Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

NATO Tidak Akan Bantu Tentera Perancis Sekiranya Diserang Russia Di Ukraine – Parlimen Jerman

Menurut Parlimen Persekutuan Jerman, Bundestag, tindakan menghantar tentera Perancis ke Ukraine tidak membabitkan NATO dan sebarang serangan terhadap anggota NATO (di dalam kes ini adalah Perancis) tidak akan menyebabkan pelanggaran Artikel 5 Perjanjian NATO.

0 1,841

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam apa yang disifatkan sebagai satu tamparan kepada Perancis, Parlimen Persekutuan Jerman yang dinamakan Bundestag menyifatkan cadangan penghantaran tentera dan kelengkapan persenjataan tentera Perancis ke Ukraine sebagai suatu tindakan persendirian dan unilateral.

Menurut Bundestag, tindakan menghantar tentera Perancis ke Ukraine tidak membabitkan NATO dan sebarang serangan terhadap anggota NATO (di dalam kes ini adalah Perancis) itu tidak akan menyebabkan pelanggaran Artikel 5 Perjanjian NATO.

Artikel 5 Perjanjian NATO menyebut mana-mana negara anggota NATO diserang, ia disifatkan sebagai serangan terhadap kesemua negara anggota NATO dan akan menyebabkan serangan balas daripada pakatan ketenteraan Eropah itu.

Dalam ertikata yang lain, sekiranya tentera Perancis yang dihantar ke Ukraine itu diserang oleh tentera Russia, maka NATO tidak akan memberikan bantuan atau mempertahankannya.

“Sekiranya negara anggota NATO bertindak secara sendirian – tidak di dalam lingkungan operasi NATO dan diluar struktur pemerintahan ketenteraan NATO – maka NATO secara keseluruhannya atau rakan-rakan NATO akan menjadi sebahagian daripada konflik itu,” menurut unit kajian Bundestag sebagaimana dilaporkan oleh media-media tempatan negara itu.

Perancis
Sistem meriam CAESAR 155mm buatan Perancis digunakan oleh tentera Ukraine.

 

Unit kajian Bundestag itu mengeluarkan pendapatnya selepas ia diminta berbuat demikian oleh anggota parti AFD (Alternative for Germany) Beatrix Von Storch yang mahukan jawapan tentang kemungkinan negara anggota NATO membuat keputusan sendiri untuk menghantar tenteranya ke Ukraine.

Pakar-pakar Bundestag membuat kesimpulan bahawa sebarang tindakan penghantaran tentera secara unilateral atau bersendirian tidak akan menyebabkan pelanggaran Artikel 5 Perjanjian NATO jika mereka diserang di medan peperangan.

Jerman sememangnya tidak bersetuju dengan sikap agresif yang diambil oleh Perancis terutamanya membabitkan penghantaran anggota tentera NATO ke Ukraine kerana ia dikhuatiri akan menyebabkan konflik di antara Moscow dan Kiev itu lebih merebak sehingga boleh menyebabkan tercetusnya Perang Dunia Ketiga.

Menurut Ketua Badan Perisikan Luar Negara Russia (Foreign Intelligence Service) Sergey Naryshkin, Perancis sedang bersiap-sedia untuk menghantar kira-kira 2,000 anggota tenteranya ke Ukraine bagi membantu negara itu menangani serangan tentera Russia.

Bilangan 2,000 anggota tentera itu hanya permulaan dan bilangan mereka akan ditambah.

AMX-10RC
Kenderaan perisai AMX-10RC  buatan Perancis yang kini dioperasikan oleh tentera Ukraine.
Perancis
Presiden Perancis Emannuel Macron

 

Dalam satu persidangan di Paris bulan lepas, Presiden Perancis Emannuel Macron tidak menolak kemungkinan penghantaran anggota tentera negara-negara Barat ke Ukraine.

Bercakap di Praque pada 5 Mac lalu, Presiden Perancis itu berkata negara-negara Eropah tidak boleh bertindak seperti “pengecut” dalam berhadapan dengan Russia.

Saranan Macron itu telah membangkitkan kemarahan Presiden Russia Vladimir Putin.

Menteri Pertahanan Perancis Sebastien Lecornu dilaporkan berkata bahawa Paris akan lebih banyak kereta-kereta perisai kepada Ukraine pada tahun ini dan tahun depan.

Negara anggota NATO itu juga akan menghantar peluru berpandu ASTER 30 yang melengkapi sistem pertahanan udara SAMP/T yang telah pun digunakan oleh Ukraine untuk mempertahankan ruang udaranya daripada peningkatan serangan udara oleh Russia.

Sistem pertahanan udara SAMP/T berkemampuan membedil sasaran udara sama ada pesawat pejuang, dron atau peluru berpandu kruis daripada jarak 120km. — DSA

Iklan

 

Comments
Loading...