Pakistan Hantar JF-17 Block III Sertai Royal International Air Tatoo (RIAT) 2025 di United Kingdom
Menurut Inter-Services Public Relations (ISPR) dalam satu kenyataan berkata bahawa kontinjen Tentera Udara Pakistan merangkumi pesawat pejuang JF-17 Thunder Block III dan pesawat pengangkut C-130 Hercules mendarat di Pangkalan Udara Fairford di United Kingdom untuk menyertai RIAT 2025.
Kontinjen Tentera Udara Pakistan merangkumi pesawat pejuang JF-17 Thunder Block III tiba di United Kingdom untuk menyertai Royal International Air Tatoo (RIAT) 2025.
RIAT yang telah berlangsung selama 50 tahun akan bermula pada 18 hingga 20 Julai dan merupakan salah satu pameran udara terbesar dunia bagi menyokong Royal Air Force Charitable Trust, menurut laman webnya.
Sementara itu menurut Inter-Services Public Relations (ISPR) dalam satu kenyataan berkata bahawa kontinjen Tentera Udara Pakistan merangkumi pesawat pejuang JF-17 Thunder Block III dan pesawat pengangkut C-130 Hercules mendarat di Pangkalan Udara Fairford di United Kingdom untuk menyertai RIAT 2025.
“Penyertaan Tentera Udara Pakistan dalam RIAT merupakan salah satu pameran udara terbesar di dunia dan membuktikan komitmen tentera udara dalam menunjukkan professionalisme, kemampuan operasional dan kekuatan industri aeroangkasanya,” menurut ISPR.
Membuktikan lagi kerahan antarabangsanya kali ini, pesawat pejuang JF-17 Block III milik Tentera Udara Pakistan itu juga telah melaksanakan operasi pengisian minyak di udara dengan jayanya ketika melakukan penerbangan ke United Kingdom, sambil dibantu oleh pesawat pengisi minyak IL-78.
“Operasi pengisian minyak di udara yang rumit itu telah membuktikan kemampuan operasi jarak jauh Tentera Udara Pakistan dan kemahiran krew udara dan daratnya dalam melaksanakan operasi di luar kawasan sempadannya.”
“Pesawat pejuang pelbagai peranan JF-17 Thunder Block III dilengkapi dengan radar AESA dan peluru berpandu Beyond Visual Range serta berkemampuan melakasanakan pelbagai misi kombat, meningkatkan kuasa udara dalam berhadapan dengan cabaran masa kini sekali gus memperkuatkan lagi keselamatan kebangsaan,” menurut kenyataan itu.
Pada bulan Mei lalu, ketika Pakistan menembak jatuh lima buah pesawat pejuang India sebagai tindak balas terhadap serangan waktu malam oleh India dalam konflik Pakistan-India, Tentera Udara Pakistan secara rasmi mengesahkan sebulan kemudian bahawa Skuadron Ke-15 yang berpangkalan di Kamra telah mengetuai operasi menembak jatuh pesawat-pesawat tersebut.
Insiden itu kini dianggap sebagai salah satu pertempuran udara terbesar di Asia Selatan dalam tempoh lebih setengah abad.
“Terdapat keterujaan yang ketara di seluruh United Kingdom susulan konflik terbaru antara Pakistan dan India, apabila peminat penerbangan serta pemerhati pertahanan begitu menantikan ketibaan pesawat JF-17 Thunder Block-III milik Tentera Udara Pakistan,” menurut kenyataan itu.
“Kebolehan tempurnya yang telah teruji serta kecemerlangan operasi pesawat itu telah menarik perhatian global yang besar, menjadikan kemunculannya di RIAT antara sorotan paling dinanti-nantikan dalam kalangan komuniti aeroangkasa dan pertahanan.”
Pangkalan Udara Minhas di Kamra, wilayah Punjab, Pakistan, bukan sekadar sebuah kemudahan ketenteraan biasa Pakistan.
Ia merupakan jantung kepada kekuatan udara strategik Pakistan, dan menjadi lokasi pemasangan serta pengoperasian pesawat pejuang paling moden negara itu, iaitu JF-17 Thunder Block III.
Pesawat JF-17 Block III yang dibangunkan bersama oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) China, kini memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan pertahanan udara Pakistan.
Kamra, yang menempatkan kompleks PAC, merupakan pusat pengeluaran utama bagi pesawat JF-17 termasuk varian paling terkini Block III, sekali gus menjadikannya sebagai ‘kilang utama’ bagi program jet pejuang generasi ke-4.5 itu.
PAC Kamra bukan sahaja bertanggungjawab ke atas pemasangan dan integrasi teknologi canggih pesawat, malah ia juga menjalankan ujian penerbangan dan penyelenggaraan penuh terhadap armada pesawat pejuang tersebut sebelum diserahkan kepada Tentera Udara Pakistan (PAF).
