Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Mesir Tuntut US$917 juta (RM3.7 bilion) Pampasan Daripada Pemilik Kapal “Ever Given”

Pihak berkuasa terusan itu menuntut pampasan itu untuk melangsaikan bayaran bagi usaha-usaha mengeluarkan kapal kontena itu daripada kedudukannya, reputasi yang terjejas serta kehilangan sumber pendapatannya.

0 1,001

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak Berkuasa Terusan Suez (Suez Canal Authority -SCA) menuntut sejumlah US$917 juta (RM3.7 bilion) pampasan daripada pemilik kapal kontena Ever Given yang rosak dan menghalang laluan di terusan penting untuk perdagangan dunia itu selama enam hari pada Mac lepas.

Pihak berkuasa terusan Mesir itu menuntut pampasan itu untuk melangsaikan bayaran bagi usaha-usaha mengeluarkan kapal kontena itu daripada kedudukannya, reputasi yang terjejas serta kehilangan sumber pendapatnnya.

Bagaimanapun terdapat laporan bahawa pihak berkuasa terusan itu telah bersetuju untuk mengurangkan tuntutan bayaran pampasan itu kepada US$550 juta, walaupun tiada pengesahan mengenainya.

Pemilik kapal kontena Ever Giver iaitu syarikat Shoei Kisen serta penginsuran-nya telah mempertikaikan tuntutan pampasan itu serta tindakan pihak mahkamah Mesir menahan kapal kontena daripada meneruskan pelayarannya.

Selepas berjaya dialihkan daripada kedudukannya yang menghalang laluan di terusan itu, kapal kontena Ever Given telah ditahan oleh pihak berkuasa Mesir di salah sebuah tasik yang berada berhampiran dengan terusan itu.

Ever Given

Pihak syarikat Shoei Kisen meminta mahkamah di Mesir untuk menangguhkan keputusan mereka bagi membolehkan lebih banyak rundingan dijalankan bagi mencapai kata putus.

Selama enam hari pada Mac lepas, kapal Ever Given mengalami kerosakan dan menghalang laluan di Terusan Suez, seterusnya mengakibatkan kerugian sehingga berbillion dollar.

Panjang kapal “Ever Given” itu adalah 400 meter atau kira-kira empat padang bolasepak atau setinggi bangunan Empire State Building di New York dan beratnya pula adalah kira 220,000 tan.

Ketika kejadian, kapal “Ever Given” itu membawa 20,000 kontena.

Kira-kira 12 peratus perdagangan dunia bernilai US$1 trillion atau 18,000 kapal dagang yang berulang-alik Eropah-Asia menggunakan terusan ini setiap tahun dan kegagalan menggunakan terusan ini adalah “mimpi ngeri” kepada semua pedagang.

Setiap hari sahaja, lebih daripada 50 buah kapal dagang melalui terusan ini membawa pelbagai barangan daripada kontena pelbagai barang kepada gas dan minyak bernilai antara US$5 billion hingga US$10 billion ke pelbagai destinasi di Asia dan Eropah.

Terusan Suez ini penting kerana ia menghubungkan Eropah dengan Laut Merah, Laut Arab, Lautan Hindi dan rantau Asia Pasifik. Ia adalah nadi kepada perdagangan Asia-Eropah.

Tanpa terusan ini yang siap dibina pada 1869 selepas kerja-kerja pembinaan selama 10 tahun bermakna kapal-kapal terpaksa menggunakan jalan jauh iaitu mengelilingi Cape of Good Hope di Afrika sebelum menyambung perjalanan mereka ke Asia.

Mereka terpaksa menambah kira-kira 3,500 batu pelayaran melalui perairan yang berbahaya penuh dengan lanun dan ini semua memerlukan tambahan kos serta wang ringgit untuk mengelilingi Afrika sebelum sampai ke Asia.

Dengan Terusan Suez, kapal-kapal dari Eropah hanya memerlukan 9 hari untuk tiba di destinasi mereka di Asia, tetapi dengan laluan diterusan itu kini tersekat, sekurang-kurangnya tiga minggu hingga sebulan siperlukan sebelum kapal-kapal dari Eropah tiba di Asia.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...