Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Ejen Korea Utara Pernah Culik Rakyat Malaysia 43 Tahun Dahulu?

Ramai rakyat Malaysia tidak sedar tentang kejadian yang berlaku 43 tahun lepas, di mana rakyat Malaysia dikatakan menjadi mangsa kepada agen-agen perisik Korea Utara.

0 2,100

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas kita memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara dan menghalau diplomatnya daripada negara ini, persoalan sama ada Pyongyang akan bertindak balas terhadap Malaysia banyak bermain di fikiran kita?

Ini selepas konsul kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur Kim Yu-Song memberi amaran bahawa Malaysia berhadapan dengan “tindak balas” daripada Korea Utara kerana mengekstradisi rakyatnya ke Amerika Syarikat.

Korea Utara
Keratan akhbar kejadian “misteri” kehilangan lima wanita muda pada 1978 itu.

 

Memandangkan Korea Utara memiliki kemampuan peluru berpandu ballistik jarak jauh, mungkin kita menggambarkan Pyongyang akan melancarkan peluru berpandu terhadap negara ini sebagai tindak balas terhadap kita.

Admin berpendapat kemungkinan itu berlaku adalah kecil.

Ada juga mengatakan kita mungkin berhadapan dengan serangan siber yang dilancarkan oleh unit-unit rahsia agensi perisikan Korea Utara untuk melumpuhkan infrastruktur penting negara ini, suatu senario yang pada pendapat admin adalah lebih probable berbanding serangan peluru berpandu.

Ini kerana serangan-serangan siber oleh Korea Utara telah pun berlaku di serata dunia, so adalah tidak pelik jika ianya berlaku terhadap Malaysia apatah lagi jika Pyongyang telah memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas.

Bagaimanapun, mungkin kita tidak sedar bahawa rakyat Malaysia sememangnya pernah menjadi mangsa kepada agen-agen perisik Korea Utara puluhan tahun dahulu.

Secara tepatnya, kejadian yang sehingga kini masih menjadi misteri kepada orang ramai itu berlaku pada 20 Ogos, 1978 di pesisir pantai Singapura. Sudah hampir 43 tahun kejadian itu berlaku, tetapi sehingga kini tiada penyelesaiannya.

Kim Jong Un

Ia berlaku apabila lima wanita muda, empat rakyat Malaysia dan seorang Singapura menerima pelawaaan oleh seorang lelaki “Jepun” dan dua “Hong Kong” untuk menghadiri jamuan di atas sebuah kapal yang berlabuh di pesisir pantai republik itu.

Keempat wanita warga Malaysia itu dikenali dengan nama Yeng Yoke Fun, 22; Yap Me Leng, 22; See Toh Tai Thim, 19 dan Margaret Ong Guat Choo, 19 manakala wanita Singapura adalah Diana Ng Kum Yim, 24.

Itu adalah kali terakhir sesiapa melihat kelima-lima wanita muda itu kerana selepas menaiki kapal mewah itu, mereka dikatakan hilang sehingga kini, dengan dakwaan mengatakan ejen-ejen Korea Utara bertanggungjawab menculik mereka dan membawa mereka balik negara Komunis itu.

Pada ketika Malaysia baru lima tahun menjalin hubungan diplomatik dengan Korea Utara.

Menurut satu pertubuhan bukan kerajaan dipanggil “Association for the Rescue of North Korea Abductees (ARNKA)” maklumat mengenai kehadiran warga Malaysia di Korea Utara diperolehi daripada keterangan artis Korea Selatan, Choi Eun-hee dan bekas anggota tentera Amerika Syarikat, Charles Robert Jenkins.

Eun-hee diculik ketika berada di Hong Kong pada 1978 manakala Jenkins melarikan diri daripada unitnya dan menyeberangi sempadan untuk Korea Utara pada 1965.

Jenkins tinggal di Korea Utara sehingga 2004.

Thailand
Wanita Thailand, Anocha Panjoy yang dikatakan diculik oleh ejen Korea Utara di Macau ketika bekerja.

 

Menurut pengarah ARNKA Tomoharu Ebihara, Jenkins memberitahu beliau pernah melihat gambar Yoke Fun (salah seorang wanita yang hilang di atas kapal di Singapura) dan mengingati pertemuan dengan wanita itu disatu taman permainan di Pyongyang antara tahun 1980 dan 1981

Manakala artis Korea Selatan itu, Eun-hee, yang tinggal di Pyongyang sehingga 1986 pernah dimaklumkan tentang kehadiran pasangan Malaysia di sebuah rumah di Pyongyang ketika beliau tinggal di ibu negara Korea Utara itu.

Ebihara berkata, maklumat yang disalurkan oleh Eun-hee dan Jenkins adalah kukuh.

Menurutnya, rakyat daripada 12 negara termasuk Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Thailand, Jordan, Lubnan, Romania dan France –  di dakwa telah diculik oleh ejen-ejen Korea Utara.

Katanya, NGO di Jepun percaya kira-kira 300 rakyat Jepun telah diculik oleh ejen-ejen Korea manakala ratusan rakyat Korea Selatan juga didakwa diculik.

Beliau juga berkata, seorang wanita Thailand bernama Anocha Panjoy, didakwa diculik pada Julai 1978 ketika beliau bekerja di Macau oleh seorang lelaki “Jepun” yang bertanggungjawab menculik lima wanita Malaysia dan Singapura.

Lelaki “Jepun” itu dipercayai ejen Korea Utara

Ebihara berkata, walaupun sukar untuk mengenalpasti punca wanita-wanita itu diculik tetapi dipercayai mereka digunakan sebagai guru-guru bahasa dan budaya untuk bakal-bakal ejen Korea Utara.

Terdapat juga dakwaan bahawa wanita-wanita itu diculik untuk dijadikan isteri kepada lelaki-lelaki warga asing yang juga diculik.

Beliau merujuk kepada Jenkins yang berkahwin dengan wanita Jepun, Hitomi Soga yang juga diculik.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...