Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Media Russia Dakwa MiG-31 Tembak Jatuh Dron Altitude Tinggi Amerika Syarikat di Laut Hitam

Dakwaan tentang insiden penembakan jatuh dron altitude tinggi Amerika Syarikat di Laut Hitam itu datang daripada media-media Russia yang rapat dengan pihak tentera negara itu, bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan rasmi daripada Kementerian Pertahanan Russia mahupun Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon).

0 3,715

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang Russia didakwa telah menembak jatuh sebuah dron milik tentera Amerika Syarikat, sama ada MQ-9 Reaper atau MQ-4C “Triton” yang sedang beroperasi di ruang udara Laut Hitam.

Dakwaan tentang insiden yang membawa kepada penembakan jatuh dron milik tentera Amerika Syarikat di Laut Hitam itu datang daripada media-media Russia yang didakwa rapat dengan pihak tentera negara itu.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan rasmi daripada Kementerian Pertahanan Russia mahupun Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) tentang insiden penembakan jatuh dron altitude tinggi milik Pentagon itu.

Sebagai reaksi terhadap dakwaan oleh media-media Russia tentang insiden penembakan jatuh itu, akaun sosial ketenteraan yang pro kepada Barat mendakwa bahawa dron tentera Amerika itu hanya mematikan transponder mereka ketika beroperasi di Laut Hitam.

Mereka menyatakan bahawa aplikasi penjejakan penerbangan menunjukkan bahawa sekembalinya daripada operasi di Laut Hitam, dron Amerika Syarikat itu telah mengaktifkan kembali transponder yang menunjukkan ia telah selamat mendarat di Pangkalan Udara Sigonella di Sicily, Itali.

Sementara itu, media-media Russia itu mendakwa penembakan jatuh dron milik tentera Amerika Syarikat di ruang udara Laut Hitam dilaksanakan oleh pesawat pemintas Mig-31 tentera udara negara itu, yang berkeupayaan terbang di altitude tinggi.

MiG-31
MiG-31

 

Dibangunkan oleh Northrop Grumman, dron High Altitude Long Endurance (HALE) “Triton” itu adalah berdasarkan kepada dron HALE “RQ-4 Global Hawk” tetapi penganalisisis mendakwa ia adalah lebih canggih dan berkeupayaan berbanding dengan Global Hawk.

Dron MQ-4C Triton itu membawa radar phased array antenna yang canggih,  kamera dan sensor untuk memantau perairan dan kawasan pesisir pantai.

Ia dioperasikan oleh empat kakitangan dengan kemampuan beroperasi lebih daripada 30 jam dan terbang setinggi lebih daripada 60,000 kaki. 

Russia dikatakan mahu bertindak balas terhadap dron-dron milik Amerika Syarikat dan NATO yang beroperasi di Laut Hitam untuk untuk melaksanakan misi-misi mengumpul maklumat di Laut Hitam.

Maklumat-maklumat yang diperolehi oleh pesawat-pesawat perisikan itu termasuk daripada pesawat peronda maritim P-8 Poseidon dan dron MQ-4C Triton kemudiannya disalurkan kepada tentera Ukraine bagi membolehkan mereka membedil kedudukan tentera Russia terutamanya di Crimea yang lebih tepat.

Desakan supaya Russia bertindak balas terhadap dron-dron Amerika Syarikat yang beroperasi di Laut Hitam semakin hebat terutamanya selepas serangan peluru berpandu MGM-140 ATACMS yang dibekalkan oleh Washington kepada Ukraine beberapa hari lalu.

ATACMS
“Army Tactical Missile Systems” (ATACMS)

 

Serangan peluru berpandu ATACMS oleh Ukraine itu terhadap pantai popular di Crimea telah mengorbangkan lima orang penduduk awam dan mencederakan lebih daripada 100 penduduk yang sedang bermandi-manda di pantai itu.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dron perisikan MQ-4C “Triton” milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) telah mula dikerah untuk melakukan misi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) di Laut Hitam bagi memantau dengan lebih teliti pergerakan tentera Russia di Crimea yang ditawannya daripada Ukraine.

Peningkatan penerbangan dron-dron dan pesawat perisikan Amerika dan NATO di Laut Hitam itu adalah selari dengan serangan besar-besaran peluru berpandu MGM-140 ATACMS oleh tentera Ukraine terhadap beberapa kedudukan tentera Russia di Crimea.

Baru-baru ini Russia mengancam untuk mengambil tindakan lebih keras terhadap dron-dron Amerika Syarikat dan NATO yang melakukan penerbangan di Laut Hitam.

Moscow bagaimanapun tidak memberikan penjelasan lebih lanjut tentang “tindakan” yang akan diambilnya terhadap dron-dron Amerika dan NATO yang aktif membantu Ukraine dalam penyaluran maklumat-maklumat perisikan termasuk berkenaan tentang sasaran.

Dalam insiden yang berlaku pada Mac tahun lepas, sebuah pesawat pejuang Su-27 Russia bertindak memintas dan dengan sengaja telah “melanggar” kipas dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat sehingga menyebabkan dron terhempas di Laut Hitam.

MiG-31

Pihak tentera Amerika Syarikat mengecam tindakan pesawat pejuang Russia itu dan mendakwa ia melakukan penerbangan secara “tidak selamat” sehingga menyebabkan dron itu terhempas.

Ketika terhempas dron itu dipercayai sedang melakukan misi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) di  Laut Hitam berhampiran dengan Crimea, yang sebelum ini merupakan wilayah milik Ukraine tetapi telah dijajah oleh Russia.

Kementerian Pertahanan Russia menafikan pesawat pejuangnya “bersentuhan” dengan dron Amerika Syarikat dan mendakwa bahawa ia terhempas ke Laut Hitam akibat “maneuver tajam” yang dilakukannya ketika penerbangan itu. — DSA

Comments
Loading...