Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sistem MERAD TUDM Bakal Undang Persaingan Sengit Syarikat Antarabangsa

Setakat ini Defence Security Asia dimaklumkan bahawa beberapa syarikat antarabangsa telah pun membuat “promosi awal” kepada Kementerian Pertahanan dan TUDM, dengan jangkaan bahawa Kementerian Pertahanan akan membuka tender perolehan sistem MERAD (Medium Air Defence System) itu sama ada tahun ini atau tahun depan.

0 10,811

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada tahun 2024 dan 2025, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mengoperasikan tujuh aset baru termasuk sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD – Medium Range Air Defence).

Baru-baru ini Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dalam satu temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Melayu negara berkata, TUDM telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk memperolehi satu bateri sistem MERAD.

Bagaimanapun Kementerian Kewangan sebagai pemegang kantung duit negara masih belum memberikan kelulusan berkenaan permohonan daripada TUDM itu.

MERAD
Sistem ASTER-30 Tentera Singapura

 

TUDM merancang perolehan satu bateri sistem pertahanan udara jarak sederhana dalam setiap Rancangan Malaysia bermula daripada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) hingga ke RMK15.

“Permohonan perolehan satu Bateri MERAD di dalam setiap RMK bermula RMKe-12 sehingga RMKe-15 bagi melengkapkan keperluan satu rejimen MERAD (4 Bateri). Buat masa ini permohonan 1 x Bateri di dalam RMKe-12 masih belum diluluskan di peringkat MOF (Kementerian Kewangan),” kata beliau dalam temuramah itu.

RMK-12 bermula daripada tahun 2021 hingga 2025 manakala RMK-13 (2026 hingga 2030), RMK-14 (2031 hingga 2035) dan RMK-15 daripada tahun 2036 hingga tahun 2040,” kata Panglima TUDM itu.

Walaupun permohonan TUDM untuk memperolehi satu bateri sistem MERAD masih lagi belum diluluskan oleh Kementerian Kewangan, tetapi ia tidak menghalang syarikat-syarikat pembuat sistem MERAD untuk menonjolkan sistem mereka bagi tujuan menarik perhatian TUDM dan Kementerian Pertahanan.

Setakat ini Defence Security Asia dimaklumkan bahawa beberapa syarikat antarabangsa telah pun membuat “promosi awal” kepada Kementerian Pertahanan dan TUDM, dengan jangkaan bahawa Kementerian Pertahanan akan membuka tender perolehan sistem MERAD itu sama ada tahun ini atau tahun depan.

MERAD
Sistem pertahanan udara jarak sederhana “NASAM” yang dibangunkan oleh Kongsberg dan Raytheon.

 

Syarikat-syarikat terbabit juga telah menyediakan pakej yang menarik kepada Malaysia sekiranya negara memilih sistem MERAD mereka, terutamanya membabitkan isu Transfer-Of-Technology (TOT).

Walaupun TUDM merancang untuk memperolehi satu bateri sistem MERAD pada RMK12, tetapi jangkaannya adalah perolehan satu bateri ini adalah menyusul dengan pembelian bateri-bateri sistem MERAD seterusnya pada Rancangan Malaysia yang berikutnya.

Ia adalah perolehan untuk suatu jangka masa yang panjang, sesuatu yang amat “digemari” oleh syarikat-syarikat pertahanan antarabangsa.

Sebab itulah pihak Defence Security Asia diberitahu bahawa selain tender terbuka bagi 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA), syarikat pertahanan antarabangsa juga “ternanti-nanti” terhadap tender terbuka bagi sistem MERAD Malaysia.

Perolehan sistem MERAD untuk TUDM ini boleh mencecah daripada ratusan juta ringgit kepada beberapa billion.

MERAD
Sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM yang dibangunkan oleh syarikat LIG Nex1 daripada Korea Selatan.

 

Antara syarikat-syarikat yang telah pun menyatakan minat mereka untuk membekalkan sistem MERAD kepada TUDM setakat ini adalah — “Norwegian Advanced Surface to Air Missile System) atau NASAM yang dibangunkan oleh syarikat Kongsberg Defence and Aerospace daripada Norway.

Sistem MERAD “NASAM” itu dibangunkan oleh Kongsberg dengan Raytheon yang membekalkan peluru berpandu AMRAAM (Advance Medium Range Air-To-Air-Missile)  untuk sistem itu.

Selain firma pertahanan Norway itu, syarikat Korea Selatan LIG Nex1 turut menawarkan sistem MERAD  dibangunkan mereka sendiri iaitu KM-SAM kepada TUDM.

Satu ciri yang menarik mengenai sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM  adalah ianya merupakan satu-satunya sistem MERAD yang mempunyai sentuhan DNA teknologi dari kedua-dua Blok Barat dan Rusia.

Sistem KM-SAM yang juga dikenali dengan nama Koreanya, Cheongung merupakan sistem pertahanan udara jarak sederhana Korea Selatan yang dibangunkan oleh Agency for Defense for Defense Development (ADD) dengan bantuan teknikal daripada firma Russia, Almaz-Antey yang terkenal dengan pembangunan sistem pertahanan udara S-300,S-400 dan terkini, S-500.

MERAD
Sistem pertahanan udara “IRIS-T SL”

 

Selain NASAM dan KM-SAM, terdapat juga laporan mengatakan bahawa syarikat pertahanan Jerman, Diehl BGT Defence dan rakan tempatan mereka juga akan mengetengahkan sistem MERAD “IRIS-T SL (Surface Launched)” bagi memenuhi keperluan TUDM itu.

Satu lagi syarikat yang sudah hampir pasti akan cuba memenuhi keperluan TUDM untuk sistem MERAD negara adalah konglomerat pertahanan Eropah, MBDA menerusi sistem pertahanan udara jarak sederhana “ASTER 30 SAMP/T.”

Pihak Defence Security Asia juga diberitahu China juga berminat untuk membekalkan sistem MERAD kepada Malaysia.

Sistem MERAD yang ditawarkan adalah FK-3 yang merupakan varian eksport kepada sistem pertahanan udara sederhana HQ-22 yang dibangunkan oleh Jiangnan Space Industry.

Sistem pertahanan udara FK-3 itu memiliki jarak operasi (engagement range) di antara 50km hingga 100km.

 

 

MERAD
Sistem pertahanan udara jarak sederhana “FK-3” (HQ-22) buatan syarikat China.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Pihak Russia sejak daripada sebelum ini sememangnya berminat untuk membekalkan sistem pertahanan udara jarak sederhana “BUK-M3” yang merupakan varian terkini sistem pertahanan udara “BUK.”

Bagaimanapun, peluang Russia untuk memikat hati Kementerian Pertahanan itu adalah amat tipis berikutan sekatan ekonomi yang dihadapinya pada ketika ini.

Admin berkeyakinan akan lebih banyak syarikat pembuat sistem MERAD tampil ke depan menawarkan sistem mereka kepada Malaysia selepas Kementerian Pertahanan membuka secara rasmi tender perolehan bagi sistem MERAD itu. — DSA

 

Comments
Loading...