Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Pakar Senjata Russia “Selongkar” Komponen Dalaman Storm Shadow/SCALP EG

(VIDEO) Data dan maklumat yang diperolehi daripada “penyelongkaran” komponen dalaman sistem peluru berpandu kruis Storm Shadow/SCALP EG itu akan dihantar kepada pelbagai agensi di Russia bertujuan membolehkan mereka mempelajari dan mengkajinya dengan lebih mendalam.

0 9,482

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali, tentera Russia telah menunjukkan keadaan dalaman peluru berpandu kruis Storm Shadow/SCALP EG yang dibekalkan kepada tentera Ukraine oleh Britain dan Perancis.

Video menunjukkan anggota tentera Russia telah “menyelongkar” komponen dalaman peluru berpandu kruis yang dibangunkan oleh firma pertahanan British dan Perancis itu serta telah disiarkan oleh stesen televisyen dan media-media sosial di negara itu.

Menurut media Russia, pakar-pakar senjata Russia sedang bertungkus-lumus mempelajari spesifikasi teknikal dan taktikal sistem peluru berpandu kruis Barat itu yang kini menjadi senjata utama Ukraine untuk menyerang pangkalan dan kepentingan tentera Russia di wilayah diduduki Crimea.

Data dan maklumat yang diperolehi daripada “penyelongkaran” komponen dalaman sistem peluru berpandu kruis Storm Shadow/SCALP EG itu akan dihantar kepada pelbagai agensi di Russia bertujuan membolehkan mereka mempelajari dan mengkajinya dengan lebih mendalam.

Ia juga bukan sahaja akan digunakan untuk membangunkan peluru berpandu kruis Russia yang lebih canggih pada masa depan, tetapi juga akan membantu mereka merangka strategi dan taktik bersesuaian untuk menangani serangan peluru berpandu kruis buatan British/Perancis itu.

Sistem pertahanan udara Russia juga akan mendapat faedah apabila pakar-pakar senjatanya mempelajari data dan maklumat daripada peluru berpandu Storm Shadow/SCALP EG itu.

Pakar-pakar bersenjata negara itu berharap mereka dapat membangunkan sistem pertahanan udara yang lebih yang berkesan untuk menangani peluru-peluru berpandu kruis keluaran negara Barat.

Peluru berpandu kruis Storm Shadow/SCALP EG buatan British/Perancis terbukti amat popular di kalangan tentera Ukraine yang kerapkali menggunakannya untuk menyerang aset-aset tentera Russia di wilayah Crimea yang ditawannya.

Bukan sahaja peluru berpandu kruis itu popular, tetapi ia terbukti berkesan dalam memusnahkan kapal-kapal perang termasuk sebuah kapal selam milik tentera Russia yang sedang berlabuh di pangkalan tentera laut di Crimea itu.

Peluru berpandu kruis British/Perancis itu telah menjadi “duri dalam daging” pada tentera Russia terutamanya di Crimea.

Untuk menanganinya,  Russia telah meningkatkan kehadiran sistem pertahanan udaranya untuk menembak jatuh peluru-peluru berpandu kruis Storm Shadow/SCALP EG yang dilancarkan oleh tentera Ukraine.

Tentera Russia berjaya menembak jatuh sebahagian daripada peluru berpandu kruis itu yang dilancarkan oleh tentera Ukraine, tetapi sebahagian lagi berjaya membedil dan memusnahkan aset-asetnya.

Storm Shadow
Memasang peluru berpandu “Storm Shadow/SCALP EG”

 

Selain sistem pertahanan udara, Russia juga mengerahkan sistem peperangan elektronik (EW) untuk cuba menganggu dan mengagalkan serangan peluru berpandu kruis British/Perancis itu.

Pada Julai tahun lepas,  tentera Russia dilaporkan berjaya “menawan” sebuah peluru berpandu kruis “Storm Shadow” disumbang oleh Britain kepada Ukraine selepas peluru berpandu itu mengalami “kerosakan elektronik” sebaik sahaja ia dilancarkan oleh pesawat pejuang.

“Kerosakan elektronik” dialami oleh peluru berpandu kruis itu berkemungkinan besar disebabkan oleh serangan EW oleh Russia.

Apa yang menarik adalah peluru berpandu kruis yang berjaya ditawan oleh tentera Russia itu berada di dalam keadaan yang hampir sempurna, sekaligus membolehkan pakar-pakar persenjataan Moscow mengkaji dan mempelajari teknkologinya.

Peluru berpandu kruis “Storm Shadow” itu ditawan tentera Russia selepas ia gagal berfungsi ketika dikerah beraksi dalam serangan balas tentera Ukraine di wilayah Zaphorizia di selatan negara itu.

Media kerajaan Russia menyatakan bahawa peluru berpandu kruis “Storm Shadow” yang masih di dalam keadaan baik itu telah dihantar ke Moscow bagi membolehkan pakar-pakar persenjataannya melihat dengan lebih dekat peluru berpandu itu dan teknologi disebaliknya.Storm Shadow

Apa yang boleh dipelajari oleh pakar-pakar senjata Russia daripada peluru berpandu kruis kebanggaan Britain/Perancis itu?

