading...