Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

708K Guna Aplikasi “Flightradar24” Jejaki Penerbangan Nancy Pelosi

Ratusan ribu orang diseluruh dunia menggunakan aplikasi Flightradar24 itu untuk mengetahui sama ada penerbangan dinaiki Pelosi dan delegasinya akan singgah di Taiwan selepas meninggalkan Kuala Lumpur.

0 635

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Penerbangan membawa Speaker Amerika Syarikat Nancy Pelosi dan delegasinya daripada Kuala Lumpur ke Taiwan semalam telah dijejaki oleh seramai 708,000 orang pengguna aplikasi penjejak penerbangan popular,  Flightradar24.

Ratusan ribu orang diseluruh dunia menggunakan aplikasi Flightradar24 itu untuk mengetahui sama ada penerbangan dinaiki Pelosi dan delegasinya akan singgah di Taiwan selepas meninggalkan Kuala Lumpur.

Semalam, perhatian sebahagian besar masyarakat dunia sememangnya tertumpu kepada penerbangan Pelosi daripada Kuala Lumpur itu, sama ada ia akan singgah di Taiwan atau tidak.

Flight Radar
Pesawat rasmi membawa Nancy Pelosi di Pangkalan Udara Subang. (TUDM)

 

Sebagaimana yang kita semua ketahui, speaker berusia 82 tahun dan delegasinya itu tetap meneruskan penerbangannya ke Taiwan (mengunakan laluan yang jauh dan mengelak Laut China Selatan) walaupun China beberapa kali mengancam untuk bertindak balas terhadap tindakan beliau itu.

Menurut Flightradar24,  mereka terpaksa menghadkan bilangan bilangan yang tidak melanggan aplikasinya dalam usaha memastikan perkhidmatan popular itu terus mampu berada di atas talian.

“Berikutan bilangan pengguna yang amat tinggi, kami terpaksa menggunakan ‘fungsi bilik menunggu’ untuk membenarkan pengguna menggunakan perkhidmatan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Flightradar24 berkata, minat yang amat tinggi terhadap penerbangan pesawat rasmi “SPAR19” yang membawa Pelosi daripada Kuala Lumpur ke Taiwan itu tidak pernah berlaku terhadap mana-mana penerbangan sebelum ini.

Pelosi
Pelosi dan delegasi beliau pada jamuan makan tengah hari oleh kerajaan Malaysia, (Kredit H20)

 

Minat yang tinggi terhadap penerbangan Pelosi itu, berkemungkinan berpunca daripada beberapa sebab antaranya adalah kerana speaker itu sendiri mengambil pendirian tidak mahu mengesahkan atau menafikan bahawa beliau akan singgah ke Taiwan serta retorik keterlaluan China yang mengancam akan bertindak balas jika beliau singgah di pulau itu.

Sebab-sebab itu telah meningkatkan minat seluruh dunia terhadap penerbangan Pelosi, yang merupakan individu kedua selepas Naib Presiden Amerika yang akan menjawat jawatan presiden negara itu sekiranya sesuatu kejadian buruk berlaku terhadap Presiden negara itu.

Pelosi merupakan speaker Amerika Syarikat yang pertama dalam tempoh 25 tahun untuk melawat Taiwan.

Flight Radar
Pesawat membawa Nancy Pelosi dan delegasinya tiba di Taiwan daripada Kuala Lumpur.
.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Beijing menganggap Taiwan itu adalah sebahagian daripada wilayahnya dan berikrar untuk menyatupadukan pulau itu dengan keseluruhan China, sama ada secara aman atau kekerasan.

Menurut Flightradar24, sebaik sahaja penerbangan Pelosi itu mendarat di Taiwan semalam, bilangan pengguna yang menggunakan perkhidmatan penjejakan kapal terbang kembali kepada normal.

Tidak sampai 24 jam berada di Taiwan, penerbangan SPAR19 kembali berada di udara membawa Pelosi dan delegasinya ke Korea Selatan untuk meneruskan lawatannya ke beberapa negara Asia termasuk Singapura dan Malaysia sebelum ini. — DSA

 

 

 

Comments
Loading...