Pakistan Peroleh 40 Buah Pesawat Pejuang Gen-5 Buatan China, Shenyang J-35A
Laporan tentang perolehan 40 buah pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu muncul selepas panglima tertinggi Angkatan Tentera China (PLA) Jeneral Zhang Youxia, melawat Islamabad bulan lalu dan mengadakan perbincangan secara tertutup dengan Panglima Angkatan Tentera Pakistan Jeneral Asim Munir.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas beberapa bulan menjadi bahan spekulasi media-media, akhirnya Pakistan dilaporkan bakal memperolehi sebanyak 40 buah pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A, dengan kesemua pesawat pejuang itu akan diterima oleh Islamabad di dalam tempoh dua tahun.
Ia adalah eksport pertama China bagi pesawat pejuang generasi kelima buatannya kepada mana-mana negara.
Laporan tentang perolehan 40 buah pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu muncul selepas panglima tertinggi Angkatan Tentera China (PLA) Jeneral Zhang Youxia, melawat Islamabad bulan lalu dan mengadakan perbincangan secara tertutup dengan Panglima Angkatan Tentera Pakistan Jeneral Asim Munir.
Di bawah kepimpinan Presiden Xi Jinping, Jeneral Zhang juga berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat (CMC), yang bertanggungjawab ke atas angkatan tentera China.
Perolehan pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu dijangka akan mengubah imbangan kuasa udara di antara Pakistan dan India dengan Islamabad akan mempunyai kelebihan yang besar dalam kuasa udara berbanding India yang masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang generasi ke-empat dan 4.5 seperti Su-30MKI dan Rafale.
Pada Airshow China 2024 yang berlangsung di Zhuhai November lalu,China telah mendedahkan gambar rasmi pertama pesawat pejuang generasi kelima J-35A.
J-35A merupakan pesawat pejuang generasi kelima kedua buatan China selepas J-20 “Mighty Dragon”, yang tidak dieksport ke luar negara kerana sensitiviti komponen dan teknologinya.
Dengan pesawat pejuang J-35A itu, China juga muncul sebagai negara kedua di dunia selepas Amerika Syarikat yang berjaya membangunkan dua jenis pesawat pejuang generasi kelima iaitu J-35A dan J-20 “Mighty Dragon.”
Amerika Syarikat juga mempunyai dua jenis pesawat pejuang generasi kelima dan halimunan yang berlainan itu F-35 dan F-22 “Raptor.”