Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Myanmar “Amat Marah” Dengan Pakistan, Pesawat JF-17 Miliknya Terus Bermasalah

Kerajaan Myanmar dilaporkan amat marah dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh pesawat pejuang JF-17 "Thunder" buatan Pakistan dan China itu sehingga tidak mampu beroperasi, terutamanya ketika negara Asia Tenggara itu sedang berhadapan dengan masalah pemberontakan bersenjata yang amat serius daripada beberapa kumpulan dalam negara.

0 17,346

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan junta tentera Myanmar dilapor telah menyatakan rasa “amat marahnya” kepada Pakistan berhubung masalah teknikal berterusan dihadapi oleh pesawat pejuang JF-17 “Thunder” miliknya sehingga terpaksa diisytiharkan sebagai “tidak layak untuk beroperasi.” (unfit for operations)

Pesawat-pesawat pejuang JF-17 “Thunder” milik Tentera Udara Myanmar itu dibangunkan secara bersama oleh syarikat China, Chengdu Aircraft Corporation (CAC) dan Pakistan Aeronautical Complex (PAC).

 Pada 2018, Myanmar bersetuju untuk memperolehi 16 buah pesawat pejuang JF-17 “Thunder, menjadikan ia negara pasaran eksport yang pertama bagi pesawat pejuang terbabit yang turut pernah ditawarkan kepada Malaysia.

JF-17
JF-17 Myanmar

 

Bagaimanapun Malaysia memilih pesawat pejuang FA-50 Block 20 buatan Korea Aerospace Industries (KAI).

“Kesemua 16 buah pesawat pejuang JF-17 yang dibekalkan kepada Myanmar telah diisytihar sebagai tidak boleh beroperasi (unfit for operations) disebabkan pelbagai masalah teknikal dan struktural yang gagal diselesaikan oleh Pakistan,” menurut media tempatan Myanmar.

Kegagalan Pakistan menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi oleh pesawat pejuang JF-17 “Thunder” milik Myanmar itu telah menyebabkan ketegangan dalam hubungan dua hala di antara Yangon dan Islamabad.

Ia telah menyebabkan campurtangan China, yang telah menghantar utusannya ke Myanmar untuk bertemu dengan pemimpin tertinggi negara Asia Tenggara itu, Jeneral Myint Aung Hlaing.

Kerajaan Myanmar dilaporkan amat marah dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh pesawat pejuang JF-17 “Thunder” buatan Pakistan dan China itu sehingga tidak mampu beroperasi, terutamanya ketika negara Asia Tenggara itu sedang berhadapan dengan masalah pemberontakan bersenjata yang amat serius daripada beberapa kumpulan dalam negara.

Menurut sumber-sumber media tempatan, Pakistan cuba mencari jalan penyelesaian dengan menggantikan pesawat JF-17 yang bermasalah itu dengan varian pesawat pejuang terbabit yang lebih moden dan canggih.

JF-17
Pesawat JF-17 “Thunder” milik Pakistan

 

Bagaimanapun sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada tawaran Pakistan itu diterima oleh kerajaan Myanmar.

Media tempatan negara Asia Tenggara yang sedang berdepan masalah keselamatan yang serius juga mendakwa bahawa negara-negara lain juga “berfikir dua kali” untuk memperolehi pesawat pejuang JF-17 disebabkan masalah dihadapi pesawat itu di Myanmar.

Myanmar  muncul sebagai negara pertama di luar Pakistan yang memiliki pesawat pejuang JF-17, dianggarkan bernilai di antara US$15 juta hingga US$25 juta sebuah (RM67 juta hingga RM112 juta sebuah), jauh lebih murah berbanding pesawat pejuang generasi ke-empat yang lain di pasaran.

Tahun lepas,  laporan oleh portal berita Myanmar “The Irrawaddy” yang memetik kenyataan daripada pegawai tentera udara negara itu serta penganalisis pertahanan, mengatakan pesawat-pesawat JF-17 milik Tentera Udara Myanmar berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal yang serius.

Masalah teknikal itu amat serius sehingga menyebabkan pesawat pejuang terbabit lebih banyak menghabiskan masanya dihangar untuk diselenggara berbanding beroperasi.

Selain berhadapan dengan masalah teknikal serius, terdapat juga dakwaan mengatakan juruterbang-juruterbang Myanmar tidak memiliki pengetahuan yang cukup untuk mengendalikan pesawat canggih buatan Pakistan dan China itu.

JF-17
Pesawat JF-17 Block 3 merupakan varian terbaru pesawat pejuang yang dibangunkan bersama oleh Pakistan dan China.

 

Menurut juruterbang Tentera Udara Myanmar yang dipetik oleh portal terbabit, pesawat JF-17 berhadapan dengan masalah beberapa bahagian airframe pesawat itu mengalami keretakan apabila ia berhadapan dengan tekanan graviti yang kuat.

Selain itu, radar pesawat itu buatan China KLJ-7 A1 dikatakan mempunyai darjah ketepatan yang amat rendah selain kesukaran untuk mendapatkan bekalan alat ganti.

Pesawat JF-17 Myanmar itu juga dikatakan tidak mempunyai peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range.

Laporan juga mengatakan bahawa Weapon Mission Management Computer pesawat milik Tentera Udara Myanmar itu gagal berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan pesawat gagal memperlihatkan prestasi yang baik di dalam operasi udara-ke-udara.

JF-17
Pesawat pejuang JF-17 Thunder buatan Pakistan/China

 

Memandangkan pesawat JF-17 itu menggunakan enjin buatan Russia, Klimov RD 93, maka ia juga berhadapan dengan masalah mendapatkan bekalan alat ganti berikutan sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Russia kerana menceroboh Ukraine.

Disebabkan masalah-masalah teknikal yang dihadapinya, Tentera Udara Myanmar dikatakan masih tidak dapat menggunakan pesawat JF-17 yang dibelinya itu walaupun sudah hampir lima tahun memilikinya.

Pada ketika ini, Tentera Udara Myanmar terpaksa bergantung dengan pesawat-pesawat kombat seperti Yak-130, MiG-29  dan K-8 buatan China untuk menangani masalah konflik dalam negeri yang  sedang dihadapinya pada ketika ini.  — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...