Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Keadaan Di Thailand Semakin Sengit, FA-50 sertai Gripen dan F-16 Block Dalam Persaingan

Persaingan untuk membekalkan pesawat pejuang menjadi semakin sengit di Thailand membabitkan tiga penjuru selepas syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) mengemukakan cadangan kepada Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) untuk menawarkan pesawat pejuang FA-50 “Fighting Eagle” kepada negara Asia Tenggara itu.

0 11,726

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Persaingan untuk membekalkan pesawat pejuang kepada Thailand kini semakin sengit dan bertambah menjadi tiga penjuru di antara JAS39 Gripen buatan Sweden, F-16 Block 70 daripada Amerika Syarikat dan kini FA-50 buatan Korea Selatan.

Persaingan menjadi tiga penjuru selepas syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) mengemukakan cadangan kepada Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) dan menawarkan pesawat pejuang FA-50 “Fighting Eagle” kepada negara Asia Tenggara itu.

Adakah Thailand akan mengikut jejak langkah Malaysia dan memilih pesawat pejuang FA-50 Block 20 yang merupakan varian pesawat pejuang itu yang paling berkemampuan dan paling moden.

Pada Mei tahun lepas ketika Pameran LIMA 2023 di Langkawi, Kementerian Pertahanan Malaysia dan KAI telah menandatangani perjanjian perolehan bernilai kira-kira RM4 billion untuk memperolehi 18 buah FA-50M (FA-50 Block 20).

Malaysia akan mula menerima kumpulan pertama pesawat pejuang FA-50M itu pada Oktober 2026.

FA-50
Dua buah FA-50 Tentera Udara Filipina

 

Tawaran pesawat pejuang FA-50 kepada Thailand itu telah dikemukakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young semasa lawatan Menteri Pertahanan Thailand Sutin Klungsang ke Korea Selatan baru-baru ini.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan mempelawa Sutin ke negara Asia Timur itu bersama-sama setiausaha tetap pertahanan Jeneral Sanitchanok Sangkhacan untuk melihat dua buah pesawat latihan lanjutan T-50 yang bakal dihantar ke Thailand.

Delegasi Thailand itu turut dibawa melawat kemudahan syarikat KAI di Sacheon, Korea Selatan.

Sebelum ini RTAF telah memperolehi lapan buah pesawat latihan lanjutan T-50 dan enam buah pesawat pejuang ringan FA-50 pada 2015, dengan kesemua pesawat itu telah dihantar pada 2018 dan kini berpengkalan di Nakhon Sawan.

 Menurut Kang dalam sidang media berkata bahawa pesawat pejuang FA-50 merupakan pesawat pejuang pelbagai guna (multi-role combat aircraft – MRCA) yang boleh mencabar kemampuan F-16 tetapi pada separuh daripada kos keseluruhan pesawat pejuang buatan Amerika Syarkat itu.

Selain itu kos penyelenggaraannya juga adalah jauh lebih rendah daripada F-16.

Beliau turut menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” yang sedang dibangunkan oleh KAI hanya berharga US$80 juta (RM360 juta) sebuah dengan kos penyelenggaraan sebanyak US$14,000 (RM63,000) untuk sejam penerbangan.

Selepas gagal membeli pesawat pejuang generasi kelima F-35 daripada Amerika Syarikat, Thailand kini sedang dalam peringkat akhir kajian sebelum memutuskan pesawat baru miliknya yang akan menggantikan pesawat-pesawat pejuang F-16 miliknya yang telah berusia.

Thailand dijangka mengumumkan pesawat pejuang pilihanannya itu pada akhir tahun ini.

Negara jiran Malaysia itu dilaporkan telah menyenarai pendek dua buah pesawat pejuang dalam senarai terakhirnya itu, iaitu varian terkini pejuang pejuang buatan syarikat Lockheed Martin F-16 Block 70 dan juga Gripen-E yang merupakan varian terkini pesawat pejuang JAS39 buatan Saab Group daripada Sweden.

Pemilihan pesawat-pesawat pejuang F-16 Block 70 dan juga Gripen-E itu telah pun disahkan oleh Panglima Tentera Udara Thailand Marsyal Udara Phanpakdee Pattankul baru-baru ini.

“Sejak adalah amat mustahil untuk membeli pesawat pejuang F-35 sebagaimana dirancang, pilihan telah dikecilkan kepada Gripen-E dan F-16 Block 70,” kata beliau.

FA-50
(File picture)

 

Daripada tujuh skuadron dioperasikan oleh RTAF pada ketika ini, pesawat-pesawat pejuang tiga buah skuadron miliknya akan ditamatkan perkhidmatan kerana telah berusia dan usang.

Menurut sumber yang memberitahu akhbar The Bangkok Post negara itu, pembelian pesawat pejuang baru Thailand itu akan bermula pada Oktober tahun depan dengan perolehan empat buah pesawat pejuang awal diikuti dengan pesawat yang lain.

Pada ketika ini, Thailand turut mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang F-16 daripada varian yang telah berusia dan juga 12 buah pesawat pejuang JAS39 Gripen yang diperolehinya daripada Saab pada 2008.

Tentera Udara Thailand dilaporkan mengoperasikan 50 buah F-16 dengan 36 buah dioperasikannnya sebagai pesawat pejuang manakala 14 yang lain selebihnya sebagai pesawat latihan.

Negara jiran Malaysia itu mahu menamatkan khidmat pesawat-pesawat pejuang F-16 A/B yang telah berusia. — DSA

Iklan

 

Comments
Loading...