Fasiliti ini turut menempatkan beberapa skuadron tempur aktif, termasuk skuadron No. 16 “Black Panthers” yang secara rasmi mengendalikan varian JF-17 dalam peranan operasi harian serta misi latihan tempur.
Pengoperasian pesawat JF-17 Thunder Block III oleh skuadron yang berpangkalan di Kamra bukan sahaja meningkatkan keupayaan taktikal PAF, tetapi turut memberi kelebihan strategik kepada negara itu dalam menghadapi ancaman dari sempadan timur.
Pesawat pejuang JF-17 Thunder Block III milik Tentera Udara Pakistan kini menjadi tulang belakang kekuatan udara negara itu, sekaligus memperkukuh kedudukan strategik Islamabad dalam persaingan kuasa udara serantau.
Dibangunkan bersama oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Corporation (CAC) dari China, JF-17 Thunder telah melalui beberapa peningkatan sejak pengenalannya pada pertengahan tahun 2000-an, dengan varian Block III muncul sebagai versi paling canggih dan berkemampuan tinggi setakat ini.
Pangkalan kepada pesawat tempur generasi 4.5 ini adalah di PAF Base Minhas di Kamra, Punjab, Pakistan, yang turut menempatkan kompleks pengeluaran dan penyelenggaraan utama untuk semua varian pesawat JF-17.
Varian Block III membawa perubahan besar kepada reka bentuk dan keupayaan pesawat JF-17 berbanding versi terdahulu seperti Block I dan II.
Antara ciri paling signifikan adalah penggunaan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) KLJ-7A buatan Nanjing Research Institute of Electronic Technology (NRIET), yang membolehkan pengesanan sasaran udara pada jarak lebih 170 kilometer dan keupayaan untuk mengesan serta menjejaki lebih daripada 15 sasaran serentak.
Pesawat ini turut dilengkapi dengan Helmet Mounted Display (HMD) dan sistem penjejak kepala yang membolehkan juruterbang melancarkan peluru berpandu dengan hanya melihat sasaran, satu ciri penting dalam pertempuran jarak dekat moden.
Antara peluru berpandu yang paling digeruni apabila dipasangkan pada JF-17 Block III adalah PL-15, peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh Beyond Visual Range (BVR) yang dikatakan mempunyai jarak melebihi 200 kilometer, memberi kelebihan besar kepada Pakistan dalam sebarang konflik udara dengan India atau mana-mana pihak lain.
Peluru berpandu ini dikawal dengan radar aktif dan sukar diganggu dengan sistem gangguan elektronik konvensional, menjadikannya antara aset terpenting dalam senjata udara moden.
Selain PL-15, pesawat ini juga mampu membawa peluru berpandu infra-merah jarak dekat seperti PL-5EII dan PL-10E, serta pelbagai jenis bom pandu pintar seperti GBU-12 dan LS-6, termasuk peluru berpandu anti-kapal hipersonik CM-400AKG.
Dalam aspek enjin, JF-17 Block III menggunakan enjin Klimov RD-93MA atau WS-13, kedua-duanya memberikan tolakan melebihi 90 kN, menjadikannya pesawat supersonik dengan kelajuan maksimum sehingga Mach 1.6 atau kira-kira 1,975 km/j.
Pesawat ini memiliki kadar daki sehingga 300 meter sesaat, serta keupayaan operasi sehingga altitud 55,000 kaki, menjadikannya sangat sesuai untuk pelbagai misi taktikal dan strategik.
Sistem peperangan elektronik (EW) pesawat ini turut dipertingkatkan dengan kehadiran Radar Warning Receiver (RWR), Missile Approach Warning System (MAWS) dan Infrared Search and Track (IRST), yang memberikan juruterbang amaran awal terhadap ancaman serta keupayaan untuk mengesan sasaran tanpa mengaktifkan radar.
Gabungan sistem ini memberikan kelebihan besar dalam persekitaran pertempuran yang penuh gangguan elektronik atau “electronic warfare”.
Kokpit JF-17 Block III pula direka semula sepenuhnya dengan paparan digital penuh (glass cockpit), tiga skrin multifungsi (MFD), serta kawalan penerbangan digital fly-by-wire tiga paksi, membolehkan operasi yang lebih lancar dan mesra juruterbang.
Pesawat ini juga menyokong keupayaan network-centric warfare menerusi sistem data link canggih, menjadikannya mampu beroperasi dalam sistem peperangan rangkaian bersama pesawat amaran awal (AWACS) dan dron tempur.
Kos pesawat ini dianggarkan sekitar USD 30–35 juta seunit (bersamaan RM140 juta hingga RM165 juta), menjadikannya jauh lebih murah berbanding F-16V (USD 70 juta) atau Rafale (USD 100 juta ke atas), namun dengan keupayaan tempur yang kompetitif.