Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Myanmar Semakin Hampir Kepada Perang Saudara, 520 Orang Penduduk Terbunuh Setakat Ini

Dengan keganasan di Myanmar tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan berhenti, maka ramai menjangkakan bilangan kematian orang awam di tangan tentera negara itu yang dipanggil “Tatmadaw” akan terus meningkat.

0 4,252

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak pihak tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa di negara Asia Tenggara itu pada 1 Februari lepas, seramai 520 orang penduduk negara itu maut akibat ditembak oleh anggota pasukan keselamatan.

Dengan keganasan di Myanmar tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan berhenti, maka ramai menjangkakan bilangan kematian orang awam di tangan tentera negara itu yang dipanggil “Tatmadaw” akan terus meningkat.

Myanmar

Kini, utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar Christine Schraner Burgener meminta Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan segera.

Kegagalan bertindak segera katanya, akan menyebabkan “pertumpahan darah” dan risiko berlakunya perang saudara di negara itu di dalam jangka masa terdekat.

“Saya merayu kepada majlis ini menimbangkan segala usaha kolektif dan melakukan perkara yang betul dan mengelak malapetaka ditengah-tengah Asia,” katanya dalam sesi khas Majlis Keselamatan PBB tentang pergolakan Myanmar.

Beliau juga berkata bersedia untuk berunding dengan pihak tentera, tetapi jika kita menunggu untuk berunding dengan mereka maka keadaan akan menjadi lebih buruk, dengan Myanmar kini berada sangat hampir dengan “pertumpahan darah.”

Britain memanggil sesi khas Majlis Keselamatan itu selepas pihak tentera Myanmar meningkatkan penggunaan kekerasan terhadap peserta-peserta perhimpunan yang mahukan negara itu kembali ke sistem demokrasi.

Sementara itu duta Amerika Syarikat ke PBB Linda Thomas Greenfield menimbulkan kemungkinan bahawa negara kuasa dunia akan campur tangan di Myanmar jika pihak tentera tidak menghentikan keganasan mereka.

Myanmar

“Kita berharap keadaan akan kembali pulih and anggota tentera akan pulang ke berek masing-masing, membenarkan kerajaan pro-demokrasi berfungsi semula.”

“Jika mereka tidak melakukan perkara itu, pihak tentera berterusan melakukan serangan terhadap penduduk awam maka kita (Amerika Syarikat) perlu melihat bentuk tindakan tambahan yang kita akan lakukan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut apa yang dimaksudkannya “ tindakan tambahan” jika tentera Myanmar tidak menghentikan tindakan keganasan terhadap orang awam sebagaimana yang dilakukan mereka ketika ini.

Pertumpahan darah ketika ini turut menimbulkan kemarahan dikalangan 20 kumpulan bersenjata di Myanmar yang kebanyakkanya beroperasi di kawasan sempadan negara itu.

Tiga daripada kumpulan bersenjata di Myanmar itu – Ta’ang National Liberation Army (TNLA),  Myanmar Nationalities Democratic Alliance Army dan Arakan Army – menyatakan semalam bahawa mereka akan berjuang bersama-sama penduduk awam.

Dua daripada kumpulan bersenjata yang lain – Karen National Union (KNU) dan Kachin Independence Army (KIA) – telah pun meningkatkan serangan mereka terhadap pasukan-pasukan tentera dan polis Myanmar dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Sementara itu Polis Thai dalam satu kenyataan berkata mereka berjaya memintas penghantaran 10 parcel mengandungi 112 bom tangan dan 6,000 butir peluru di utara Chiang Rai yang dipercayai akan dihantar ke pekan sempadan Tachileik di Myanmar.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...