Daripada kajian terhadap peluru berpandu itu, ia boleh memberitahu tentang teknologi penjejakan sasarannya serta bahan-bahan digunakan untuk membuat peluru berpandu serta bagaimana ia mengelak dari sistem pertahanan udara Russia.

Pakar-pakar Russia kemungkinan paling berminat dengan sistem penjejakan sasaran (guidance) digunakan oleh peluru berpandu kruis “Storm Shadow”.

Kesemua maklumat ini amat berguna kepada Moscow kerana ia membolehkan Russia merangka jalan penyelesaian tentang cara untuk memintas peluru berpandu itu, yang sehingga kini telah berjaya mengelak daripada dimusnahkan oleh sistem pertahanan udaranya.

Selain itu, pakar-pakar senjata Russia juga mahu mengkaji tentang rekabentuk peluru berpandu “Storm Shadow” itu kerana peluru berpandu itu telah direka untuk menjadikan senjata itu sebagai “hampir halimunan” di mata radar-radar musuh.

Maklumat itu akan membantu industri pertahanan Russia untuk membangunkan peluru-peluru berpandu yang lebih baik pada masa depan serta teknologi dan sistem untuk menewaskannya pula.Storm Shadow

Peluru berpandu “Storm Shadow” adalah peluru berpandu kruis lancaran udara (air-launched cruise missile – ALCM) hasil usahasama tiga buah negara itu United Kingdom, Perancis dan Itali.

Juga dikenali dengan panggilan SCALP EG (Système de Croisière Autonome à Longue Portée – Emploi Général), peluru berpandu itu telah dibuat oleh firma pertahanan Eropah, MBDA.

Pembangunan sistem peluru berpandu itu telah bermula seawal 1990-an dan direkabentuk untuk menjadi sistem persenjataan jarak jauh, stand-off yang boleh dilancarkan daripada pesawat terhadap sasaran strategik dan pada masa yang sama memastikan pesawat tetap berada di luar jarak jangkauan sistem pertahanan udara musuh.

Peluru berpandu “Storm Shadow” boleh membedil sasaran sejauh 560km atau 300 Batu Nautika bagi membolehkan ia mensasarkan sasaran strategik.

Pada ketika ini peluru berpandu kruis ini sedang berkhidmat dengan beberapa negara seperti United Kingdom, Perancis, Itali,Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, iaitu negara-negara pengguna pesawat pejuang Tornado, Eurofighter Typhoon dan Rafale.

Setiap sebuah peluru berpandu kruis itu adalah seberat 1.3 tan, dengan keseluruhan peluru itu adalah 5.10 meter.Storm Shadow

Ia menggunakan sistem propulsion turbojet, Turbomeca Microturbo TRI 60-30 yang memacu peluru berpandu itu ke sasaran dengan kelajuan dan ketepatan yang tinggi.

Mengenai sistem navigasinya pula,sistem peluru berpandu kruis “Storm Shadow” itu dipandu oleh sistem-sistem INS (Inertial Navigation ), GPS (Global Positioning System) dan Terrain Reference Navigation bagi memastikan ia memiliki ketepatan yang amat tinggi.

Manakala bagi peledaknya pula, ia direka untuk menyebabkan kemusnahan yang maksima.

Sebelum dilancarkan, peluru berpandu itu akan “disediakan”, dengan segala data dan maklumat komprehensif tentang sasaran dan trajektori yang diperlukannya bagi memastikan ia “sampai” ke sasaran dimasukkan ke dalam sistem peluru berpandu itu secara pre-loaded.

Selepas dilancarkan daripada pesawat membawanya, peluru berpandu “Storm Shadow” itu akan menggunakan sistem navigasi sendirinya untuk menuju ke sasaran.

“Storm Shadow” itu memiliki kepala peledak dua peringkat dinamakan Bomb Royal Ordnance Augmented Charge (BROACH) yang menggabungkan letupan (blast) dan kemampuan penembusan (penetration capabilities).

Storm Shadow
Anggota tentera Russia memeriksa peluru berpandu kruis “Storm Shadow” yang gagal berfungsi.

 

Cara kepala peledak BROACH itu berfungsi adalah secara dua peringkat, dengan peringkat pertama menyaksikan ia meletup untuk “membuka” permukaan sasaran dan seterusnya peringkat kedua dimana kepala peledak yang lebih besar, menembusi sasaran dengan lebih dalam sebelum meletup, beberapa saat selepas letupan pertama.

Kesemua teknologi yang menjadikan peluru berpandu kruis “Storm Shadow” itu suatu sistem persenjataan yang menggerunkan sudah pasti akan dilihat dengan lebih mendalam dan terperinci oleh saintis-saintis senjata Russia. — DSA

Iklan

Comments
Loading...