Pakistan Bakal Peroleh Pesawat Pejuang Gen-5 China Shenyang J-35 Dalam Tempoh 24 Bulan
Sebagaimana dilaporkan oleh media Pakistan, 24 News HD yang berpangkalan di Lahore, perkembangan itu merupakan suatu usaha pembangunan oleh Tentera Udara Pakistan dan tindakan untuk menjarakkan lagi kekuatan udaranya berbanding dengan apa yang dimiliki oleh India.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pakistan dilaporkan telah meluluskan pembelian pesawat pejuang generasi kelima buatan China, Shenyang J-35 dengan tentera negara itu dijangka menerima pesawat-pesawat pejuang canggih itu daripada Beijing dalam tempoh 24 bulan.
Sebagaimana dilaporkan oleh media Pakistan, 24 News HD yang berpangkalan di Lahore, perkembangan itu merupakan suatu usaha pembangunan oleh Tentera Udara Pakistan dan tindakan untuk menjarakkan lagi kekuatan udaranya berbanding dengan apa yang dimiliki oleh India.
Pesawat pejuang generasi kelima Shenyang J-35 itu dijangka akan mengatasi kemampuan pesawat-pesawat pejuang dimiliki oleh “musuh tradisinya” India seperti Rafale dan Sukhoi Su-30.
Kelebihan dimiliki oleh Tentera Udara Pakistan menerusi perolehan pesawat pejuang generasi kelima J-35 buatan China itu akan berterusan sehinggalah India memperolehi pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri.
Awal tahun ini, Tentera Udara Pakistan memberikan bayangan bahawa ia akan memperolehi pesawat pejuang halimunan generasi kelima Shenyang J-35/FC-31 “Gyrfalcon” yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa China, Shenyang Aircraft Corporation.
Ketua Staf Tentera Udara Pakistan, Marshal Udara Zaheer Ahmed Baber Sidhu dilaporkan berkata dalam satu majlis beberapa bulan lalu bahawa pesawat Shenyang J-35/FC-31 buatan itu akan memasuki perkhidmatan tentera udara negara “tidak lama lagi.”
Ringkasan Artikel:
Pakistan telah meluluskan pembelian pesawat pejuang generasi kelima J-35 buatan China, dengan penghantaran dijangka dalam tempoh 24 bulan. Langkah ini bertujuan meningkatkan kemampuan Tentera Udara Pakistan (PAF) berbanding India, yang masih bergantung kepada pesawat generasi 4.5 seperti Rafale dan Sukhoi Su-30MKI.
Pesawat J-35/FC-31, yang dihasilkan oleh Shenyang Aircraft Corporation, merupakan pesawat pejuang halimunan generasi kelima yang direka untuk operasi udara-ke-udara dan udara-ke-darat. Pakistan telah menghantar juruterbangnya ke China untuk latihan penerbangan pesawat tersebut, menunjukkan komitmen ke arah pemilikan pesawat generasi kelima.
Perolehan ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Pakistan untuk menggantikan pesawat lama seperti F-16 buatan AS dan Mirage 5 buatan Perancis. Tambahan pesawat J-35 ke dalam inventori PAF akan melengkapkan pesawat J-10C dan JF-17 buatan China, memperkukuh kerjasama pertahanan antara Islamabad dan Beijing.
Pembangunan J-35 juga mencerminkan usaha China untuk bersaing dengan Amerika Syarikat dalam pembangunan pesawat generasi kelima. J-35 menjadikan China negara kedua selepas AS yang berjaya menghasilkan dua jenis pesawat generasi kelima, iaitu J-35A dan J-20 “Mighty Dragon.” Pesawat ini diharapkan memainkan peranan penting dalam pemodenan tentera China dan meningkatkan dominasi teknologi Beijing di rantau ini.