Panglima TUDM Terbangkan Su-30MKM Bersama Eurofighter Typhoon, Rafale PACIFIC SKIES 24
Panglima TUDM menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM bagi meraikan kehadiran rakan sejawatnya dari Tentera Udara Jerman dan delegasi PACIFIC SKIES 2024 terdiri dari Tentera Udara Jerman, Tentera Udara Perancis dan Tentera Udara Sepanyol yang melakukan persinggahan di Malaysia semalam.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan telah menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM bagi melaksanakan Photo Exercise (PHOTEX) bersama pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara Perancis dan Eurofighter Typhoon, masing-masing milik Tentera Udara Jerman dan Tentera Udara Sepanyol.
Salah sebuah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu diterbangkan sendiri oleh Panglima Tentera Udara Jerman Lt Jen Ingo Gerhartz.
Menurut kenyataan media sosial TUDM, Panglima TUDM menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM bagi meraikan kehadiran rakan sejawatnya dari Tentera Udara Jerman dan delegasi PACIFIC SKIES 2024 terdiri dari Tentera Udara Jerman, Tentera Udara Perancis dan Tentera Udara Sepanyol yang melakukan persinggahan di Malaysia semalam.
Aset-aset tersebut melibatkan 12 buah jet pejuang yang merangkumi sembilan buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon terdiri daripada lima buah milik Tentera Udara Jerman manakala empat buah milik Tentera Udara Sepanyol.
Tiga buah pesawat pejuang Rafale itu pula adalah milik Tentera Udara Perancis.
Pesawat-pesawat lain adalah lima buah pesawat pengisian minyak di udara Airbus A330 Multi-role Transport Tankers (MRTT) dan empat buah pesawat pengangkut taktikal Airbus A400M.
Ketibaan delegasi PACIFIC SKIES 2024 di Pangkalan Udara Subang turut disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Udara Lt Jen Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris dan Panglima Operasi Udara Lt Jen Datuk Mohd Shahada Ismail.
Turut hadir bersama adalah Duta Besar dari ketiga-tiga negara terlibat.
Semasa acara ini, turut dilaksanakan sesi kunjungan hormat kepada Panglima Tentera Udara dari ketiga-tiga negara.
Tujuan sesi kunjungan hormat ini adalah bagi membincangkan jalinan kerjasama diplomasi pertahanan dan mengukuhkan hubungan dua hala antara negara-negara.
Acara kemudiannya telah diakhiri dengan sesi lawatan ke pesawat-pesawat oleh Panglima Tentera Udara serta tetamu-tetamu yang hadir.
Pada 27 Jun lalu, tentera-tentera udara Jerman, Perancis dan Sepanyol memulakan kerahan bersejarah yang membawa 48 buah pesawatnya merentasi dunia untuk menyertai latihan-latihan udara di rantau Indo-Pasifik.
Dipanggil “PACIFIC SKIES 2024” kerahan pesawat-pesawat itu membolehkan ketiga-tiga Tentera Udara itu menyertai latihan-latihan udara bersama sekutu serantau mereka.
Kerahan udara sejauh 58,000km itu merentasi empat benua bermula daripada 27 Jun hingga 15 Ogos yang akan menyaksikan pesawat-pesawat daripada ketiga-tiga tentera udara itu menyertai latihan udara Arctic Defender di Alaska, Nippon Skies di Jepun, Pitch Black di Australia dan Tarang Shakti 1 di India.
Tentera Udara Jerman juga akan menyertai RIMPAC 2024 di Hawaii.
“Dengan menyertai PACIFIC SKIES 24, kami akan menunjukkan kehadiran di bahagian dunia yang amat penting kepada kami semua,” kata Panglima Tentera Udara Jerman Lt Jen Ingo Gerhartz.
“Kami akan dikerahkan ke Indo-Pasifik bersama-sama Sepanyol dan Perancis untuk menyertai lima latihan udara yang berlainan.” — DSA
Comments are closed.