Pakistan Didakwa Minta Amerika Syarikat Tidak Jual F-35A Kepada India- Media Pertahanan India Dakwa

Media-media pertahanan India dalam laporannya mendakwa Zaheer Ahmed menyuarakan “permintaan” itu ketika melakukan lawatan kerja ke Amerika Syarikat baru-baru ini, di mana beliau telah bertemu dengan rakan sejawatannya daripada Tentera Udara Amerika Syarikat.

0
Panglima Tentera Udara Pakistan Marshal Udara Zaheer Ahmed Baber Sidhu dilaporkan telah meminta Amerika Syarikat supaya tidak menjual pesawat pejuang generasi kelima F-35A kepada “musuh tradisinya”, India.
Media-media pertahanan India dalam laporannya mendakwa Zaheer Ahmed menyuarakan “permintaan” itu ketika melakukan lawatan kerja ke Amerika Syarikat baru-baru ini, di mana beliau telah bertemu dengan rakan sejawatannya daripada Tentera Udara Amerika Syarikat.
“Panglima Tentera Udara Pakistan menyatakan kebenaran Amerika Syarikat bagi India memperolehi pesawat pejuang F-35A akan menjejaskan imbangan kuasa udara di rantau Asia Selatan,” dakwa media pertahanan India.
Mereka juga mendakwa bahawa Tentera Udara Pakistan “tidak senang” dengan laporan-laporan media menyatakan bahawa tentera udara pesaingnya kini sedang menimbangkan untuk memperolehi pesawat pejuang F-35A atau Su-57 buatan Russia.
Permintaan Panglima Tentera Udara Pakistan supaya India tidak diberikan kebenaran membeli F-35A itu dibuat pada ketika Tentera Udara Pakistan dilaporkan bakal menerima kumpulan pertama pesawat-pesawat pejuang generasi kelima J-35A buatan China di dalam “tempoh beberapa bulan akan datang ini.”
Panglima Tentera Udara Pakistan mengadakan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat buat pertama kali dalam tempoh lebih sedekad, dalam satu perkembangan penting yang dilihat bertujuan memperkukuh kerjasama pertahanan dua hala dan “memajukan kepentingan bersama,” menurut kenyataan Tentera Udara Pakistan.
Semasa lawatan tersebut, beliau telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Jeneral David W. Allvin, selain beberapa pemimpin kanan ketenteraan dan politik lain.
Su-57
Su-57 dan F-35 di Pangkalan Udara Yehalanka, Bengaluru untuk menyertai Aero India 2025.
Lawatan Zaheer Ahmed berlangsung tidak lama selepas Panglima Tentera Darat Pakistan Field Marshal Asim Munir, mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Rumah Putih.
Bagi membolehkan Tentera Udara India menangani ancaman pesawat-pesawat pejuang generasi kelima milik China dan Pakistan, Amerika Syarikat dilaporkan bakal menawarkan secara rasmi penjualan pesawat pejuang F-35A kepada India
Tentera Udara India memerlukan pesawat pejuang generasi kelima dengan segera bagi menangani ancaman pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon” dan juga J-35A yang bakal dioperasikan oleh Tentera Udara Pakistan.
Sebab itulah, India memerlukan dengan segera pesawat pejuang generasi kelima untuk berhadapan dengan China dan Pakistan.
Laporan media pertahanan India menyatakan bahawa Amerika Syarikat bakal menawarkan secara rasmi kepada India pesawat pejuang F-35A yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin pada Jun ini.
Menurut laporan itu lagi, tawaran pesawat pejuang generasi kelima F-35A kepada India itu termasuk beberapa komponen yang unik kepada India, sebagaimana F-35A Adir milik Tentera Udara Israel yang dilengkapi dengan komponen dibangunkan oleh syarikat-syarikat pertahanan Israel itu sendiri.
Antara konfigurasi unik untuk pesawat pejuang F-35A yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat kepada India itu termasuklah Software Defined Radio (SDR) dan juga Indentification Friend or Foe (IFF) sebagaimana dilengkapi pada pesawat F-35A milik Israel.
Pesawat pejuang F-35 “Adir”, versi khas F-35A Lightning II yang dibangunkan khusus untuk Israel, dianggap unik kerana beberapa ciri utama yang membezakannya daripada varian standard yang dioperasikan oleh negara lain.
J-35A
Perbandingan antara J-35A (atas) dengan F-35 (bawah) buatan Amerika Syarikat.
Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi pada awal tahun, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan bahawa beliau akan meningkatkan penjualan peralatan ketenteraan kepada India bermula tahun 2025.
Ia termasuklah membuka laluan untuk membekalkan pesawat pejuang generasi kelima F-35 kepada India, kata Presiden Amerika Syarikat itu.
