Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Panglima Angkatan Tentera Lawat Projek Pembinaan Kapal LCS Yang “Bermasalah”

Menurut Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sehingga Oktober 2020 sejumlah RM6 bilion telah dibayar oleh kerajaan tetapi sehingga kini tiada sebuah pun kapal LCS itu telah siap.

0 14,450

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang semalam telah melakukan lawatan kerja terhadap Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd di Lumut bagi meninjau sendiri perkembangan pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang bermasalah.

Kehadiran beliau di limbungan kapal milik BNS itu telah diiringi oleh Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) , Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob.

“Dalam rangka lawatan sehari tersebut, beliau (PAT) telah melawat  kawasan pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai atau Littoral Combat Ship (LCS) yang direka dan dibina sendiri oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd,” menurut kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh media sosial Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia turut menyertakan beberapa keping gambar menunjukkan PAT dan pegawai-pegawai kanan TLDM serta BNS melawat beberapa bahagian kapal perang TLDM tidak dikenalpasti yang sedang menjalani kerja-kerja di limbungan kapal milik BNS itu.

Tidak ada satu gambar kapal-kapal LCS kelas-Maharaja Lela yang sedang dibina disertakan dalam kenyataan akhbar ATM yang dikeluarkan menerusi akaun media sosialnya itu.

Kapal LCS
Gambar kredit ATM

 

Ia adalah sesuatu yang amat “pelik” kerana kenyataan akhbar merujuk kepada lawatan kerja pegawai tertinggi ATM terhadap kapal LCS yang sedang dibina, tetapi tiada satu pun imej menunjukkan kapal terbabit.

Apa yang disiarkan oleh siaran media ATM itu adalah gambar sebuah kapal perang TLDM dipercayai KD Kasturi yang turut diberada di limbungan kapal BNS itu untuk kerja-kerja pembaikan.

Siaran media mengenai kapal LCS, tetapi gambar yang dikeluarkan membabitkan kapal perang yang lain.

Isu mengenai masalah yang dihadapi dalam pembinaan enam buah kapal kapal LCS bernilai RM9 bilion dan kelewatannya  adalah sesuatu yang “well-known” bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di seluruh dunia.   

Baru-baru ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan bahawa masalah yang membelenggu pembinaan enam buah kapal LCS itu adalah amat serius dan ia memberikan kesan terhadap keselamatan dan pertahanan negara.

“PAC memandang serius perkara ini memandangkan sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar, namun, tidak ada sebuah pun kapal LCS yang telah siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS telah siap dibina setakat ini. “

Kapal LCS
Kapal Littoral Combat Ship (LCS) TLDM

 

“Kegagalan penyiapan LCS ini amat serius kerana ia bukan sahaja membabitkan kelemahan atau kegagalan dari segi tadbir urus, perolehan dan kewangan tetapi juga memberikan kesan terhadap keselamatan dan keselamatan negara,” menurut PAC.

RM6 bilion telah dibayar setakat ini,  tetapi tiada satu pun kapal LCS telah siap.

Menteri Pertahanan ketika berucap di Dewan Rakyat bulan lepas berkata, sehingga 15 September 2021, tahap kemajuan projek pembinaan kapal perang paling moden dalam inventori TLDM hanya telah mencapai 57.05 peratus kemajuan.

Pembinaan kapal-kapal LCS TLDM itu katanya telah mengalami kelewatan sebanyak 38.89 peratus kerana jikalau mengikut perancangan kerja asal, kemajuan kerja-kerja kapal itu pembinaan sepatutnya sudah mencapai 95.94 peratus.

“Diatas sebab kelewatan itu juga, kerajaan telah mengenakan denda (penalti) atas kelewatan itu sebanyak RM80.6 juta,” katanya.

Menteri Pertahanan berkata, projek pembinaan LCS ini berhadapan dengan beberapa masalah yang telah menyebabkan ia mengalami kelewatan yang amat serius.

Projek ini berhadapan dengan beberapa masalah termasuklah kegagalan kontraktor menyiapkan rekabentuk, kelewatan pihak kontraktor dalam memuktamadkan perolehan beberapa peralatan dan kualiti kerja yang tidak menepati spesifikasi,” menurut Menteri Pertahanan.

Mengikut kontrak, kapal LCS pertama sepatutnya diserahkan kepada TLDM pada 2017 tetapi dilengahkan kepada 2019.

Kapal LCS
Antara kapal TLDM yang sedang menjalani pembaikan di Boustead Naval Shipyard di Lumut. (gambar kredit ATM)

 

DEFENCE SECURITY ASIA 

Comments
Loading...