Pegawai Israel Desak Trump: “Jangan Jual Pesawat Pejuang F-35 Kepada Turkiye”
Tel Aviv melihat sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 Triumf buatan Rusia sebagai ‘kuda Trojan’ Moscow yang mampu membocorkan rahsia radar pesawat pejuang F-35 kepada musuh Israel di saat ketegangan rantau semakin memuncak.


Seorang pegawai kanan Israel mendesak Presiden Trump supaya terus menghalang Turkiye daripada kembali menyertai program pesawat pejuang generasi kelima F-35 Joint Strike Fighter, dengan menegaskan bahawa pertaruhan untuk kelangsungan Israel terlalu besar untuk dikompromi.
Memetik laporan media Amerika Syarikat, pegawai yang enggan dikenali itu memberi amaran bahawa membenarkan Ankara kembali ke ‘kelab halimunan’ sedangkan Turkiye masih mengoperasikan sistem S-400 buatan Rusia bukan sahaja akan menjejaskan kelebihan ketenteraan Israel (QME) tetapi berpotensi mencetuskan perubahan mendadak dalam keseimbangan kuasa udara di Timur Tengah.
Amaran tersebut muncul ketika Turkiye dilaporkan cuba menghidupkan semula penyertaan mereka yang digantung dengan memanfaatkan kedudukan penting Ankara dalam NATO serta pendekatan diplomasi telefon secara langsung oleh Presiden Erdogan dengan Presiden Trump.
Kebimbangan Israel itu berpunca daripada ancaman dibawa oleh sistem pertahanan udara S-400 Triumf buatan Rusia yang kini beroperasi di Turkiye, yang menurut penganalisis pertahanan berpotensi untuk mendedahkan profil halimunan F-35 kepada Moscow.
Turkiye memeterai perjanjian perolehan S-400 dengan Rusia pada tahun 2017 dianggarkan bernilai USD 2.5 bilion (sekitar RM 11.8 bilion), dengan penghantaran bateri pertama bermula pada pertengahan 2019 walaupun mendapat bantahan keras daripada Washington dan NATO.
Sistem radar berkuasa tinggi S-400 itu direka khusus untuk mengesan, menjejak dan mengumpul data pesawat berprofil rendah seperti F-35, sekali gus membuka ‘pintu belakang’ kepada musuh untuk menyelidiki Radar Cross Section (RCS), pola penerbangan serta jejak elektronik pesawat tersebut.
Jika Turkiye dibenarkan mengoperasikan F-35 serentak dengan sistem pertahanan udara S-400, jurutera ketenteraan memberi amaran bahawa data sensitif itu boleh dikumpul dan dipindahkan kepada jurutera Rusia, seterusnya menghakis tahap keselamatan pesawat tersebut sekiranya berdepan rangkaian pertahanan udara canggih pada masa depan.

“Israel lebih suka mengelak konflik tetapi bersedia bertindak jika perlu,” tegas pegawai Israel itu, menekankan ancaman yang akan timbul sekiranya rahsia halimunan pesawat itu dikompromi dan menjejaskan kebebasan operasi pesawat-pesawat pejuang F-35 milik Tentera Udara Israel di Syria, Lebanon dan rantau sekitarnya.
Di tengah-tengah krisis ini adalah konsep Qualitative Military Edge (QME) — satu tonggak kepercayaan strategik Amerika-Israel sejak 1960-an yang menjamin Israel sentiasa memiliki kelebihan ketenteraan yang jelas berbanding mana-mana musuh serantau.
Selama beberapa dekad, pentadbiran Amerika — termasuk pentadbiran Trump — berpegang kepada prinsip QME dengan menghadkan penjualan senjata canggih tertentu kepada negara-negara Timur Tengah yang boleh mengganggu keseimbangan kuasa.
Namun cubaan Turkiye untuk memulihkan akses F-35 dilihat mampu merobek ‘firewall’ ini, sesuatu yang pegawai Israel tidak dapat menerimanya memandangkan cita-cita ‘neo-Ottoman’ Ankara, hubungan rapatnya dengan Hamas serta jejak ketenteraan Turkiye di zon bergolak seperti utara Syria.
Pegawai Turkiye pula dilaporkan berkata bahawa Presiden Erdogan berulang kali mendesak penyertaan semula Ankara dalam program F-35 secara langsung kepada Presiden Trump melalui panggilan telefon, dengan menekankan pelaburan Turkiye dalam program F-35 yang dianggarkan bernilai USD 9 bilion (sekitar RM 42.3 bilion) dan peranan negara itu di barisan hadapan NATO.
Menambah kerumitan, enam unit F-35A milik Turkiye yang telah siap sepenuhnya kini terbengkalai di hangar di Amerika Syarikat sejak Ankara dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat itu pada 2019, menunggu nasib sama ada akan dijual kepada negara lain atau kekal disimpan.
