Malaysia Mula Rancang Perolehan Sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana
Selepas perolehan VSHORAD dan SHORAD, Angkatan Tentera Malaysia kini memulakan proses untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana (Medium Range Air Defence System - MERAD) yang akan memastikan Malaysia dapat mewujudkan sistem pertahanan udara yang "multi-layered" (pelbagai lapisan).
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Malaysia akan memulakan perancangan untuk memiliki Sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana (Medium Range Air Defence System – MERAD) di dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang bermula pada tahun 2021 hingga tahun 2025.
Sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD) negara yang bakal diperolehi oleh negara dalam tempoh Rancangan Malaysia akan datang itu akan dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menurut Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dalam temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris, Asian Defence Journal (ADJ) berkata, perancangan untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana itu adalah selaras dengan program CAP 55 (Capability Development 2055) yang dirangka oleh TUDM.
Dan perolehan satu rejimen sistem MERAD itu akan dilakukan secara berperingkat.
“Selaras dengan program CAP 55 TUDM, satu rejimen GBAD (Ground-Based Air Defence) dengan empat bateri sistem pertahanan udara jarak sederhana akan ditubuhkan. Perancangan teliti mengenainya akan dilaksanakan pada RMK-12.”
“Perolehan sistem itu akan dilakukan secara progresif (berperingkat) sehinggalah satu rejimen (sistem pertahanan udara jarak sederhana) berjaya ditubuhkan dengan lengkap menjelang tempoh pada akhir RMK-15,” kata Panglima TUDM itu.
Beliau berkata, perolehan sistem pertahanan udara jarak sederhana itu akan menjadi pemangkin dalam meningkatkan kemampuan TUDM untuk menjadi sebuah angkatan udara yang lengkap dalam semua spectrum peperangan.
Pada ketika ini, sistem pertahanan udara TUDM hanya mampu melaksanakan pertahanan “point defence” kerana kemampuan yang dimilikinya adalah terbatas iaitu sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak dekat “VShorad” (Very Short Range Air Defence).
Dengan perolehan sistem pertahanan udara jarak sederhana katanya, ia bakal menjadikan TUDM memiliki kemampuan “area defence” bertujuan memberikan perlindungan terhadap aset-aset kritikal dan strategik negara daripada segala bentuk ancaman udara.
Ackbal juga berkata,Angkatan Tentera Malaysia telah memutuskan supaya pihak TUDM merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam mengoperasikan sistem pertahanan udara jarak sederhana.
Pada ketika in, Malaysia menggunakan kombinasi pelbagai sistem pertahanan udara jarak dekat, antaranya sistem Jernas, Starstreak, Igla, Anza dan FN-6 serta meriam Oerlikon 35mm.
Untuk sistem pertahanan udara jarak sederhana ground-based, Malaysia mempunyai beberapa pilihan seperti sistem ASTER 30 SAMP-T yang dibangunkan oleh firma MBDA yang pada ketika ini digunakan oleh Angkatan Tentera Singapura.
Keupayaan sistem ASTER 30 ini adalah peluru berpandunya menjangkaui lebih daripada 100km jaraknya.
Selain itu, ada sistem-sistem lain seperti mungkin SA-17 Grizzly atau S-300/S-400 daripada Russia manakala China juga mungkin akan menawarkan sistem mereka.
Syarikat-syarikat pertahanan Amerika Syarikat tidak akan ketinggalan dan akan juga mempertaruhkan sistem pertahanan udara jarak sederhana mereka serta syarikat-syarikat daripada negara lain.
Walaupun Singapura nampak canggih dengan sistem ASTER 30 dan Spyder buatan Israel untuk pertahanan udara jarak sederhananya, tetapi negara yang paling berpengalaman di dalam mengoperasikan sistem ini adalah Vietnam.
Sebagaimana diberitahu oleh rakan admin yang juga merupakan editor di sebuah majalah pertahanan, jauh sebelum mana-mana negara di Asia Tenggara memiliki sebarang sistem MERAD, tentera Vietnam Utara telah menembak jatuh pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat menggunakan sistem MERAD seperti SA-2.
So daripada segi pengalaman dan pengetahuan menggunakan sistem MERAD, Vietnam jauh ke depan berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara ini.
Dalam pengoperasian sistem MERAD di Asia Tenggara, Vietnam bolehlah dianggap sebagai “abang besar” di Asia Tenggara ini.
— DEFENCE SECURITY ASIA
Comments are closed.