Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pakar Geopolitik Amerika Sifatkan Kapal Selam Kelas Borei-A “Peningkatan Besar” Tentera Laut Russia

Pada ketika ini, Tentera Laut Russia memiliki empat buah kapal selam nuklear kelas Borei-A yang terdiri daripada Knyaz Vladimir [yang beroperasi di Armada Utara], Prince Oleg [Armada Pasifik], Generalissimus Suvorov [Armada Pasifik] dan Imperator Aleksandr III [Armada Pasifik].

0 8,351
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang pakar geopolitik Amerika Syarikat menyifatkan kapal selam kelas Borei-A milik Russia sebagai “suatu peningkatan besar” oleh Tentera Laut Russia kerana ia lebih senyap dan lebih moden berbanding model-model kapal selam negara itu yang lain.
Menurut pakar itu, Brandon J-Weichert menyatakan bahawa kapal selam berkuasa nuklear kelas Borei-A itu memberikan ancaman yang besar kepada negara-negara Barat.
 Dalam satu analisisnya, beliau berkata, kapal-kapal selam kelas Borei-A itu mempunyai hanya satu misi iaitu mengekang musuh-musuhnya dan sekiranya perlu – melancarkan serangan peluru berpandu ballistik yang dilengkapi dengan peledak nuklear.
 Beliau berkata, Russia bercadang memiliki sehingga 12 buah kapal selam kelas Borei-A menjelang tahun 2030.
 Pada ketika ini, Tentera Laut Russia memiliki empat buah kapal selam nuklear kelas Borei-A yang terdiri daripada Knyaz Vladimir [yang beroperasi di Armada Utara], Prince Oleg [Armada Pasifik], Generalissimus Suvorov [Armada Pasifik] dan Imperator Aleksandr III [Armada Pasifik].
Borei
Kapal selam kelas-Borei

 

Kapal selam kelas Borei-A adalah suatu peningkatan yang besar berbanding model terdahulunya, kapal selam kelas-955.
 Antara ciri utama kapal selam kelas Borei-A adalah lapisan cat khas (coating) bertujuan menyerap sebarang bunyi yang menjadikan kapal selam nuklear itu amat senyap.
 Lapisan khas cat itu, termasuk dengan alatan-alatan khas memberikan kapal selam itu kemampuan meronda dalam keadaan yang amat senyap, sekaligus menjadikannya sukar untuk dikesan oleh aset-aset dan kapal selam musuh.
 Media-media Russia mendakwa bahawa kapal-kapal selam Russia termasuk kelas Borei-A adalah jauh lebih senyap berbanding kapal-kapal selam milik Amerika Syarikat seperti kapal selam kelas-Virginia.
 Mengenai sistem persenjataanya pula,kapal selam nuklear kelas Borei-A itu dilengkapi dengan peluru berpandu ballistik antara benua yang boleh membedil sasaran sejauh 9,300km.
 Dengan sistem persenjataan yang mampu membedil sasaran sejauh 9,300km, Amerika Syarikat boleh dibedil daripada jarak yang amat jauh.
Bulava
Kapal selam kelas Borei-A melancarkan peluru berpandu ballistik antara benua “Bulava”

 

Kapal selam kelas Borei-A dilengkapi dengan 16 butir peluru berpandu ballistik antara benua “Bulava”,   enam pelancar torpedo 533mm, peluru berpandu anti-kapal selam dan periuk api.
 Kapal selam nuklear berkuasa tinggi itu menggunakan reaktor nuklear OK-650W yang memberikannya kuasa sebanyak 170 Mega Watt (MW).
 Selain itu, kapal selam Borei-A itu juga dilengkapi dengan antenna khas di bahagian depannya, yang merupakan sistem sonar MGK-600B Irtysh-Amfora-Borei.
 Kapal selam kelas Borei-A itu dibina oleh limbungan kapal Sevmash dan direka oleh Rubin Design Bureau,memiliki kira-kira 15,000 tan (di permukaan) dan 24,000 tan apabila berada di dalam air.
 Memiliki panjang keseluruhan 170 meter, kapal selam itu mampu membawa sehingga 107 orang krew kapal selam.
 Menurut pakar geopolitik Amerika Syarikat itu, kapal-kapal selam Russia seperti kelas Borei-A adalah amat senyap dan sukar dikesan oleh kapal-kapal selam Barat, sekaligus menjadikan misi utamanya iaitu melancarkan peluru berpandu ballistik terhadap “sasarannya” daripada dasar-dasar laut berkemungkinan besar akan berjaya.  — DSA

Comments
Loading...