Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Menteri Luar Turki Lawat Malaysia, Turut Bertemu Dengan Menhan

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu itu juga akan bertemu dengan Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Tun Hussein dimana isu-isu pertahanan membabitkan Malaysia dan Turki turut bakal dibincangkan.

0 1,483

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Luar Turkiye Mevlut Cavusoglu akan memulakan lawatannya ke Malaysia bermula hari ini (Rabu) hingga esok (Khamis), yang merupakan satu lagi bukti tentang hubungan erat di antara kedua-dua negara.

Lawatan Menteri Luar Turkiye itu juga berlaku selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melakukan lawatan sulung ke negara Mediterranean itu pada bulan lepas dimana hubungan dua hala kedua negara dipertingkat ke Perkongsian Strategik Komprehensif.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Luar hari ini, lawatan Cavusoglu ke Malaysia itu adalah susulan kepada lawatan Perdana Menteri ke Turkiye bulan lepas serta persediaan lawatan negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke negara Mediterranean itu.

Turki
Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu

 

Cavusoglu dan rakan sejawatnya daripada Malaysia Saifuddin Abdullah dijadual mengadakan mesyuarat dua hala untuk membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama.

“Selain daripada mengukuhkan kerjasama sedia ada, kedua-dua negara juga akan meneroka bidang baharu yang berpotensi seperti keselamatan makanan, perbankan digital Islam, e-dagang, industri pertahanan, petroleum dan gas serta tenaga boleh diperbaharui,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar itu hari ini.

Kedua-dua menteri luar itu juga akan bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai perkembangan serantau dan antarabangsa semasa perbincangan dua hala.

ACV 300
Kenderaan perisai ACV 300 “Adnan” milik Tentera Darat Malaysia yang dihasilkan oleh firma pertahanan Turki, FNSS dengan kerjasama DEFTECH.

 

Selain bertemu dengan Saifuddin, Menteri Luar Turki itu juga dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri.

Beliau juga akan bertemu dengan Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Tun Hussein dimana isu-isu pertahanan membabitkan Malaysia dan Turki bakal dibincangkan.

Admin jangkakan perbincangan di antara Hishammuddin dan Cavusoglu akan tertumpu kepada isu kerjasama industri pertahanan dan kemungkinan pembelian beberapa aset pertahanan yang diperbuat oleh Turki.

Gempita
Kenderaan tempur Gempita adalah hasil usahasama antara DEFTECH dan FNSS daripada Turki.

 

Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dan destinasi eksport terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

Jumlah dagangan Malaysia-Turkiye pada 2021 bernilai lebih US$4.09 bilion (RM16.97 bilion). — DSA

 

Comments
Loading...