Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Myanmar Terima Su-30SME, Bantu Ringan Beban Akibat Masalah JF-17

Penerimaan dua daripada enam buah pesawat pejuang Su-30SME oleh Myanmar dikatakan amat membantu tentera udara negara Asia Tenggara itu, pada ketika pesawat pejuang JF-17 “Thunder” miliknya didakwa telah digantung daripada beroperasi akibat pelbagai masalah teknikal dan strutural yang membelenggunya.

5,714

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berdepan dengan “masalah teknikal” yang membelanggu pesawat-pesawat JF-17 “Thunder” miliknya, Myanmar yang sedang berhadapan dengan pemberontakan daripada kumpulan-kumpulan bersenjata negara itu mengesahkan bahawa ia telah mula menerima pesawat pejuang MRCA Sukhoi Su-30SME daripada Russia.

Bercakap kepada agensi berita Russia, RIA Novosti,  Menteri Perdagangan Myanmar Charlie Than berkata, negara Asia Tenggara itu telah menerima dua daripada enam pesawat pejuang Russia itu.

“Dua daripada pesawat pejuang itu telah pun diterima oleh Myanmar,” katanya kepada agensi berita itu ketika menghadiri Eastern Economic Forum yang berlangsung di bandar Vladivostok yang terletak di timur jauh Russia.

Myanmar

Myanmar dan Russia menandatangani kontrak perolehan enam buah pesawat pejuang Su-30SME pada tahun 2018.

Yangon dikatakan telah menerima dua buah pesawat pejuang paling canggihnya itu pada tahun lepas, tetapi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya, sehinggalah Menteri Perdagangannya memberitahu perkara itu kepada agensi berita Russia.

Pemimpin Myanmar itu bagaimanapun tidak memberitahu tarikh penerimaan empat buah lagi Su-30SME.

Pesawat pejuang Sukhoi Su-30SME yang diperolehi oleh Myanmar merupakan varian pesawat pejuang Su-30 “Flanker” yang popular dan turut digunakan oleh beberapa negara lain di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Penerimaan dua daripada enam buah pesawat pejuang Su-30SME oleh Myanmar dikatakan amat membantu tentera udara negara Asia Tenggara itu, pada ketika pesawat pejuang JF-17 “Thunder” miliknya didakwa telah digantung daripada beroperasi akibat pelbagai masalah teknikal dan strutural yang membelenggunya.

Pesawat-pesawat pejuang JF-17 “Thunder” milik Tentera Udara Myanmar itu dibangunkan secara bersama oleh syarikat China, Chengdu Aircraft Corporation (CAC) dan Pakistan Aeronautical Complex (PAC).

Myanmar

Pada 2018, Myanmar bersetuju untuk memperolehi 16 buah pesawat pejuang JF-17 “Thunder, menjadikan ia negara pasaran eksport yang pertama bagi pesawat pejuang terbabit yang turut pernah ditawarkan kepada Malaysia.

Kerajaan junta tentera Myanmar dilapor telah menyatakan rasa “amat marahnya” kepada Pakistan berhubung masalah teknikal berterusan dihadapi oleh pesawat pejuang JF-17 “Thunder” miliknya sehingga terpaksa diisytiharkan sebagai “tidak layak untuk beroperasi.” (unfit for operations)

“Kesemua 16 buah pesawat pejuang JF-17 yang dibekalkan kepada Myanmar telah diisytihar sebagai tidak boleh beroperasi (unfit for operations) disebabkan pelbagai masalah teknikal dan struktural yang gagal diselesaikan oleh Pakistan,” menurut media tempatan Myanmar.

Kegagalan Pakistan menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi oleh pesawat pejuang JF-17 “Thunder” milik Myanmar itu telah menyebabkan ketegangan dalam hubungan dua hala di antara Yangon dan Islamabad.

Kerajaan Myanmar dilaporkan amat marah dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh pesawat pejuang JF-17 “Thunder” buatan Pakistan dan China itu sehingga tidak mampu beroperasi, terutamanya ketika negara Asia Tenggara itu sedang berhadapan dengan masalah pemberontakan bersenjata yang amat serius daripada beberapa kumpulan dalam negara.

JF-17
Pesawat JF-17 Myanmar

 

Media tempatan di negara Asia Tenggara yang sedang berdepan masalah keselamatan yang serius, juga mendakwa negara-negara lain juga “berfikir dua kali” untuk memperolehi pesawat pejuang JF-17 disebabkan masalah dihadapi pesawat itu di Myanmar.

Myanmar  muncul sebagai negara pertama di luar Pakistan yang memiliki pesawat pejuang JF-17, dianggarkan bernilai di antara US$15 juta hingga US$25 juta sebuah (RM67 juta hingga RM112 juta sebuah), yang adalah jauh lebih murah berbanding pesawat pejuang generasi ke-empat yang lain di pasaran. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.