“Kejadian Pelik” Berlaku Di Laut Natuna
Walaupun Laut Natuna itu diancam oleh kapal-kapal China tetapi syarikat minyak dan gas Indonesia, PT Medco Energi tetap menyewa kapal pengerudi milik syarikat China untuk menggerudi minyak dan gas di Blok B di laut terbabit.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak sebulan yang lepas ini, China telah menghantar kapal penyelidiknya, “Hai Yang Di Zhi 10” dan kapal pengawal pantai untuk “menganggu” operasi cari gali gas dan minyak oleh Indonesia di Laut Natuna.
Sasaran utama kapal-kapal China itu adalah kapal pengerudi, “Clyde Boudreaux” yang dijangka menghabiskan kerja-kerjanya di Blok Tuna yang terletak di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia pada penghujung bulan Oktober ini.
Walaupun mengambil pendekatan tidak mengembar-gemburkan “pencerobohan” China dan menggunakan diplomasi secara senyap, Jakarta tetap menghantar kapal-kapal perondanya untuk memantau kapal-kapal China itu.
Tetapi sesuatu yang pelik juga berlaku di Laut Natuna yang diancam oleh kapal-kapal China itu.
Pelik, kerana, walaupun Laut Natuna itu diancam oleh kapal-kapal China tetapi syarikat minyak dan gas Indonesia, PT Medco Energi tetap menyewa kapal pengerudi milik syarikat China untuk menggerudi minyak dan gas di Blok B di laut terbabit.
Kapal pengerudi, Deepblue Explorer (Shen Lan Tan Suo) itu adalah milik syarikat, China Oilfield Services Limited dikesan sedang ditunda ke Laut Natuna untuk menjalankan kerja-kerja bagi pihak PT Medco Energi.
Namun kapal pengerudi milik syarikat China itu tidak menceroboh perairan Indonesia di Laut Natuna sebagaimana dilakukan oleh kapal-kapal pengawal pantainya, kerana kapal pengerudi China itu sebenarnya telah dikontrak oleh syarikat Indonesia itu sendiri.
Perjanjian antara syarikat China dan Indonesia itu ditandatangani pada Jun lepas.
Itulah yang peliknya, Indonesia menggunakan kepakaran daripada negara yang menceroboh perairannya.
Bukan sahaja Indonesia yang pelik, tetapi Malaysia juga bertindak pelik kerana membeli empat buah kapal peronda daripada China, yang kemudiannya digunakan untuk menghalau kapal-kapal China yang menceroboh perairan negara di Sabah dan Sarawak.
Bagi Indonesia, sudah tiada pilihan lagikah sehingga terpaksa menggunakan kapal pengerudi China untuk menjalankan aktiviti cari gali minyak dan gas di perairan negara itu tetapi didakwa oleh Beijing sebagai miliknya.
Comments are closed.