“Northern Sea Route”, Penyelesai Masalah Strategik Russia, China
Dengan "pembukaan" laluan perkapalan di Northern Sea Route (NSR) itu, Russia akan dapat meluaskan lagi pasaran bagi minyak dan gas yang dihasilkan oleh syarikat-syarikatnya kepada kuasa-kuasa ekonomi Asia Timur seperti China, Jepun dan Korea Selatan yang sememangnya amat "dahagakan" sumber asli itu untuk memacu ekonomi mereka.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak pihak memperkatakan tentang Northern Sea Route? Apakah Northern Sea Route itu?
Northern Sea Route (NSR) atau “Polar Silk Route” merupakan laluan perkapalan yang menghubungkan utara Eropah dengan timur Asia atau di antara Lautan Atlantik dengan Lautan Pasifik di sepanjang perairan pesisir pantai Artik Russia daripada Murmansk di Laut Barents ke Selat Bering (Bering Strait) dan seterusnya ke Timur Jauh (Far East).
Di dalam beberapa tahun akan datang, laluan perkapalan yang hanya bebas daripada air dua bulan di dalam setahun yang sehingga ini belum diterokai sepenuhnya bakal menyaingi laluan-laluan perkapalan tradisional Asia-Eropah lain.
Dengan ais yang semakin mencair di Bulatan Artik (Artic Circle) , laluan NSR itu semakin menarik untuk diterokai kerana ia bukan sahaja membuka peluang kepada sektor perkapalan antarabangsa tetapi juga peluang-peluang lain.
Ais yang semakin mencair juga mendedahkan sumber-sumber seperti minyak, gas, mineral dan perikanan di Artik untuk diterokai tanpa memerlukan pelaburan yang besar.
Pada ketika ini, tidak dapat dinafikan banyak pihak dan negara-negara yang sedang memerhati dengan penuh minat terhadap segala potensi dan kekayaan di Garisan Artik yang sebelum ini “tersembunyi” di sebalik lapisan ais yang amat tebal.
Ok berbalik kepada NSR, pakar-pakar mengatakan kapal yang menggunakan laluan NSR boleh menjimatkan kira-kira 40 peratus daripada jarak perkapalan Asia-Eropah berbanding sekiranya mereka menggunakan laluan konvensional seperti di Terusan Suez.
Di antara 20 hari hingga 48 hari boleh dijimatkan jika menggunakan laluan perkapalan NSR.
Tetapi penjimatan dalam jarak itu terpaksa pula diganti dengan peningkatan kos kerana mereka terpaksa menggunakan kapal yang berkemampuan “ice breaker”, kesukaran navigasi, risiko tinggi dan kelajuan pelayaran yang rendah.
Tetapi sekiranya ais terus mencair dengan kadar yang lebih cepat di Artic, pakar-pakar perkapalan melihat laluan NSR itu boleh digunakan oleh kapal-kapal komersial dengan kerap seawal tahun 2030, seterusnya menyaingi laluan perkapalan tradisional Asia-Eropah yang lain.
Kapal-kapal yang melalui NSR tidak lagi hanya kapal-kapal yang berkemampuan icebreaker untuk melalui laluan perkapalan itu.
Dalam hal berkenaan NSR ini, pihak yang dijangka bakal memperolehi keuntungan sudah semestinya adalah Russia dan China.
Menguntungkan bagi Russia kerana, majoriti daripada laluan NSR itu terletak dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Russia dan oleh kerana itu ia boleh menentukan segala dasar dan peraturan penggunaannya laluan perkapalan itu yang sudah pasti Amerika Syarikat dan sekutunya yang lain tidak akan menerima perkara itu.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Pada 2018, Russia telah mengeluarkan peraturan kepada mana-mana pihak yang bercadang mahu menggunakan laluan NSR supaya memaklumkan kepadanya kira-kira 45 hari sebelum memulakan pelayaran.
Selain itu, Moscow juga menetapkan supaya pegawai Russia perlu sentiasa berada di atas kapal terbabit sepanjang pelayaran di NSR itu. selain Russia juga mahu mengetahui muatan apa yang dibawa oleh kapal itu.
Dengan “pembukaan” laluan perkapalan NSR itu juga, Russia dapat meluaskan lagi pasaran bagi minyak dan gas yang dihasilkan oleh syarikat-syarikatnya kepada kuasa-kuasa ekonomi di Asia Timur seperti China, Jepun dan Korea Selatan yang sememangnya amat “dahagakan” sumber asli itu untuk memacu ekonomi mereka.
Russia sudah pasti akan meningkatkan “politik sumber asli” mereka terutamanya di dalam mencari pengaruh dan sekutu-sekutu baru di Asia Timur.
Selain Russia, China juga amat berminat dengan NSR kerana jika laluan perkapalan terbabit sudah boleh digunakan dengan selamat dan kerap, ia bakal menyelesaikan satu daripada masalah paling besar yang dihadapinya ketika ini.
Masalah itu adalah Selat Melaka yang digelar “The Malacca Dilemma” oleh bekas pemimpinnya Hu Jintao pada 2003.
NSR itu penting bagi China kerana ia akan memastikan bekalan minyak dan gas yang diperolehinya daripada Timur Tengah tidak melalui laluan “choke point” iaitu Selat Melaka yang terdedah kepada segala bentuk tekanan Amerika Syarikat serta sekutunya jika konflik antara Beijing dan Washington meletus.
Sekiranya berlaku sebarang konflik di antara Washington dan Beijing, pemerhati antarabangsa mendakwa antara tindakan terawal yang bakal dilakukan oleh Uncle Sam dan sekutunya adalah dengan “menutup” Selat Melaka kepada kapal-kapal China.
Tindakan menutup Selat Melaka kepada kapal-kapal China sudah semestinya akan “meruntuhkan” ekonomi China kerana ia akan menyukarkan Beijing mendapatkan minyak dan gas Timur Tengah yang amat diperlukan oleh ekonomi negara itu.
Sebab itulah, China memerhati dengan penuh minat terhadap sebarang usaha Russia untuk memajukan NSR sebagai laluan perkapalan Asia-Eropah yang baru,
Dengan NSR, kapal-kapal tangki dan komersial China boleh mengangkut minyak dan gas Russia serta mengurangkan kebergantungannya terhadap minyak dan gas daripada Timur Tengah, sekaligus menyelesaikan “The Malacca Dilemma” yang membelenggu mereka selama ini.
Sejak beberapa tahun ini, China telah mula menjalin kerjasama dengan Russia untuk menjadikan NSR suatu realiti.
Daripada sudut strategik, Beijing mahu melihat NSR itu berjaya. — DSA
Jom follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.