“Kami akan meningkatkan penjualan ketenteraan kepada India dengan nilai berbilion dolar. Kami juga sedang membuka laluan untuk akhirnya membekalkan pesawat pejuang halimunan F-35 kepada India,” katanya kepada pemberita.
Syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin, yang merupakan pengeluar pesawat pejuang F-35, menyatakan bahawa sebarang perbincangan berhubung penjualan F-35 kepada India hanya akan berlangsung di peringkat antara kerajaan.
Menurut syarikat itu, penjualan ketenteraan asing seperti pesawat pejuang F-35 diklasifikasikan sebagai urus niaga antara kerajaan, dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) bertindak sebagai orang tengah antara kontraktor pertahanan dan kerajaan luar.
Sejak tahun 2008, India telah bersetuju untuk membeli lebih daripada AS$20 bilion (RM94 bilion) produk pertahanan dari Amerika Syarikat.
Pada tahun lalu, selepas rundingan yang memakan masa lebih enam tahun, New Delhi akhirnya bersetuju untuk memperoleh 31 unit dron MQ-9B SeaGuardian dan SkyGuardian.
Su-57
Su-57
Dalam lawatannya ke India baru-baru ini, Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance meminta supaya India mempertimbangkan perolehan pesawat pejuang F-35 dan dan menegaskan bahawa pesawat pejuang itu mampu meningkatkan keupayaan Tentera Udara India secara signifikan dalam melindungi ruang udara negara berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Russia turut menawarkan untuk membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya Sukhoi Su-57, di India khusus untuk kegunaan Tentera Udara India.
Russia bukan sahaja menawarkan pengeluaran dalam negara pesawat pejuang Su-57E kepada India tetapi juga perkongsian teknologi terkini serta pembangunan industri pesawat pejuang generasi kelima itu.
Duta Russia ke India Denis Alipov berkata, apa yang ditawarkan oleh Russia kepada India adalah “tawaran yang amat lumayan.”
“Kami menawarkan pesawat pejuang generasi kelima kami sendiri. Kami mempunyai pesawat terbaik – Su-57E. Kami baru sahaja mempamerkannya di Aero India bulan lalu (Mac) di Bangalore, dan ia telah menunjukkan prestasi luar biasa serta menarik perhatian ramai.”
“Pesawat ini (Su-57E) sangat kompetitif, dan kami bukan sahaja menawarkan untuk menjualnya, tetapi juga untuk bekerjasama dalam pengeluaran pesawat itu. Kami menawarkan pemindahan teknologi serta pembangunan kemudahan industri yang diperlukan untuk pengeluarannya. Selain itu, kami juga terbuka kepada perubahan konfigurasi mengikut keperluan.”
“Ini adalah tawaran yang sangat menguntungkan,” kata beliau.
Agensi eksport persenjataan negara itu, Rosoboronexport, mengumumkan bahawa India boleh memulakan pengeluaran berlesen Su-57 dengan segera menerui pemodenan production line sedia ada di negara itu untuk pesawat pejuang Su-30MKI generasi 4+, yang mana sekurang-kurangnya 222 unit telah dibina di India.
Sementara itu, Beijing dilaporkan akan mempercepatkan lagi penghantaran pesawat pejuang generasi kelima, J-35A kepada Pakistan bagi memastikan sekutunya di rantau Asia Selatan itu menerima pesawat pejuang terbabit pada suku pertama tahun 2026.
Laporan yang memetik sumber-sumber pegawai Tentera Udara Pakistan menyatakan bahawa China akan mempercepatkan lagi penghantaran pesawat pejuang J-35A yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation Industry (SAC) kepada Pakistan selama enam bulan.
Laporan media pada akhir tahun lepas menyatakan bahawa Pakistan bakal memperolehi sebanyak 40 buah pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A, dengan kesemua pesawat pejuang itu akan diterima oleh Islamabad di dalam tempoh dua tahun.
Tentera Udara Pakistan memberikan bayangan seawal 2024 tentang rancangannya untuk memperolehi pesawat pejuang halimunan generasi kelima, J-35A.
Malah, media-media Pakistan melaporkan bahawa tentera udara negara itu telah pun menghantar kumpulan juruterbangnya untuk menjalani latihan menerbangkan pesawat pejuang generasi kedua buatan China itu,  J-35A.
Dengan jarak operasi maksimum dianggarkan melebihi 1,200 batu nautika (2,200 km), ruang senjata dalaman yang direka untuk mengurangkan isyarat radar, serta keupayaan membawa peluru berpandu udara ke udara jarak jauh PL-15 buatan China, J-35A mewakili lonjakan signifikan bagi mana-mana pengendali yang mahu menyaingi musuh yang mengoperasikan F-35 atau pesawat halimunan moden lain.

Leave a Reply