Nelayan Norway Terkejut Besar Jaring Nelayan Tersangkut Pada Kipas Milik Kapal Selam Nuklear Amerika
Menurut stesen televisyen Norway NRK News, nelayan negara itu dikenali dengan nama “Harald Engen” sedang menghantar tangkapan ikan Halibut ke fiord di Malange apabila beliau menerima mesej yang pelik menyatakan jaring kapal nelayan telah tersangkut pada kipas (propeller) kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat, USS Virginia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nelayan-nelayan di Norway mengalami kejutan besar apabila jaring digunakan oleh mereka telah tersangkut kepada kipas (propeller) milik kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat, USS Virginia.
Menurut stesen televisyen Norway NRK News, nelayan negara itu dikenali dengan nama “Harald Engen” sedang menghantar tangkapan ikan Halibut ke fiord di Malange apabila beliau menerima mesej yang pelik.
Mesej diterima daripada rakan nelayannya mengatakan bahawa kipas sebuah kapal selam telah tersangkut pada jaring dan telah menarik bot nelayan mereka sejauh kira-kira 2 Batu Nautika ke tengah lautan.
Ketika kejadian, kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat itu, USS Virginia sedang belayar daripada pelabuhan Tromso.
Stesen televisyen NRK News itu menyatakan bahawa Pengawal Pantai Norway mengesahkan bahawa salah sebuah kapal pengawal pantai yang sedang mengiringi kapal selam berkuasa nuklear itu terpaksa memotong jaring untuk “memisahkan” kapal nelayan itu dengan kapal selam Amerika Syarikat itu.
“Saya tahu kapal-kapal lain belayar di atas jaring ikan, tetapi tiada sesiapa yang tahu yang ia membabitkan kapal selam,” menurut Engen sebagaimana dipetik berkata oleh portal Barents Observer.
Nelayan Norway itu memberitahu stesen televisyen Norway bahawa beliau tidak marah atas kejadian itu tetapi telah berhubungan dengan dengan pihak Pengawal Pantai Norway tentang penggantian jaring kapal nelayannya itu.
Sementara itu jurucakap Armada ke-6 Tentera Laut Amerika Syarikat Lt Pierson Hawkins mengesahkan maklumat insiden itu kepada Business Insider tetapi enggan mendedahkan identiti kapal selam berkuasa nuklear itu.
Menurut jurucakap itu, tidak ada sesiapa mengalami kecederaan akibat insiden itu dan siasatan sedang dijalankan tentang kejadian itu.
Ditanya mengenai gantirugi, Hawkins berkata, secara asasnya sekira Tentera Laut Amerika Syarikat bersalah menyebabkan kerugian terhadap peralatan awam, ia mempunyai proses untuk membayar balik kos itu.
Beliau juga tidak mendedahkan sebab mengapa kapal selam berkuasa nuklear milik Amerika Syarikat itu berada di luar pantai Norway, tetapi berkemungkinan besar adalah untuk memantau kapal-kapal selam Russia memandangkan kedua-dua negara itu terletak berhampiran.
Angkatan Tentera Norway tidak memberikan sebarang reaksi balas ketika ditanya tentang insiden membabitkan kapal selam nuklear Amerika Syarikat dan bot nelayan negara itu.
“Amerika Syarikat adalah sebuah negara Artik dan memiliki kepentingan keselamatan di rantau itu,” menurut Hawkins dan Armada ke-6 Tentera Laut Amerika Syarikat menghargai sokongan Norway terhadap kerahan kapal-kapal selam miliknya untuk “mengekang dan mempertahankan suasana keselamatan yang semakin kompleks di kawasan itu.”
Sejak beberapa bulan lepas, Amerika Syarikat telah meningkatkan kerahan aset-aset tentera laut ke kawasan perairan di kawasan tersebut berikutan kerjasama pertahanan dan keselamatan yang semakin erat di antara kedua-dua negara.
Pada Jun lepas, kapal selam berkuasa nuklear kelas-Ohio USS Tennessee dan kapal cruiser USS Normandy telah dikerah ke perairan Laut Norway sebagai reaksi terhadap kehadiran kapal-kapal perang Russia.
Pada Oktober, Angkatan Tentera Norway mengumumkan latihan maritime bersama dengan Harry S. Truman Carrier Strike Group, dengan kapal pengangkut pesawat British HMS Prince of Wales juga dijadualkan menyertainya.
Sementara itu Angkatan Laut Amerika Syarikat di Eropah dan Afrika pula menyatakan bahawa dua buah kapal destroyernya USS Jason Dunham dan USS Stout telah dikerah untuk melaksanakan operasi maritime di perairan antarabangsa di Laut Barents.
Laut Barents yang bersempadan dengan utara Norway dan Russia disifatkan sebagai zon sensitif oleh Moscow. — DSA
Comments are closed.