Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Negara Tidak Didedah Identiti Tawar Beli 32 Buah Helikopter “Gokbey” Keluaran Turkiye

Ketua Pegawai Eksekutif TAI Prof Temel Kotil mendedahkan kepada stesen televisyen tempatan Turkiye baru-baru ini bahawa sebuah negara yang tidak didedahkan identitinya bercadang memperolehi sejumlah 32 buah helikopter saiz sederhana “T625 Gokbey” yang dibangunkannya itu.

0 10,438

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, pihak pengurusan kanan Turkish Aerospace Industries (TAI) menyatakan bahawa helikopter saiz sederhana dibangunkannya, “T625 Gokbey” telah menerima tawaran bernilai US$1 bilion (RM4.5 bilion) daripada sebuah negara yang enggan didedahkannya.

Pendedahan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TAI Prof Temel Kotil kepada stesen televisyen tempatan Turkiye baru-baru ini menyatakan bahawa negara yang tidak didedahkan identitinnya itu bercadang memperolehi sejumlah 32 buah helikopter “Gokbey” yang dibangunkannya itu.

Jika tawaran ini direalisasikan, maka negara terbabit bakal menjadi pasaran eksport yang pertama bagi helikopter sederhana buatan industry tempatan Turkiye itu.

"Gokbey" TAI
Helikopter pelbagai misi “Gokbey” keluaran Turkish Aerospace Industries

 

Cuma setakat ini, Kotil enggan mendedahkan identiti negara yang menawarkan US$1 billion untuk memperolehi sejumlah 32 buah helikopter yang memulakan penerbangan sulungnya pada tahun 2018 itu.

Kenyataan beliau itu tentang helikopter “Gokbey” itu telah menimbulkan spekulasi tentang identiti negara-negara yang berminat untuk memperolehi 32 buah helikopter “Gokbey” itu.

Dan seperti biasa, spekulasi tentang pihak yang mahu memperolehi helikopter dibangunkan TAI itu meliputi negara-negara Teluk dan Timur Tengah yang mempunyai sumber kewangan yang tinggi kepadalah Malaysia dan beberapa negara lain.

Malaysia termasuk dalam spekulasi itu kerana kecenderungan kita untuk memperolehi sistem pertahanan daripada Turkiye akhir-akhir ini, dengan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “KARAOK” buatan ROKETSAN menjadi pilihan terkini kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada April lalu, laporan media tempatan menyatakan kerajaan Negeri Sembilan berharap Memorandum Persefahaman (MoU) dengan TAI ditandatanganinya tahun lepas untuk membangunkan Lembah Aeroangkasa Negeri Sembilan (NSAV) dapat direalisasikan akhir tahun ini.

Gokbey
Kokpit dalaman helikopter “Gokbey”

Gokbey

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri pada ketika itu (pra Pilihan Raya Negeri) Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata terdapat perancangan daripada TAI untuk memasang helikopter dan pesawat ringan di NSAV.

Helikopter “Gokbey” pelbagai-misi keluaran TAI itu merupakan model helikopter generasi baharu dua enjin seberat enam tan dan enam yang dibangunkan dan dikonfigurasikan untuk memenuhi keperluan operasi pelbagai sasaran seperti kargo, pengangkutan VIP, perkhidmatan perubatan kecemasan, luar pesisir termasuk operasi mencari dan menyelamat kerana memiliki ruang kabin yang luas.

Dengan tangki minyak standard 1,020kg, helikopter “Gokbey” boleh berada di udara selama 3 jam 48 minit dan terbang sejauh 740km, dengan kelajuan 306km sejam.

Helikopter pelbagai misi “Gokbey” boleh terbang dalam keadaan cuaca buruk, altitud tinggi dan suasana kepanasan tinggi, malah ia masih lagi boleh berada di udara sekiranya satu daripada dua enjin mengalami kerosakan dan gagal berfungsi. 

TAI mula membekalkan “Gokbey” kepada pasukan polis Turkiye bermula akhir tahun lepas.

Gokbey
Helikopter sederhana, “Gokbey” (kiri) bersama “ATAK-2”

 

Helikopter buatan tempatan Turki ini mula dibangunkan pada 2013 diatas hasrat kerajaan negara itu yang mahukan helikopter pelbagai guna saiz sederhana tempatan.

Walaupun pada ketika ini helikopter Gokbey ini masih menggunakan enjin buatan Roll Royce-Honeywell dengan 1,300 kuasa kuda,  sebagaimana yang digunakan oleh helikopter T129 ATAK, tetapi Turki sedang membangunkan enjin tempatan bagi helikopter dengan kerjasama Ukraine.

Hanya apabila “Gokbey” telah dilengkapkan dengan enjin TEI-TS1400 buatan anak syarikat Turki sendiri iaitu TUSAS Engine Industries (TEI), maka Turkiye akan menjadi hanya negara ke-tujuh di dunia yang mampu membuat helikopter menggunakan komponen tempatan sepenuhnya. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...