Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Media Greek Bimbang “Jurang Teknologi” Yang Semakin Melebar Antaranya Dengan Turkiye

Media-media Greek itu menyalahkan kerajaan negara itu kerana tidak mengambil langkah yang sepatutnya untuk membangunkan industri pertahanannya bagi membolehkan mereka bersaing dengan industri pertahanan di Turkiye.

0 10,188
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Media-media Greek telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap apa yang ditakrifkan mereka sebagai “jurang teknologi” yang semakin melebar di antara negara itu dengan musuh tradisi mereka, Turkiye terutamanya membabitkan sektor pertahanan.
Salah satu media Greek itu, “Militaire” memfokuskan tentang keupayaan industri pertahanan Turkiye dalam membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya “KAAN.”
“Semasa Turkiye mengumumkan rancangan untuk merekabentuk dan menghasilkan pesawat pejuang kelima KAAN, terdapat keraguan yang amat tinggi tentang kejayaannya terutamanya d Greek yang lama meramalkan ‘keruntuhan’ Turkiye sejak beberapa lama.”
“Turkiye bukan sahaja membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya KAAN tetapi ia juga sedang berunding dengan Arab Saudi untuk menjual 100 buah pesawat pejuang KAAN itu. Ini tidak pernah terfikir beberapa tahun dahulu terutamanya di kalangan mereka yang meragui kemampuan (Turkiye) di Greek,” menurut media terbabit.
Sementara itu sebuah lagi media Greek “Ekfrasi” pula mempersoalkan kemampuan industri pertahanan negara itu untuk bersaing dengan pesaing mereka di negara jiran mereka itu.
KAAN
“KAAN”
“Sementara Turkiye menghasilkan pesawat pejuang generasi kelima, KAAN, kami (Greek) tidak mampu menghasilkan walau satu skrew.”
Media-media Greek itu menyalahkan kerajaan negara itu kerana tidak mengambil langkah yang sepatutnya untuk membangunkan industri pertahanannya bagi membolehkan mereka bersaing dengan industri pertahanan di Turkiye.
Industri pertahanan Greek disifatkan sebagai sedang bergelut dan menyalahkan Menteri Pertahanan negara itu Nikos Dendias.
Mereka mengakui bahawa industri pertahanan Turkiye telah mengalami pertumbuhan yang pesat dengan penghasilan pelbagai produk, sehingga meninggalkan dengan jauh industri pertahanan Greek.
Media-media pertahanan Greek itu meramalkan bahawa sekiranya Turkiye berjaya menjual 100 buah pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu kepada Arab Saudi, maka ia akan mengukuhkan lagi status Ankara sebagai negara pengeksport senjata utama di rantau itu.
Selain cadangan penjualan 100 buah pesawat pejuang generasi kelima KAAN kepada Arab Saudi, negara Timur Tengah yang kaya dengan sumber minyak itu juga telah membeli dron Akinci dan kenderaan perisai Ejder Yalchin daripada firma-firma pertahanan Turkiye yang lain.
KAAN
Pesawat pejuang KAAN sedang menjalani ujian Afterburner.
Arab Saudi dilaporkan membelanjakan US$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk memperolehi sistem pesawat tanpa pemandu (dron) “Akinci” MALE (Medium Altitude Long Endurance) keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Baykar Technology.
Hubungan pertahanan di antara Turkiye dan Arab Saudi juga semakin erat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beberapa hari lalu, Arab Saudi dilaporkan sedang menimbangkan cadangan untuk memperolehi kira-kira 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkan oleh Turkiye.
Laporan mengenai cadangan perolehan pesawat-pesawat pejuang KAAN itu timbul selepas mesyuarat tiga hari diantara Presiden Industri Pertahanan Turkiye Prof Haluk Gorgun, Timbalan Menteri Pertahanan Arab Saudi Khaled Hussein Al-Biyari dan Panglima Tentera Udara Arab Saudi Turki Bandar Al Saud baru-baru ini.
Cadangannya adalah Turkiye akan mula menghantar pesawat-pesawat pejuang generasi kelima itu pada 2030-an.
Arab Saudi berkemungkinan melihat kepada Turkiye untuk mendapatkan pesawat pejuang generasi kelima, selepas hasratnya untuk memiliki pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat terhalang disebabkan bantahan daripada Israel.
Projek pembangunan pesawat pejuang KAAN yang bermula pada 2016, bertujuan menggantikan lebih 200 pesawat F-16 milik Tentera Udara Turkiye.
KAAN
“KAAN”
Prototaip pertama KAAN melaksanakan penerbangan sulung pada Februari 2023 dan penerbangan kedua pada Mei 2023.
Dijangka, lebih 100 unit pesawat ini akan diterima oleh Tentera Udara Turkiye selepas pengeluaran besar-besaran bermula, dengan sasaran dua pesawat setiap bulan menjelang 2029.
Turkish Aerospace Industries (TAI) kontraktor utama program pembangunan pesawat pejuang  KAAN itu dijangka mula menyerahkan 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.
Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.
Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye.– DSA
Leave A Reply

Your email address will not be published.