Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Peluru Berpandu Hypersonik Terbaru Korea Utara “Hwasong-16B” Ancam Guam

(VIDEO) Pakar-pakar persenjataan serantau menyatakan sekiranya peluru berpandu hypersonik terbaru Korea Utara itu dibangunkan lagi, ia berkemampuan mengancam dan membedil Pulau Guam,yang merupakan pangkalan tentera terpenting Amerika Syarikat di Indo-Pasifik.

0 4,383

(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Korea Utara telah melaksanakan ujian pelancaran peluru berpandu hypersonik jarak sederhana (Intermediate Range Ballistic Missile – IRBM) terbarunya dipanggil “Hwasong-16B” yang direkabentuk supaya sukar untuk dipintas oleh sistem pertahanan udara “musuhnya.”

Pakar-pakar persenjataan serantau menyatakan sekiranya peluru berpandu hypersonik terbaru Korea Utara itu dibangunkan lagi, ia berkemampuan mengancam dan membedil Pulau Guam,yang merupakan pangkalan tentera terpenting Amerika Syarikat di Indo-Pasifik.

Agensi berita Korea Utara, KCNA telah mengedarkan beberapa keping gambar dan video menunjukkan pelancaran peluru berpandu “Hwasong-16B” itu sebagai bukti bahawa pelancaran peluru berpandu benar-benar berlaku.

Peluru berpandu hypersonic yang berkemampuan meluncur lima kali ganda lebih laju berbanding bunyi juga menggunakan bahan api pepejal (solid-fuel), yang memudahkan ia disembunyikan dan dipindahkan ke setiap pelusuk negara itu berbanding penggunaan bahan api cecair (liquid propellant).

Ia menyukarkan lagi pergerakan sistem peluru berpandu itu untuk dikesan dan dipantau oleh satelit mahupun pesawat pengintip.

Menurut agensi berita negara itu, KCNA, pelancaran peluru berpandu hypersonik “Hwasong-16B” Korea Utara itu turut disaksikan oleh pemimpinnya, Kim Jong-un dan pegawai-pegawai kanan tenteranya.

Kim memuji pelancaran peluru berpandu ballistik terbaru negara ini yang membuktikan “kecanggihan” teknologi pertahanan dimiliki oleh negara itu.

Menurut KCNA, pemimpin Korea Utara itu menyatakan bahawa Korea Utara telah membangunkan peluru-peluru berpandu yang mampu membedil sasaran-sasaran jauh dilengkapi dengan kepala peledak nuklear dan bahan api pepejal.

Agensi berita Korea Utara itu menyatakan bahawa peluru berpandu hypersonik terbaru Pyongyang itu terbang sejauh 1,000km sebelum itu “jatuh” di perairan di antara Korea Selatan dan Jepun.

Hwasong-16B
“Hwasong-16B”

Hwasong-16B

“Korea Utara telah mengisytiharkan bahawa ia telah berjaya melengkapkan kesemua peluru berpandu ballistiknya dengan peledak nuklear dan pada masa yang sama juga ia menyatakan bahawa peluru berpandu hypersoniknya juga boleh dilengkapi dengan peledak nuklear,” menurut pakar peluru berpandu di  Research Institute for National Strategy di Korea Selatan.

“Pembangunan peluru berpandu hypersonik jarak sederhana itu mensasarkan Guam dan juga Alaska,” kata pakar peluru berpandu ballistik Chan Yong-Keun yang merupakan pakar peluru berpandu di Research Institute for National Strategy, Korea Selatan. 

Dua minggu lalu, Tentera Amerika Syarikat dilaporkan telah berjaya melaksanakan kajian keberkesanan pengoperasian sistem pertahanan udara THAAD (Terminal High Altitude Area Defense) di Pulau Guam bagi menangani ancaman serangan peluru berpandu ballistik terutamanya daripada China dan Korea Utara.

Menurut tentera Amerika,kajian itu adalah penting untuk menilai kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi sekaligus kepentingan unit itu dalam mempertahankan Pulau Guam dan kawasan pesekitarannya daripada sebarang serangan peluru berpandu ballistik.

Dengan selesainya kajian itu, ia menandakan unit itu sudah bersiap-sedia untuk menangani sebarang potensi serangan peluru berpandu ballistik terhadap pulau yang merupakan pangkalan tentera paling utama untuk Amerika Syarikat di Indo-Pasifik. 

Semasa kajian dilakukan, anggota unit yang mengendalikan sistem pertahanan udara anti-ballistik THAAD telah menjalani latihan dalam senario seperti keadaan kombat sebenar termasuk kerahan cepat dan simulasi menangani serangan peluru berpandu ballistik. — DSA

Iklan

Comments
Loading...