Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Israel Cadang Lupus Hutang Mesir Sekiranya Kaherah Setuju Cadangan “Pengusiran” Rakyat Palestin

Israel dilaporkan telah mengemukakan cadangan supaya sebahagian besar hutang luar negara Mesir menerusi Bank Dunia dilupuskan sekiranya kerajaan pimpinan Presiden Abdel Fatah el-sisi membenarkan kemasukan (pengusiran) rakyat Palestin daripada Semenanjung Gaza menerusi pintu sempadan Rafah.

0 2,470

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Israel dilaporkan telah mengemukakan cadangan supaya sebahagian besar hutang luar negara Mesir menerusi Bank Dunia dilupuskan sekiranya kerajaan pimpinan Presiden Abdel Fatah el-sisi membenarkan kemasukan (pengusiran) rakyat Palestin daripada Semenanjung Gaza menerusi pintu sempadan Rafah.

Cadangan kepada kerajaan Mesir itu telah dilaporkan oleh sebuah laman web berpengaruh di Israel.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu juga dilapor telah menekan beberapa nagara Eropah supaya memberikan tekanan kepada Mesir supaya bersetuju dengan cadangannya untuk membenarkan kemasukan (pengusiran) rakyat Palestin daripada Gaza.

Mesir sedang berhadapan dengan krisis hutang pada ketika ini, dengan negara itu hanya berada di belakang Ukraine dalam senarai negara-negara yang berkemungkinan besar tidak akan mampu membayar hutang luarnya dalam jangkamasa terdekat.

Kedudukan kewangan negara Arab itu pada masa ini adalah amat lemah dan Kaherah memerlukan pinjaman-pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan negara-negara Arab Teluk yang kaya untuk membiayai ekonominya.

Mesir
Penduduk Palestin melarikan diri daripada serangan udara Israel

 

Sejak bermulanya konflik di Semenanjung Gaza, kerajaan Mesir telah beberapa kali menyatakan pendiriannya untuk tidak membenarkan kemasukkan rakyat Palestin daripada Semenanjung Gaza walau buat untuk sementara waktu, ketika Israel melaksanakan operasi tenteranya di wilayah tersebut.

Walaupun berhadapan dengan peningkatan tekanan daripada negara-negara Barat supaya Mesir membuka sempadan Rafah kepada kemasukkan rakyat Palestin, namun Presiden Abdel Fatah el-Sisi tetap enggan berbuat demikian.

Beliau berkata bahawa Mesir menolak segala usaha untuk “membunuh isu Palestin sama ada secara ketenteraan atau pengusiran secara paksa rakyat Palestin daripada tanah air mereka, yang akan turut menjejaskan negara-negara serantau.”

Sebahagian besar daripada keengganan Mesir dan negara-negara Arab serantau terhadap cadangan untuk membenarkan pintu masuk Rafah dibuka kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza adalah kerana memori peristiwa Nakba 1948.

Dalam peristiwa Nakba 1948, militant-militan Zionis telah bertindak mengusir lebih daripada 700,000 rakyat Palestin daripada tanahair mereka di Palestin dan menghalang mereka serta keturunan mereka daripada kembali semula ke tanahair mereka itu.

Mesir
Peristiwa Nakba 1948

Mesir

Peristiwa Nakba 1948 itu menyaksikan militan Zionis menghapuskan kewujudan lebih daripada 500 buah kampong-kampung penduduk Palestin daripada penduduk asalnya dan 80 peratus daripada kawasan asal Palestin itu dijadikan wilayah Israel.

Peristiwa itu juga disifatkan sebagai usaha pembersihan etnik terhadap penduduk Palestin.

Mesir dan negara-negara Arab serantau bimbang sekiranya pintu sempadan di Rafah itu dibuka untuk kemasukan rakyat Palestin, Israel akan mengusir secara paksa rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza untuk ditempatkan secara “sementara” padang pasir di Sinai dan tidak akan membenarkan mereka kembali ke tanahair mereka walaupun peperangan sudah tamat.

Ia akan mengulangi peristiwa Nakba pada 1948 itu.

Pada ketika ini, kerajaan Mesir telah membuka pintu sempadan Rafah terhadap kemasukkan bantuan kemanusiaan untuk menangani malapetaka kemanusiaan yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza akibat serangan udara kejam tentera Israel. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...