(DEFENCE SECURITY ASIA) Sebuah syarikat tempatan, Pasukhas Group Bhd merancang untuk mengeksport sekurang-kurangnya 2.5 juta meter padu (m3) pasir sungai ke China dan Hong Kong pada tahun hadapan.
Bagi merealisasikan perkara itu, syarikat berkenaan menandatangani perjanjian perkongsian menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pasukhas Products Sdn Bhd dengan BB Energy Sdn Bhd.
Untuk pengetahuan semua, pasir laut digunakan untuk penambakan laut manakala pasir sungai untuk pembuatan bahan-bahan pembinaan terutamanya simen.
Perjanjian itu membolehkannya untuk mengekstrak, mengeruk, menjual dan mengedarkan pasir sungai untuk pasaran eksport, berdasarkan perjanjian di antara BB Energy Sdn Bhd dan Pengurusan Pasir Pahang Bhd (PPPB).
Sementara itu Pengarah Eksekutif Pasukhas, Mak Siew Wai sebagaimana dipetik dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Berita Harian Online berkata syarikatnya menjangkakan operasi perlombongan pasir untuk bermula pada Mac tahun depan.
“Syarikat menjangkakan untuk membekalkan minimum 2,5 juta m3 pasir sungai setiap tahun kepada calon pembeli berpotensi dari China dan Hong Kong yang akan dikenal pasti nanti,” katanya.
Tambah Siew Wai, pasir sungai adalah bahan binaan yang banyak digunakan dan pada masa ini sedang dalam permintaan tinggi disebabkan kepesatan kerja-kerja pembinaan dan penambakan di China dan Hong Kong.
Comments are closed.